Skip to content

Archive for February 2008

29
Feb

DCHL lancar program kumpul dana bersama Yayasan Nurjiwa



Oleh Nur Farhatul Aishati Azharie

SYARIKAT jualan langsung, DCHL-RZ yang terkenal dengan aktiviti kebajikan melancarkan program terbarunya menerusi kerjasama dengan Yayasan Nurjiwa untuk mengadakan kempen mengumpul dana bagi mereka yang miskin dan lebih memerlukan.

DCHL banyak membantu kanak-kanak di Malaysia melalui Yayasan Sin Chew dan juga mengadakan aktiviti bagi mengumpul dana untuk menyokong Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia.

Kali ini, DCHL bekerjasama dengan Yayasan Nurjiwa yang ditubuhkan atas iltizam Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dan Datin Seri Siti Nurhaliza Tarudin bagi menolong golongan yang memerlukan terutama anak-anak yatim, keluarga miskin, mangsa bencana alam dan menyumbang untuk peralatan perubatan serta keperluan persekolahan.

Pengerusi DCHL, Kim Huynh, berkata kempen bertemakan ‘Towards a Better Society’ itu diharapkan dapat mengumpul dana menerusi ahli dan pengedar DCHL yang dianggarkan sekitar 80,000.

“Walaupun ini hanya kali kedua kami terbabit dengan acara berunsur kebajikan, pihak kami amat berpuas hati dengan pencapaian yang diperoleh setakat ini dan syarikat kami sudah pun memberikan kerjasama yang cukup memuaskan dan ingin meneruskan aktiviti seumpama ini,” katanya ketika ditemui pada acara Recognition Rally di ibu negara, baru-baru ini.

Acara kali kedua dianjurkan itu bertujuan meraikan ahli DCHL-RZ selain meraikan pengedar yang berjaya membuat pencapaian tertinggi.

Turut hadir, wakil syarikat, Mary Lim dan pengedar yang berjaya membuat jualan tertinggi iaitu Archduke Steven Yeam dan Duke Winnie Lim.

Beliau berkata, kempen yang berjalan selama dua bulan itu juga tidak hanya meminta derma ikhlas malah memberikan penderma peluang untuk memenangi hadiah menarik bernilai lebih RM100,000.

Sementara itu, Siti Nurhaliza berkata, pihaknya gembira dengan kerjasama dijalinkan dan diharap lebih banyak pihak tampil membantu yayasan yang ditubuhkan bagi membantu golongan tidak bernasib baik itu.

“Yayasan yang ditubuhkan pada tanggal 21 Ogos 2006 ini sudah pun berbakti kepada masyarakat dengan menganjurkan majlis jamuan dan konsert amal bagi mendapatkan sumbangan daripada syarikat serta individu. Melalui program amal yang akan berlangsung lebih kurang dua bulan ini, penjualan kupon kebajikan kepada ahli dan para pengedar DCHL diharapkan dapat mengumpulkan jumlah yang besar,” katanya.

Recognition Rally yang berlangsung pada hari sama itu mendapat sambutan amat memuaskan dengan lebih 10,000 pengedar dari Malaysia dan luar negara yang bersama-sama memeriahkan Stadium Putra Bukit Jalil itu.

27
Feb

Angan Zahid Jadi Nyata

Oleh FAIZAL SAHARUNI


ZAHID mengakui begitu obses dengan kereta.

EMPAT tahun lalu, Ahmad Zahid Baharudin, 28, atau lebih mesra disapa sebagai Zahid, hanya jejaka biasa yang tidak dikenali ramai.

Siapa nampak tuah yang datang bergolek. Sejak menjadi juara Akademi Fantasia 2 (AF2), Zahid kemudian perlahan-lahan mengukir nama sebagai anak seni.

Kehidupannya mulai berubah sedikit demi sedikit. Dari aspek personaliti sehinggalah memilih apa jua barangan peribadi, Zahid sudah ada cita rasa selayak statusnya, sang wira AF2.

Kalau sebelum ini dia berbangga menunggang motosikal RXZ ke sana-sini, kini Zahid sudah mampu memandu kereta mewah di jalanan atas titik peluhnya bergelar penyanyi.

Sudah lama mengimpikan Nissan Skyline ER34 sebagai mobil idaman, lalu tidak hairanlah Zahid sanggup mengeluarkan sejumlah wang besar untuk memiliki kenderaan berkenaan.

“Saya memperolehinya kira-kira tiga tahun lalu. Kali pertama dapat kereta itu, sudah tentu saya rasa seronok.

“Puas hati sebab usaha gigih sebagai penyanyi akhirnya tertunai jua dengan kehadiran Nissan Skyline ini.

“Begitu teruja, saya terus memandu kereta itu di sekitar Jalan Parlimen, Kuala Lumpur bersama rakan lain.

“Bayangkan, saya lakukan banyak pusingan di seluruh kawasan itu,” akui Zahid sambil tertawa saat mengimbas kenangan mula-mula memiliki ‘kekasih’ barunya itu.

Jiwa muda mulai meluap-luap apatah lagi sewaktu menerima kereta itu, filem Initial D yang menampilkan pelakon dan penyanyi terkenal, Jay Chou baru sahaja muncul di pawagam.

“Kebetulan filem yang menampilkan aksi pelumba kereta itu ditayang di wayang pada tahun 2005, apa lagi saya pun mula tunjuk belang buat aksi-aksi yang ditonton sebelum ini.

“Walaupun tidak pandai drift, saya tetap ingin cuba,” luah Zahid tanda puas hati dengan Nissan Skyline itu.

Zahid dan kegilaannya.Sudah menjadi lumrah duniawi, golongan lelaki dilihat sanggup berhabisan demi mencantikkan kereta yang banyak berjasa mengangkut empunya diri ke merata tempat.

Kepuasan yang dinikmati selalunya menjadi keutamaan apatah lagi kalau orang sekeliling memandang kenderaan kita dengan riak cemburu dan penuh iri hati.

Bagi Zahid yang terkenal dengan sikap mesranya, dia tidak berniat untuk menunjuk-nunjuk atau membiarkan mulut jahat manusia lain mengaitkan dirinya umpama mahu berlagak.

“Saya memang gilakan kereta dan selalu membeli majalah untuk mendapat maklumat terkini mengenai kereta.

“Sebenarnya keinginan untuk membeli kereta ini sudah lama saya pendam sebelum bergelar artis.

“Cuma ketika itu saya belum berkemampuan dan hanya menganggap ia sebagai satu angan-angan saja.

“Alhamdulillah, dengan rezeki yang ada selepas keluar AF2 dan sikap berjimat-cermat, saya lunaskan juga impian itu,” tuturnya penuh sikap merendah diri.

Berhabis RM20,000.Andai sudah mempunyai minat mendalam terhadap kereta, sudah tentu Zahid sanggup berbelanja mewah untuk mengubahsuai kereta itu agar ia tampak lebih menawan di matanya.

“Sewaktu mendapat kereta ini, saya cuma tukar meter tambahan dan tempat duduk kepada bucket jenama Recaro.

“Tiada apa yang perlu diubah kerana saya memang rasa senang dengan bentuk asalnya.

“Selepas itu, saya ambil keputusan untuk tukar rim kereta yang berharga RM3,000 setelah jemu dengan rim asal,” ulas Zahid panjang lebar.

Bagi proses pengubahsuaian keretanya ini, Zahid banyak mendapatkan bantuan dari teman yang pakar dalam pencarian alat ganti.

“Saya kerap bertanya dengan kenalan lain yang guna kereta sama sebelum jalani ubahsuai.

“Awalnya, susah juga hendak cari peralatan kereta ini sebab ia mahal dan hanya terdapat di tempat tertentu.

“Lama-kelamaan, ia sudah tidak menjadi masalah disebabkan ramai yang sudah guna kenderaan sama.

“Barang gantiannya juga menjadi lebih murah berbanding sebelumnya,” katanya gembira.

Setelah dihitung dari awal pembelian kereta itu hingga ke waktu ini, Zahid menghabiskan kira-kira RM20,000 untuk ‘mengindahkan’ keretanya.

“Saya lakukan dari semasa ke semasa. Kalau ada duit lebih sedikit, barulah saya tukar atau ubah mana-mana yang patut.

“Tapi, selepas difikirkan semula, saya macam buat kerja gila kan?” soalnya sambil tergelak besar.

‘Cinta’ Zahid diganggu.Tidak dinafikan, setiap pemilik kereta akan berdepan dengan pelbagai masalah serta menonton sendiri berbagai pengalaman yang sukar dilupakan dalam ingatan.

Zahid turut melalui insiden buruk apabila kereta kesayangan yang digelar Baby White itu dipecah sebanyak dua kali.

“Kali pertama berlaku di kawasan rumah saya di Bukit Antarabangsa.

“Cermin kereta dipecahkan dan pencuri itu sempat mengambil radio serta meter kereta.

“Kali kedua terjadi sewaktu saya sedang makan di Petaling Jaya. Seorang penjual burger sedar kereta saya dipecahkan.

“Barang yang dicuri bernilai ratusan ringgit saja, tapi saya pula kena ganti cermin kereta yang berharga RM1,200.

“Saya tidak faham dengan perangai orang macam ini,” cerita Zahid dalam nada kesal.

Ragam polis trafikMemandu Nissan Skyline dengan rona putih itu barangkali tidak sah rasanya kalau meluncur perlahan atas jalan raya apatah lagi dipandu jejaka dengan naluri muda membakar.

Zahid pantas berkata: “Baru seminggu lalu saya ditahan polis di MRR2 disebabkan memandu melebihi had yang ditetapkan.

“Waktu itu saya baru saja pulang bermain futsal di Subang Jaya dan terlalu kepenatan.

“Apabila buka tingkap kereta, polis yang mengenali saya terus bertanya destinasi yang hendak dituju kerana memandu laju.

“Saya hanya tersenyum dan beritahu perkara sebenar. Paling kelakar dia tanya sama ada mahu saman saya atau pun tidak.

“Menyedari saya sudah lakukan kesalahan, saya terima saja saman itu,” jelasnya yang kini gemar mendengar lagu-lagu nyanyian Datuk Siti Nurhaliza, Hujan dan Elyana dalam mobil tercinta itu.

Kosmo

27
Feb

Rentak Senam Lagu Rakyat

Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN

Aktiviti senaman sebegini bukan sekadar mahu meningkatkan tahap kecergasan setiap lapisan masyarakat, malah ia dapat mengeratkan hubungan antara ahli keluarga dan rakan taulan.


SENAMAN ini digerakkan dengan tarian Inang Masri, Zapin Sarah, Asli Sewang, tarian Cina dan India yang disulami dengan muzik menyegarkan.

PAGI itu, ruang angkasa di Dataran Merdeka berkumandang dengan lagu-lagu tradisional. Mungkin terasa sedikit pelik apabila irama itu dilaungkan pada awal pagi ketika majoriti warga kota masih lena diulit mimpi.

Muzik itu kedengaran begitu kuat, disalurkan menerusi beberapa pembesar suara gergasi yang pasti membuatkan mata yang mengantuk akan menjadi segar serta merta.

Di atas padang yang masih basah dengan embun pagi, ribuan manusia berbaris dan mengambil kedudukan masing-masing. Dengan penuh semangat, mereka dibahagikan kepada beberapa kumpulan tertentu yang dapat ditentukan menerusi warna-warna yang ada pada bendera Malaysia, apa lagi kalau bukan merah, biru, kuning dan putih.

Aktiviti senaman sebegini bukan sekadar mahu meningkatkan tahap kecergasan setiap lapisan masyarakat, malah ia dapat mengeratkan hubungan antara ahli keluarga dan rakan taulan.

Mahu menjadikan aktiviti senaman seperti senamrobik yang selama ini sering dikonotasikan dengan muzik-muzik rancak lebih menarik, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWA) mengambil pendekatan berbeza dan kreatif menerusi pengenalan program yang diberi nama Senam Seni Malaysia.

Mengetengahkan kepelbagaian bentuk tarian dan seni mempertahankan diri yang ada pada akar budaya rakyat Malaysia, keunikan seni ini dijadikan sebagai muzik latar dan gerak asas dalam senamrobik.

Senam Seni Malaysia ini didasari oleh lagu-lagu rakyat Malaysia. Mengambil durasi selama 27 minit, modul senam seni dimulakan dengan sesi memanaskan badan, sebelum diikuti gerakan regangan, kardiovaskular, penyejukan badan dan berakhir dengan gerakan singkat. Apa yang menariknya ialah setiap sesi ini diselitkan dengan muzik, tarian atau gerakan seni mempertahankan diri yang berbeza.

Pada empat minit pertama iaitu dalam sesi memanaskan badan, setiap peserta Senam Seni dibuai dengan keindahan muzik Zapin Budi dan Joget Rentak 106. Mereka diminta melakukan gerakan tarian Inang, Joget dan Zapin yang dipimpin oleh koreografer berpengalaman.

Awal-awal lagi, sudah ada yang tersalah langkah. Diiringi senyuman dan ketawa kecil, semua peserta yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur cuba untuk mengikut langkah yang ditunjukkan sebaik mungkin.

Semangat setiap peserta semakin melonjak dalam sesi regangan yang dilatari dengan muzik gendang silat selama tiga minit. Mengikut gerak bunga silat yang ringkas, mereka seakan sedang mengikuti latihan silat di sekolah menengah.

Sesi kardiovaskular (aerobik) mengambil masa paling lama dalam modul Senam seni ini, selama 14 minit. Namun, masa itu terasa begitu pantas berlalu apatah lagi apabila senaman yang digerakkan dengan tarian Inang Masri, Zapin Sarah, Asli Sewang, tarian Cina dan India itu disulami dengan muzik menyegarkan.

Antaranya ialah lagu Hati Kama, Zapin Hanuman, Sewang dan Jumbalika. Walaupun ramai yang tidak pernah mendengar lagu-lagu rakyat ini (kecuali lagu Hati Kama nyanyian Datuk Siti Nurhaliza), ia tidak menjadi penghalang untuk mereka terus menari sambil mengelap penuh yang mula mengalir.

Senamrobik penuh berseni ini diakhiri dengan sesi menyejukkan badan selama tiga minit. Ruang masa ini diisi dengan muzik daripada lagu etnik Sabah dan Sarawak seperti Sape Kame’. Ketika ini, semua peserta mula menarik nafas lega kerana ia menandakan senamrobik bakal berakhir.

Tetapi, sebelum mereka dibenarkan berehat, para peserta perlu mengikut rentak dan gerak yang diambil daripada pergerakan tarian Datun Jalud, Sumazau, Manganutip, Mengiluk serta gabungan gerakan seni bela diri.

Biarpun agak memenatkan, kesemua peserta nampaknya begitu gembira mengikuti segala gerak tubuh koreografer senamrobik tanpa banyak masalah.


SENAMROBIK penuh berseni ini diakhiri dengan sesi menyejukkan badan selama tiga minit.

Sebenarnya, Senam Seni Malaysia ini bertitik tolak daripada aktiviti hampir sama yang diadakan di Laman Seni KL (LSKL) pada tahun 2005 dan 2006. Diilhamkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Senam Seni Malaysia ini turut mendapat kerjasama daripada Istana Budaya serta Kementerian Belia dan Sukan melalui Majlis Kecergasan Kebangsaan (NFC).

Kemeriahan Senam Seni yang bertemakan ‘Kekal Sihat Ala Malaysia’ ini tambah terasa dengan penglibatan beberapa ‘orang kuat’ kementerian termasuklah Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWA), Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Dalam ucapannya, Rais menyatakan bahawa Senam Seni Malaysia membawa erti yang besar dalam usaha KeKKWA mendukung warisan seni negara, selain menandakan anjakan seni budaya pada sudut berbeza.

“Ilham mengadaptasi seni tarian dan seni bela diri masyarakat Malaysia dalam senaman mampu menjadi pemangkin usaha mengekalkan warisan bangsa. Sebabnya, pengisian senamrobik ini merangkumi semua tarian tradisi masyarakat berbilang kaum termasuk etnik di Sabah dan Sarawak.

“Senam Seni Malaysia harus dilihat sebagai titian dalam menjalin hubungan persahabatan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbeza latar budaya dan agama,” katanya penuh semangat.

Disertai oleh kakitangan yang dibahagikan kepada beberapa kategori seperti pihak berkuasa tempatan, kementerian-kementerian, syarikat korporat dan banyak lagi, penganjuran kali ini dilihat begitu berjaya.

Kepada mereka yang terlepas peluang, tidak perlu bimbang kerana aktiviti ini tidak mustahil akan diluaskan kepada khalayak dan diadakan di negeri-negeri lain.

Kosmo

26
Feb

Download Video Siti Nurhaliza Sekarang!

Stage6 akan ditutup pada 28 ini. Kepada peminat2 Siti, cepat2 download video dan gambar Siti Nurhaliza di sini dan sini sebelum 28.

Selamat mendownload! :mrgreen:

26
Feb

Zoom In Bersama Siti Nurhaliza

SUDAH lama penghibur terkenal tanah air, Datuk Siti Nurhaliza tidak menjayakan program muzikal terbitan RTM.

Dan sudah tentu, kemunculan istimewa beliau pada program Zoom In Bersama Siti Nurhaliza pada 2 Mac ini menjadi berita paling gembira buat peminat-peminat beliau.

Siti Nurhaliza bakal tampil menghiburkan peminat-peminatnya secara langsung di RTM 1 pada pukul 8.30 malam di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Pastinya penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini akan mendendangkan lagu-lagu popularnya selain lagu-lagu daripada album terbaru yang juga merupakan album ke-12 nya berjudul Hadiah Daripada Hati.

Menjanjikan sebuah persembahan yang menarik, Zoom Ini kali ini merupakan bingkisan terbaik Siti Nurhaliza khusus untuk peminatnya selepas sekian lama tidak mengadakan sebarang persembahan secara langsung.

Namun bagi peminat yang ingin datang dan melihat sendiri persembahan tersebut, baik lupakan sahaja.

Ini kerana tiket-tiket bagi menyaksikan persembahan penyanyi nombor satu negara itu telah pun habis diedarkan.

Bagaimanapun, anda ada satu lagi pilihan iaitu memastikan temu janji anda di hadapan kaca televisyen bagi menyaksikan Zoom In Bersama Siti Nurhaliza pada 2 Mac ini.

24
Feb

Jaga Air Muka Tuan Rumah

Oleh SHANIKA ABDULLATIB

Pak Engku sediakan makanan untuk 40,000 tetamu perdana menteri serta ramai selebriti termasuk majlis perkahwinan Siti Nurhaliza dan Ning Baizura.


PENGALAMAN ibu sendiri yang pernah bertugas di dapur istana membolehkan Pak Engku mendalami seni layanan tetamu termasuk penjagaan adat istiadat dan protokol bagi pelbagai jenis majlis.

SIAPA yang mampu melupakan kemeriahan majlis perkahwinan Datin Seri Siti Nurhaliza dengan Datuk Seri Khalid Muhammad Jiwa pada Ogos 2006?

Malah perkahwinan penyanyi bersuara soprano, Ning Baizura Hamzah yang berlangsung indah awal Februari lalu dengan bertemakan suasana kampung, masih diperkatakan hingga saat ini.

Namun di sebalik kemeriahan dua perkahwinan selebriti negara itu, serta deretan perkahwinan kerabat diraja dan orang kenamaan, nama Raja Rosly Raja Mazlan, 48, sukar benar untuk dipinggirkan.

Lebih dikenali dengan panggilan Pak Engku, pemilik Kuzie Catering and Wedding Planner ini makin laris dalam penyediaan santapan untuk pelbagai majlis terutamanya perkahwinan.

“Berdebar? Sesiapa pun akan berdebar sekiranya menjadi kepala dalam mengendalikan sesebuah majlis keraian,” ujarnya ketika ditemui EKSTRA!.

Ceritanya lagi, makanan yang menjadi santapan tetamu merupakan air muka tuan empunya majlis. Justeru, tanggungjawab menyediakan lauk-pauk itu bukan perkara mudah.

Malah setiap hidangan yang hendak dipersembahkan haruslah mengambil kira pelbagai faktor terutama jika ia melibatkan tetamu daripada pelbagai kaum dan agama.

“Saya sendiri yang akan membuat kajian terhadap apa yang perlu dihidangkan di samping berbincang dengan tuan rumah,” jelasnya yang arif mengenai penyediaan makanan bagi majlis perdana menteri.

Menurut Pak Engku lagi, semuanya memerlukan pengalaman, pengetahuan serta kemahiran yang mendalam untuk mengendalikan katering secara besar-besaran termasuklah majlis rumah terbuka Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dihadiri sehingga 40,000 tetamu.

Protokol dan adat istiadat dalam sesebuah majlis walaupun sekecil mana pun, harus diambil berat. Dan kelebihan membesar dalam keluarga yang mempunyai pertalian dengan istana membuatkan Pak Engku menjadi lebih peka.

“Bukan mahu mendabik dada tapi pengalaman emak sendiri yang bertahun-tahun bertugas di dapur istana membuatkan saya dilatih secara tidak langsung. Dan itu saya anggap sebagai tiket untuk berurusan dengan orang kenamaan dengan lebih yakin,” jelasnya.

Tidak gentar dengan kebanjiran pengusaha katering baru, Pak Engku berkata, semuanya ada kelebihan masing-masing dan setiap orang berhak membuat penilaian terhadap servis dan keenakan masakan yang dihidangkan.

“Disebabkan itulah saya akan memastikan tidak lebih daripada tiga majlis untuk dikendalikan pada satu-satu masa kerana bimbangkan kualiti pengendalian acara itu tidak mencapai tahap yang diharapkan,” tegasnya yang memiliki 20 orang petugas tetap.

Jelas Pak Engku lagi, pemahaman mengenai konsep yang diingini oleh tuan rumah akan memudahkan perjalanan majlis tersebut dan mampu memuaskan semua pihak.

“Sebagai contoh, perkahwinan Ning Baizura yang mahukan segalanya bercirikan ala kampung. Jadi persiapan daripada meja berhidang, makan minum, pinggan mangkuk serta gelas perlulah kena dengan majlis itu,” cerita Pak Engku yang mengambil masa selama hampir sebulan bagi mencari dan membuat persiapan majlis perkahwinan penyanyi tersebut.

Tidak menafikan kadangkala kecundang juga dalam menghadapi badai cabaran, Pak Engku tidak betah membiarkan kegemarannya sejak kecil itu berkubur.

“Saya pernah diuji apabila majlis terpaksa dijalankan ketika hujan lebat, tempahan hampir dibatalkan gara-gara lewat menghantar makanan disebabkan jalan sesak dan pernah juga kakitangan menarik diri pada saat-saat akhir, tetapi semuanya saya tempuhi kerana percaya arwah ibu saya tak mahu saya mengalah,” katanya.

Justeru, semangat yang dialurkan oleh ibunya, Raja Halimah Raja Bagus kepadanya sejak sekian lama membuatkan Pak Engku sendiri menjadi kebal terhadap sebarang masalah dan cabaran.

Lelaki ini bukan saja terlibat dalam dunia katering malah ramai yang tidak tahu anak kepada bekas tukang masak istana ini turut berbakat dalam bidang seni.

Dan tidak hairanlah ketika jamuan rumah terbuka Kuzie Catering baru-baru ini, Pak Engku tidak teragak-agak menunjukkan bakat nyanyiannya.

“Tapi itu hanya untuk suka-suka dan lebih kepada hiburan kami sekeluarga ketika masa terluang,” ujar bapa kepada tiga orang cahaya mata ini.

Malah hubungan rapatnya dengan pelakon dan pengacara terkenal, Raja Azura Tengku Ahmad atau Kak Engku menyerlahkan lagi bakat seni pada dirinya.

“Karaoke memang minat saya dan isteri saya, Ramziah Samah sudah lali dengan kepantangan saya jika ada peluang untuk menyanyi,” selorohnya.

Kosmo

21
Feb

Seluar Siti Pun Jadi Isu

APABILA Siti Nurhaliza (kanan) muncul di atas pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-22 baru-baru ini, ada pihak yang mempertikaikan penampilannya.

Dalam beberapa laman blog hiburan, ramai juga yang mengkritik Siti selepas mendakwanya mengenakan seluar ketat pada malam itu.

Ia sama sekali bertentangan imejnya yang baru pulang dari mengerjakan fardu haji dan bergelar hajah.

‘Ketat? Kenalah tengok dekat-dekat. Seluar Siti pada malam itu berpotongan joker, kembang di paha sampai lutut.

‘Tapi, selepas Siti mengenakan but tinggi, itu yang nampak seluar itu ketat, walhal tak ketat langsung.

‘Biasalah orang tetap akan menjaja, seluar Siti ketat, nampak seksi.

‘Siti masih memelihara batasan. Dan yang penting, Siti gembira dan tahu apa yang Siti lakukan,’ jelas Siti dalam laporan akhbar Berita Minggu Malaysia.

10
Feb

Siti Nurhaliza ke Melbourne

WAH! Seronoknya Datuk kita yang seorang ini. Sejak mendirikan rumah tangga, selalu sahaja ke luar negara. Selepas mengerjakan ibadat haji tidak lama dulu, dia menyertai Anugerah Juara Lagu. Kemudian sempat pula bagi komitmen untuk rakaman Aksi Murai (terbitan Astro Ria) untuk episod ke-12.

Kemudian terbang dan kali ini ke Melbourne, Australia. Buat apa di sana Datuk? Bulan madu lagi ke? Atau ada perancangan mengadakan konsert di sana?

Hah! Dua-dua tekaan itu salah. Sebenarnya Siti Nurhaliza mengunjungi Melbourne kerana menemani suaminya, Datuk Khalid Jiwa dan anaknya, Mohd. Adib ke sana.

Untuk apa? Untuk menghantar dan menemani anaknya itu mendaftarkan diri di salah sebuah kolej di sana. Mohd. Adib yang comel itu akan melanjutkan pengajiannya di Melbourne.

Dah ke sana, Joyah pasti mereka mengambil peluang makan angin. Hisy! Bestnya ya… Bila pula Joyah dapat ke sana agaknya ye?

6
Feb

Selamat Tahun Baru Cina, AJL dan ABP…

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua. Moga sentiasa ceria dan diberkati Allah perjalanan hidup sehari-hari kita.

Siti juga ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada peminat Siti yang berbangsa Cina dan hendaknya anda semua gembira bersama keluarga tersayang.

Siti ingin melahirkan rasa gembira dan terharu dengan komen-komen anda mengenai Anugerah Juara Lagu (AJL) baru-baru ini dan ia melambangkan kesungguhan kita semua kerana tidak mudah mahu melakukan yang terbaik serta memuaskan hati semua pihak. Justeru Siti sejak awal berjanji untuk memberikan yang terbaik semampu Siti dan Alhamdulillah Siti menerima maklumbalas yang baik daripada media dan juga peminat. Bagi Siti bukan anugerah yang dikejar tapi bagaimana kita mahu mempersembahkan tanggungjawab yang diberi sebaik mungkin. Mungkin bukan rezeki Siti tahun ini tetapi Siti yakin setiap seorang daripada anda juga dapat menerima keputusan AJL dengan hati yang terbuka.

Sekarang ini Siti baca mesej anda semua sedang berusaha keras untuk Anugerah Bintang Popular (ABP) dan Siti tahu tanggungjawab anda sebagai peminat dan Siti hanya doakan yang terbaik sahaja. Siti terharu dengan sokongan anda dan usaha yang anda buat ini pasti mengkagumkan Siti walaupun akhirnya nanti kita akur bahawa rezeki itu adalah ketentuanNya. Tidak salah berusaha kerana kita akan berasa puas jika kita telah memberikan sebaik mungkin dan sedaya upaya kita. Gelaran popular dan sebagainya mungkin pernah Siti raih selama ini tetapi apa yang penting Siti mahu terus memberi bakti yang terbaik dalam industri walaupun status Siti sekarang sudah berubaha. Perjalanan seni Siti harus diatur dengan baik dan InsyaAllah Siti akan tetap berusaha ke arah yang lebih baik dari semasa ke semasa.

Pertengahan bulan ini Siti akan ke Jakarta, Indonesia untuk promosi album Hadiah Daripada Hati. Tentunya jadual 3 hari Siti di sana akan padat dengan pelbagai acara yang diatur oleh pihak Universal Indonesia. Siti gembira kerana album Siti sudah menemui peminat di Indonesia, harapan Siti agar peminat di sana dapat menerima album ini.

Siti juga ada berita gembira buat peminat Siti di Singapura Mac ini tapi belum mahu mengumumkannya kerana masih dalam perbincangan. Bila sudah jadi kenyataan nanti Siti akan khabarkan kepada anda. InsyaAllah.

Sekian dahulu coretan kali ini, terima kasih atas sokongan selama ini. Jumpa lagi.
Siti Nurhaliza

5
Feb

Bertudung… Renung Renungkan..