Strategi Datuk K
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

Album Inggeris bawa Datin Seri Siti Nurhaliza ke peringkat global
SAAT imej baru Datin Seri Siti Nurhaliza Taruddin yang berselendang mengundang pelbagai reaksi peminat hiburan tanah air, suaminya Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa memilih untuk mengembangkan lagi kerjaya seni isterinya ke peringkat yang lebih tinggi dengan menerbitkan sebuah album Inggeris.
Ketika ditemui selepas majlis meraikan ulang tahun ke-29 Siti di Hotel Le Meridien, Khamis lalu yang dihadiri beberapa orang kenamaan, selebriti dan rakan media yang dekat dengan pasangan ini, Khalid bagaimanapun berkata, cadangan itu masih di peringkat perbincangan.
Usahawan popular yang lebih dikenali dengan gelaran Datuk K itu berkata, beliau akan cuba untuk mendapatkan komposer terbaik untuk menghasilkan lagu yang terbaik buat isterinya.
Beliau juga berharap album itu akan membawa isterinya ke peringkat yang lebih tinggi dan boleh diterima di negara luar. Selain mendapatkan komposer terbaik, album itu juga nanti akan disuntik dengan elemen Arab dan Sepanyol supaya lebih ramai orang dapat menerimanya.
Bukan itu saja, kata Khalid, ia juga secara tidak langsung dapat memperbaiki penguasaan bahasa Inggeris isterinya.

PANJANG UMUR: Siti memotong kek hari lahir sambil diperhatikan ibu bapanya, ibu mentua anak Khalid.
Ditanya pada Siti pula, apakah perasaannya apabila suami tercinta mempunyai perancangan setinggi itu, katanya dia cukup gembira kerana dapat mengembangkan kerjayanya ke peringkat antarabangsa.
“Siti lagilah seronok, lagi pun sebelum ini Siti banyak menyanyikan lagu Inggeris pada majlis makan malam. Ramai yang bertanya bila Siti ingin lahirkan album Inggeris. Jadi, Siti rasa kini sudah tiba masanya dan Siti akan belajar dan mencari orang yang boleh bimbing Siti untuk merealisasikan impian suami,” katanya.
Ketika ditanya mengenai reaksi negatif mengenai imej barunya itu, Siti sebagai anak seni yang berpengalaman berkata, terpulanglah kepada pendapat masing-masing.
Baginya, dia kini lebih selesa dengan imej berselendang dan dia tidak mahu terlalu drastik mengubah imejnya. Barangkali, Siti mengambil iktibar yang berlaku kepada beberapa artis yang drastik mengubah imej tetapi mereka kembali kepada imej lama dan seterusnya dicemuh masyarakat.
“Siti ingin tegaskan di sini yang Siti memerlukan masa perlahan-lahan untuk membuat perubahan. Memang Siti pernah berangan-angan untuk pakai tudung dan duduk berehat saja di rumah. Tetapi apabila sudah melaluinya, ternyata bukan mudah. Biarlah Siti bermula dengan perlahan-lahan dulu. Tahun depan Siti cuba perbaiki lagi .
“Orang boleh berkata apa saja, itu sudah lumrah. Orang akan menjadi hakim, kita buat sikit pun orang kata, buat banyak pun akan dikata. Jadi lebih baik Siti berdiam diri,” katanya yang belum lagi terfikir untuk meninggalkan dunia seni kerana minatnya pada dunia nyanyian masih lagi menebal.
Sementara itu, Datuk K apabila diminta mengulas mengenai imej baru isterinya berkata, dia tidak kisah mengenai penampilan isterinya. Terpulang kepada Siti untuk menentukan penampilannya kerana baginya bertudung atau tidak, isterinya tetap kelihatan manis.
“Saya ada mendapat maklum balas rakan rapat. Ada yang suka dan ada juga yang kurang setuju dengan gaya baru Siti. Bagi mereka, Siti masih muda. Saya tidak suruh dan juga tidak melarang, saya setuju apabila Siti kata dia mahu berubah perlahan-lahan.
“Bagi saya yang penting niat dia, hati mesti baik dan iman mesti kuat. Iman bukan terletak pada penampilan. Saya suka lihat Siti berselendang saja, kerana ia lebih manis dan dia nampak selesa mengenakan selendang daripada tudung,” kata Khalid.
Jika ada yang berkata, penampilan bertudung akan menyukarkan Siti menerima undangan nyanyian, telahan itu ternyata silap kerana sejak pulang dari menunaikan haji, dia ada menerima tawaran tetapi terpaksa ditolak kerana ingin berehat. Selain itu, Siti juga mahu menumpukan perhatian kepada persediaan menghadapi Anugerah Juara Lagu ke-22 nanti.
Detik cecah usia 29 tahun paling bermakna
KALI ini sambutan ulang tahun Siti diadakan sehari lebih awal mengambil keberkatan Awal Muharam iaitu pada Khamis lalu. Jika tahun lalu, Khalid memilih restoran terkemuka di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur, kali ini hotel terkemuka pula menjadi pilihannya bagi meraikan ulang tahun ke-29 isteri tersayang.
Ramai orang kenamaan dan selebriti yang diundang seperti Datin Norjuma Habib Mohamad dan suami, Syafinaz, Diddy, Fazli Zainal, Sharifah Haslinda, Sharifah Shahira, keluarga Fatimah Abu Bakar, Faradhiya dan Hattan serta rakan media yang rapat dengan pasangan ini.
Bagi penyanyi manis itu, rancangan suami mengadakan majlis hari lahirnya itulah hadiah yang bermakna. Jadi, tidak perlu dia mendedahkan apakah hadiah istimewa lain diberikan suami. Lebih penting lagi kata penyanyi yang tampil dengan imej sopan berselendang sejak pulang daripada mengerjakan haji, kasih sayang serta perhatian yang diberikan suaminya sepanjang hampir dua tahun bergelar suami isteri juga satu hadiah yang tak ternilai.
Manja di sisi suami, Siti dilihat tidak pernah lekang menggenggam erat tangan suaminya apabila bersama. Mereka bagaikan pasangan pengantin baru yang sedang asyik menikmati saat bulan madu. Hatta ketika sidang media sekali pun jarang sekali genggaman tangan mereka terlepas. Ia sudah cukup membuktikan betapa Siti kini cukup bahagia menikmati alam rumah tangga.
“Hadiah biarlah antara kami berdua saja yang tahu. Kebendaan bukan perkara utama, kasih sayang suami, perhatian dan keikhlasan suami menjaga Siti dengan baik dari hujung rambut hingga hujung kaki sudah memadai,” katanya sambil merenung tajam suami di sisi.
Lazimnya apabila tiba tahun baru, pasti ada saja azam yang dipasang setiap individu. Begitu juga apabila usia menginjak setahun lagi, tentu ada impian yang terpahat di sanubari setiap umat manusia. Soalan mengenai impian dengan pertambahan usianya tidak lupa diajukan.
Ujar penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu dia mengharapkan kehidupannya yang akan dilalui pada hari mendatang menjadi lebih baik dari pelbagai aspek. Dilimpahi kebahagiaan, kegembiraan bukan saja buat dirinya tetapi juga keluarga dan kerjaya.
Ditanya mengenai impian lain selain yang disebutnya, Siti bagaikan sudah mengerti bukan jawapan itu yang dimahukan media.
“Siti sudah agak soalan itu mesti ada. Impian Siti tentulah untuk menambahkan lagi bilangan ahli keluarga dan Siti berharap tahun ini impian itu dimakbulkan,” katanya.
Siti Nurhaliza bakal lahir album Inggeris
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
SELAMA hampir 12 tahun menjadi anak seni, penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin mungkin telah mengecapi kejayaan yang diidamkannya.
Malah, dia juga pernah berkata, adalah menjadi satu kelengkapan dalam perjalanan seninya jika dia melahirkan sebuah album Inggeris bagi peminat setianya yang tidak pernah putus memberikan sokongan kepadanya.
Kepada peminat setia Siti Nurhaliza, ini merupakan satu berita baik buat anda kerana kini, penyanyi jelita itu sedang merangka perancangan untuk melahirkan sebuah album Inggeris yang bakal mendapat sentuhan komposer tempatan dan juga luar negara.
Ini diakui sendiri oleh suami tercintanya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa yang mahu melihat isterinya itu mengorak setapak lagi langkah dalam kariernya untuk menembusi peringkat antarabangsa.
“Kami masih dalam perancangan untuk menerbitkan album Inggeris pertama Siti. Saya juga sedang cuba menghubungi beberapa pihak yang boleh merealisasikan impian Siti ini. Kami juga tidak mahu terlalu terburu-buru namun saya akan usahakan demi yang terbaik untuk Siti,†jelas Khalid.
Khalid dan Siti Nurhaliza ditemui pada majlis sambutan hari lahir ke-29 penyanyi itu yang diadakan di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur, malam Khamis lalu.
Tambahnya, dengan lahirnya album itu kelak, setidak-tidaknya ia mampu untuk membawa Siti ke satu peringkat yang lebih tinggi.
Bagi diri Siti sendiri, dia juga begitu teruja dengan perancangan album tersebut kerana selain mahu melengkapkan portfolio seninya, ia juga sebagai memenuhi permintaan peminatnya yang sering bertanyakan kelahiran album Inggerisnya.
“Sudah pasti, sebelum merakamkan album itu, saya akan membuat persediaan rapi terlebih dahulu dan meminta bantuan dari mereka yang arif untuk memastikan album ini berjalan dengan lancar,†jelas penyanyi yang kini semakin popular dengan lagu Melawan Kesepian itu.
Penghijrahan Siti
Ramai yang sudah mengetahui perubahan yang berlaku ke atas penyanyi nombor satu negara itu sebaik sahaja pulang dari menunaikan haji pada 27 Disember lalu.
Sudah pun namanya Siti Nurhaliza, pasti dirinya tidak terlepas dengan kritikan dan kata-kata yang tidak menyenangkan tentang penampilan terbarunya itu.
“Saya tahu mungkin ramai yang mahu saya menunaikan janji saya dahulu iaitu akan bertudung selepas berkahwin. Saya masih pegang pada janji. Namun, setelah saya berkahwin, barulah saya sedar bukan mudah untuk melakukan sesuatu perkara itu secara mendadak.
“Biarlah saya berhijrah secara perlahan-lahan dengan bermula imej sebegini. Lagipun, suami saya memberikan sokongan padu buat saya. Lebih baik saya dengan cara begini dahulu daripada memakai tudung atas desakan orang tanpa lahir keikhlasan daripada hati. Satu hari nanti, saya akan tetap bertudung,†jelasnya yang semakin berseri dan jelita.
Saat diajukan soalan kepada suaminya, Khalid hanya memberitahu dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan penampilan terbaru isterinya itu.
“Saya juga menerima maklum balas dari rakan-rakan saya sendiri. Ada yang setuju dan ada juga yang mengatakan Siti masih muda untuk berpakaian demikian. Saya tidak kisah asalkan niat dan keikhlasan hatinya. Itu yang paling penting,†katanya sambil memandang isteri tercintanya.
Reda dengan keputusan AJL
Penyanyi yang baru sahaja melahirkan album solonya yang ke-12, Hadiah Daripada Hati itu kini giat menjalani latihan dan memikirkan corak persembahan untuk lagu Destinasi Cinta yang akan dipersembahkannya pada malam Anugerah Juara Lagu Ke-22 (AJL22) pada 27 Januari nanti.
“Saya akan melakukan yang terbaik untuk malam itu nanti. Segala keputusan yang akan diumumkan pada malam itu nanti, saya terima dengan reda kerana percaya dengan rezeki Allah. Saya tidak kisah seandainya saya pulang dengan tangan kosong kelak,†katanya.
Untuk kategori Pop Rock, Destinasi Cinta akan bersaing hebat dengan lima buah lagu lain iaitu Farhana (Puteri Bumi Kenyalang) dendangan Jinbara, Itu Kamu (Estranged), Janjiku (Sofaz), Angan dan Sedar (Mawi) serta Sembunyi (Misha Omar dan Andy).
Siti turut menjelaskan, Destinasi Cinta mempunyai keunikan tersendiri dan ia juga merupakan antara lagu berentak rancak kegemarannya sepanjang menjadi anak seni.
“Bagi saya, meskipun Destinasi Cinta adalah catchy tetapi ia bukanlah lagu yang mudah dibawa. Ia begitu mencabar vokal saya kerana lagu tersebut mempunyai momentum dari nada rendah sehingga ke tahap tinggi,†ujarnya.