Siti Bertudung Bukan Dipaksa
Oleh JESSABELL SOO
SITI NURHALIZA
SEMENJAK Datin Seri Siti Nurhaliza kembali daripada menunaikan fardu Haji banyak spekulasi mengenai imejnya timbul. Persoalan pertama wujud apabila dia muncul pada majlis hari jadi Chef Wan malam Ahad lalu dengan mengenakan tudung berwarna hitam rekaan Bernard Chandran.
Pada majlis hari jadi ke-29 Siti yang diaturkan khas oleh suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa pada malam Khamis lalu, Siti sekali lagi diajukan soalan sama mengenai penampilannya tetapi penyanyi nombor satu negara ini menyahut soalan dengan penuh sabar.
Memberitahu dirinya lebih tenang sejak pulang dari Mekah, Siti juga tidak menafikan dirinya akan bertudung tetapi masih memerlukan masa untuk menghadam perubahan ini.
“Mengenai isu bertudung, Siti sebenarnya memerlukan masa untuk melakukan perubahan ini. Dulu memang Siti menyimpan angan-angan untuk memakai tudung dan duduk di rumah selepas menjadi isteri.
“Tetapi perubahan ini sebenarnya tidak mudah. Lagipun Siti tidak mahu lakukannya secara drastik. Jadi sekarang Siti mula dengan memakai tudung (longgar) dan mungkin tahun depan Siti akan cuba memakai tudung,” kata Siti yang mengenakan tudung rekaan Bernard Chandran pada malam itu.
‘Penghijrahan’ imej Siti memang merupakan keputusannya sendiri dan juga mendapat sokongan daripada suami tercinta. Namun, sebagai figura yang diperhatikan setiap masa, perubahan ini mengundang pelbagai komen.
“Orang boleh cakap apa sahaja. Ini adalah lumrah sebagai seorang artis kerana orang ramai adalah ‘hakim’. Apa yang orang kata Siti tidak risau kerana Siti lakukan yang terbaik untuk diri sendiri.
“Biarlah keputusan ini lahir daripada hati dan dilakukan secara perlahan-lahan. Siti tidak mahu terburu-buru dan mendapat tekanan orang ramai yang kemudian boleh ‘menyebabkan’ Siti membuka tudung,” senyum Siti yang kini baru mula mengumpul koleksi tudung.
Tindakannya bertudung turut meraih sokongan penuh daripada suaminya yang lebih popular dengan panggilan Datuk K. Namun, sebagai suami Siti, dia juga perlu berhadapan dengan komen orang sekeliling.
“Memang banyak respons yang diterima yang datangnya majoriti daripada kawan-kawan saya. Ada yang setuju dan ada yang kata Siti terlalu muda untuk bertudung. Dia (Siti) diminati ramai, jadi memang banyak pendapat yang diterima.
“Saya tidak suruh dia memakai tudung sekarang tetapi saya setuju apabila dia menyatakan hendak lakukan perubahan secara perlahan. Apa yang penting adalah tingkah laku dan iman yang kuat. Tidak dinafikan dia lebih manis bertudung tetapi apabila di rumah, saya juga suka keayuan dia tanpa tudung,” jelas Datuk K.
Mendapat ilham semasa menyaksikan Festival Fesyen Islam Antarabangsa pada tahun lalu, Siti yang pada mulanya kekok bertudung kini lebih selesa dan akan mendapatkan khidmat pereka, Radzuan Radzwill untuk berkongsi idea.
“Kita akan bincang dengan Radzuan untuk mendapatkan stail bersesuaian. Kami akan mengambil tudung biasa dan mengubahnya. Apa yang penting adalah keselesaan dan Siti tidak mengganggu Siti semasa menyanyi,” tambah Datuk K.
SUAMINYA sentiasa beri sokongan.
Namun, bertudung juga menimbulkan persepsi bahawa Siti kini kurang mendapat tawaran menyanyi di majlis-majlis.
“Siti percaya kepada rezeki. Bukannya apabila Siti bertudung orang tidak mahu panggil untuk menyanyi. Padahal ramai yang memberikan tawaran selepas Siti balik dari Mekah. Cuma Siti menolaknya kerana ingin berehat.”
Tidak mahu memberitahu apa yang dihadiahkan oleh Datuk K, Siti yang mendapat sebuah kereta tahun lalu memberitahu kebendaan bukan perkara utama yang diingininya.
“Hadiah itu bukan isu utama. Apa yang penting adalah kasih sayang dan dia menjaga Siti dengan baik. Siti tidak perlu risau di bawah jagaannya. Mengenai isu menambahkan ahli keluarga, Siti juga berdoa segera dikurniakan cahaya mata,” senyum Siti lagi.
Bakal bertanding dalam Anugerah Juara Lagu 22 pada 27 Januari ini dalam kategori pop rock, Siti kini sedang berlatih dan mengatur corak persembahannya. Namun, dia tidak kisah dengan faktor kemenangan.
“Siapa-siapa pun layak untuk menang. Siti tidak kisah kerana keputusan bukan di atas tangan Siti. Lagipun Siti pernah kalah dan apa yang utama adalah Siti melakukan persembahan baik.
“Memang lagu itu (Destinasi Cinta) menarik perhatian dan mengandungi irama pop yang kuat. Ini adalah antara lagu pop yang Siti suka,” tambahnya lagi.
Album Inggeris pertama
Mungkin perubahan imej Siti turut menimbulkan pertanyaan sama ada dia akan berhenti menyanyi. Namun, Siti memberitahu dia akan terus menyanyi kerana cintanya terhadap nyanyian terlalu mendalam.
“Dalam masa setahun dua ini, saya berharap Siti boleh menerbitkan sebuah album Inggeris. Kami kini sedang mencari komposer yang sesuai bertaraf antarabangsa dengan sentuhan muzik Inggeris, Sepanyol dan Arab.
“Jika menerima sambutan baik, Siti mungkin boleh menembusi pasaran antarabangsa. Lagipun Siti sudah memiliki vokal dan menyanyi lagu Inggeris bukan satu masalah. Malah saya juga tidak kisah untuk melabur ke atas album ini,” jelas Datuk K yang sudah menghubungi beberapa komposer antarabangsa.
Berasa seronok dengan idea Datuk K, Siti sendiri sudah bersedia menghadapi cabaran untuk menyanyi dalam Bahasa Inggeris.
“Memang selalu dalam majlis-majlis, Siti ada menyampaikan lagu Inggeris. Tetapi Siti masih perlu belajar dan dengan bantuan beberapa kenalan, Siti rasa ia pasti boleh direalisasikan,” tambahnya yang juga ingin menceburi bidang perniagaan.
BERSAMA keluarga menyambut hari jadi ke-29.
Pada majlis eksklusif yang bertempat di riang legar kolam renang Hotel Le Meridien itu, hampir 300 tetamu hadir yang terdiri daripada ahli keluarga dan sahabat serta rakan seperjuangan.
Antara tetamu yang hadir adalah ibu bapa Siti, Siti Salmah Bachik dan Tarudin Ismail, ibu Datuk K, Zainab Hanapi, kakak ipar Siti, Rozie, kakak Datuk K, Zaiton Mohd. Jiwa, dua orang anak Datuk K, Mohd. Adib, 18, dan Mohd. Aazief, 10.
Manakala rakan artis yang hadir adalah Sharifah Amani, Que Haidar, Sharifah Aleya, Syafinaz Selamat (yang turut berkongsi tarikh hari jadi bersama Siti), Sean Ghazi, Sharifaj Shahira, Fasha Sanda, Datin Norjuma Habib dan suami, penyanyi Indonesia, Rossa, Zed Zaidi, Betty Benafe, Faradhiya dan majlis diacarakan oleh Aznil Hj. Nawawi.
Kosmo
Siti sambut hari lahir dengan imej bertudung
Oleh: SHAZRYN MOHD. FAIZAL

KHALID Mohamad Jiwa menyuap kek kepada isterinya, Siti Nurhaliza pada majlis sambutan ulang tahun hari lahir Siti di Kuala Lumpur, semalam. – Gambar SYEFRY MONIZ .
KUALA LUMPUR 11 Jan. – Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin yang menyambut hari lahirnya yang ke-29 hari ini berharap dapat mengecapi kebahagiaan yang berpanjangan bersama suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.
“Saya juga berharap karier saya akan terus cemerlang selain dapat melihat beberapa perancangan yang telah diatur menjadi kenyataan. Sudah pasti saya juga mengharapkan dikurniakan cahaya mata agar menjadi pelengkap kepada keluarga saya dan suami,†kata penyanyi jelita itu.
Siti Nurhaliza yang kini bergaya dengan imej bertudung berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan hari lahirnya yang diadakan dalam suasana meriah di sebuah hotel terkemuka di ibu kota di sini malam tadi.
Penyanyi yang popular dengan lagu Biarlah Rahsia itu juga mengharapkan agar orang ramai tidak mendesak dan memberi tekanan kepadanya hanya kerana dia tampil dengan imej yang bukan seperti dijanjikannya sewaktu selepas berkahwin dahulu.
“Buat masa ini, saya selesa dengan penampilan sekarang. Perubahan yang saya lakukan ini adalah lebih elok jika dilakukan secara perlahan-lahan dan tidak terlalu drastik.
“Saya tidak mahu isu bertudung menjadi isu besar. Satu hari nanti saya akan bertudung juga. Biarlah ia datang dari hati yang ikhlas dan bukan secara paksaan. Berilah saya masa,†jelasnya.
Siti Nurhaliza pernah berjanji akan mengenakan tudung sebaik sahaja menjadi isteri kepada Khalid, 49, pada 21 Ogos 2006.
Penyanyi yang baru sahaja muncul dengan album terbarunya, Hadiah Daripada Hati, itu turut memberitahu, penghijrahan dirinya dari segi penampilan bukan satu penghalang untuk dia terus menjadi anak seni.
“Alhamdulillah, rezeki saya untuk persembahan semakin murah dan saya percaya setiap rezeki itu datang daripada Allah,†katanya yang semakin berseri dan jelita selepas pulang daripada mengerjakan haji pada 27 Disember lalu.
Sambutan majlis hari lahir Siti Nurhaliza itu turut dihadiri sahabat-handai, ahli keluarga serta artis dan selebriti tempatan, antaranya Syafinaz Selamat, Chef Wan, Sharifah Amani, Que Haidar, Fazli Zainal, Sean Ghazi, Habsah Hassan serta penyanyi Indonesia, Rossa.
Dalam perkembangan lain, Siti Nurhaliza memberitahu, dia akan bertanding dalam Anugerah Juara Lagu Ke-22 anjuran TV3 pada 27 Januari ini. Lagunya, Destinasi Cinta, terpilih sebagai lagu yang akan bersaing dalam kategori pop rock pertandingan itu.
Alahai kasihannya cik siti…
Oleh
Hanim Mohd Saleh
KESIAN Hajah Datin Seri Siti Nurhaliza. Daripada zaman hingusannya baru keluar sebagai juara RTM sehingga menjadi popular, bergelar isteri, kemudian datuk dan terkini pulang setelah menunaikan fardu haji, tak habis-habis soal pakaiannya diperkatakan.
Kebanyakannya mempersenda dan menjadikan gaya Siti berpakaian sebagai bahan untuk ketawa.
Saya akui, saya juga kadangkala tidak dapat menahan geli hati apabila terima kiriman e-mel yang membanding-bandingkan pakaian Siti dengan gambar kelakar yang entah daripada mana sumbernya.
Dulu, pakaian Siti dianggap sesetengah orang sebagai kampungan dan kuno.
Hairan juga ya… macam mana boleh dikatakan begitu sedangkan Siti mempunyai konsultan imej dan jurudandan profesional. Jadi kalau Siti berpakaian yang dianggap kurang sesuai, sepatutnya orang yang memberi nasihat itu yang harus bertanggungjawab.
Sebaliknya apa yang terjadi, sesiapa saja yang pernah dikaitkan sebagai orang kepercayaan Siti, termasuk dalam bab menyediakan pakaian dan solekan, hari ini menjadi lebih kaya dan popular.
Kemudian, orang ramai menuntut agar Siti menunaikan hasratnya untuk bertudung setelah bergelar isteri.
Kesian Siti. Sejak berkahwin dengan Datuk K lebih setahun lalu, hampir setiap wawancara beliau diasak dengan soalan: Bila nak pakai tudung?
Walhal, berapa ramai artis lain yang telah berkahwin dan berulang-alik ke Makkah menunaikan umrah, tidak pula ditekan dan dipersoalkan tentang aurat yang terdedah.
Saya yakin, Siti, sebagai anak yang dididik dengan asuhan agama, cukup sedar akan tanggungjawabnya.
Kini, setelah pulang mengerjakan haji, Siti tampil bertudung.
Namun beliau tetap dikutuk dengan teruk oleh para penulis forum di Internet yang berpendapat cara Siti menutup kepala tidak mengikut landasan Islam. Lehernya masih kelihatan, anak-anak rambutnya masih berjuntaian.
Saya dapat rasakan mengapa sesetengah orang yang suka atau menyampah dengan insan bernama Siti Nurhaliza yang tersohor ini, sebenarnya mahukan seorang ikon yang paling sempurna untuk dijadikan inspirasi.
Ini terutama mereka yang percaya perlunya beliau mengimbangi antara hiburan dengan agama.
Masyarakat mencari ikon yang boleh mempengaruhi generasi masa depan dengan secara positif dan progresif.
Rasanya, pengaruh Siti lebih hebat daripada Mawi.
Potensi ikon harapan itu memang ada pada Siti Nurhaliza.
Siti mendapat perhatian kerana teguh menjaga kesopanan dalam berpakaian.
Beliau membuktikan, tanpa banyak mendedahkan kulit pun, beliau tetap mampu menggegarkan dunia seni hiburan.
Siti juga membuktikan, sebagai orang seni, beliau ada pengaruh politik dan mampu menjana ekonomi.
Sebab itu, apabila Siti, hari demi hari terutama setelah berumah tangga, dilihat leka dalam bab-bab sensitif, kedudukan suami yang cukup sensasi dan gagal memenuhi keinginan masyarakat untuk menjadi ikon yang paling sempurna, beliau diserang habis-habisan.
Siapa yang harus dipersalahkan? Masyarakat yang terlalu berharap atau Siti, yang tidak sedar, beliau memikul harapan besar itu?
Namun sudah dinamakan Siti Nurhaliza. Biarpun terus dikutuk dan ditertawakan, orang ramai akan terus memberikan perhatian.
Salah silap, tudung yang dianggap fesyen ala Allahyarhamha Benazir Bhutto yang dipakai Siti hari ini menjadi trend tidak lama lagi.
Walhal, sebelum ini, ramai artis Indonesia, termasuk Hetty Koes Endang, sudah lama mengenakan fesyen tudung yang sama, tetapi tidak pernah pula diperkatakan.
Alahai… dah nasib Hajah Siti.