Siti nur’hajah’liza
KUALA LUMPUR: Selepas pulang menunaikan ibadat haji, penyanyi terkenal, Datin Seri Siti Nurhaliza Taruddin, 28 tahun, buat kali pertamanya tampil dengan imej bertudung ketika menghadiri majlis hari jadi Cef Wan di Restoran Tarbush di Starhill, Bukit Bintang, di sini malam kelmarin.
Siti berangkat ke Makkah pada 13 Disember lalu untuk menunaikan rukun Islam kelima itu dan selamat pulang ke Malaysia pada 27 Disember lalu.
Beliau diitemani suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamed Jiwa, ketika ditemui di majlis tersebut dan memberitahu bahawa penampilannya itu akan dikekalkan.
‘Insya-Allah, buat masa sekarang inilah penampilan saya dan tudung ini direka khas Datuk Bernard Chandran.
‘Saya ada beberapa lagi koleksi tudung yang sama. Rasanya ia sangat sesuai,’ katanya ketika ditemui pemberita.
Siti juga menegaskan beliau akan menutup kepala apabila menyertai Anugerah Juara Lagu Ke-22 yang dijadualkan berlangsung 27 Januari ini di Stadium Putra, Bukit Jalil.
‘Setakat ini, saya belum pasti bagaimana corak tudungnya, tetapi apa yang pasti, saya akan menutup kepala.
‘Walaupun lagu Destinasi Cinta agak rancak, ia bukan satu masalah kerana cara berpakaian saya sekarang boleh disesuaikan dengan corak persembahan,’ kata Siti.
Siti tidak menafikan bahawa penampilannya itu akan menimbulkan ‘percakapan belakang’ di kalangan masyarakat.
Bagaimanapun, beliau berkata beliau tidak akan menghiraukannya kerana keputusannya itu ikhlas dan disenangi serta disokong suaminya. — Harian Metro.