Estetika Jam Tangan Mewah
Oleh ADHAM SHADAN adham.shadan@kosmo.com.my

BEBERAPA jam tangan yang turut tercalon dalam kategori jam tangan wanita pilihan dalam Anugerah Starhill Gallery Watch of the Year di Starhill Gallery baru-baru ini.
SEBUAH pentas di Starhill Gallery berkelipan penuh glamor malam itu apabila para peragawan dan para peragawati berjalan penuh gaya sambil memakai jam tangan mewah dan eksklusif. Begitulah percikan ekstravaganza yang dapat dirasai dan disaksikan oleh para hadirin dalam Anugerah Starhill Gallery Watch of the Year di pusat beli-belah di ibu kota itu baru-baru ini.
Sebanyak 50 buah jam tangan keseluruhannya dicalonkan bagi merebut lima kategori yang dipertandingkan antaranya jam tangan lelaki dan wanita pilihan. Yang pastinya, jam-jam tangan yang tercalon itu bukan calang-calang jam. Tidak hanya ternama, anggun dan amat mewah dengan harga sudah tentu melepasi ribuan, bahkan ia mungkin satu-satunya di dunia.
Selepas meneliti dan mengadili jam-jam tangan tersebut buat beberapa tempoh masa, keputusan yang dicapai oleh tujuh orang panel juri diumumkan pada malam penuh debaran itu. Sesuai sekali dianggap majlis anugerah itu sebagai kemuncak kepada pameran jam tangan dan barang kemas mewah A Journey Through Time yang berlangsung di Starhill sejak awal bulan Disember lalu.
Ciri unik dan rekaan estetika yang ada pada jam tangan Jaquet Droz Tiger Eye Petite Heure Minute telah menarik hati juri untuk menobatkannya sebagai Jam Tangan Wanita Pilihan Starhill Gallery 2007. Rekaan mekanikalnya yang indah dengan laras berganda emas 22 karat dan 18 karat emas putih yang berpadu bersama perak memang menarik perhatian.
Sementara itu, Audemars Piguet Royal Oak Offshore Jalan Bukit Bintang Chronograph telah menambat hati juri untuk memenangi kategori Jam Tangan Lelaki Pilihan Starhill Gallery 2007. Jam tangan yang sebenarnya didedikasikan kepada AP Boutique Jalan Bukit Bintang ini tampak penuh gaya maskulin. Difahamkan, ia merupakan edisi terhad sebanyak 100 buah tetapi semuanya telah terjual!

SEORANG model menggayakan jam tangan Audemars Piguet Royal Oak.
Selain daripada dua kategori yang ditunggu-tunggukan itu, kategori-kategori lain yang turut tidak kurang hebatnya ialah Jam Tangan Gaya Hidup Aktif Starhill Gallery 2007, Jam Tangan Rekaan Inovatif Starhill Gallery 2007, Jam Tangan Pergerakan Komplikasi Starhill Gallery 2007 dan Jam Tangan Pilihan Tourism Malaysia 2007.
Antara yang menang ialah jam tangan Villemont Arctic Explorer Limited Edition Lewis Pugh dan jam tangan Blu Majesty T3.
Mengenai malam anugerah tersebut, rata-rata 10 jam tangan dicalonkan bagi setiap kategori. Ketika pencalonan diumumkan, model yang mewakili jam tangan berkenaan naik ke pentas.
Apabila pemenang diumumkan, wakil daripada jenama jam tangan berkenaan naik untuk menerima anugerah.
Anugerah tersebut berupa sebuah trofi yang cantik rekaan ahli seni terkenal, Abdul Muthalib Musa.
Tujuh panel juri tersebut diketuai oleh Tan Sri Datuk Dr. Francis Yeoh, pengarah urusan kumpulan YTL Corporation Berhad, pemilik Starhill Gallery. Juri-juri yang lain ialah Duta Switzerland ke Malaysia, Dr. Urs Stemmler, Jean-Francois Meyer dari Federation Swiss Watch Industry, Dr. Bernard Cheong, penulis, pengumpul dan jurucakap mengenai kehalusan jam tangan terkenal, Datuk Mokzhani Tun Mahathir, Datin Azrene Abdullah, menantu Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi dan penyanyi wanita popular negara, Datin Seri Siti Nurhaliza Taruddin.
“Menghakimi jam-jam tangan tersebut bukanlah mudah. Kriterianya perlu benar-benar tepat dan amat bersesuaian dengan kategori yang dipertandingkan,” kata Yeoh sambil menerangkan bagi jam tangan wanita dan lelaki pilihan, rekaan estetika yang mampu mencetuskan trend diletakkan sebagai penentu aras kualiti dan keunikan sebuah jam berbanding jam yang lain.
Majlis anugerah telah disempurnakan oleh Setiausaha Kementerian Pelancongan, Datuk Dr. Victor Wee. Penonton turut disajikan dengan persembahan penyanyi Ning Baizura.
Pameran A Journey Through Time merupakan kerjasama antara Starhill Gallery dan Tourism Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2007.
Ia dijangka berupaya menarik pelancong-pelancong mewah dari seluruh pelosok Asia.
Starhill Gallery, hos dan penganjur A Journey Through Time yang berinspirasikan pameran antarabangsa BaseWorld, dilihat sebagai pameran jualan berfokus, sekali gus berupaya meletakkan Malaysia sebagai destinasi paling menawan untuk pengalaman pelancongan dalam memperoleh barangan bermutu dan bergaya seperti jam tangan mewah dan barangan kemas anggun bermutu tinggi. Starhill Gallery, baru-baru ini telah disenaraikan oleh Forbes Traveler sebagai pusat membeli-belah terindah di Asia.
“A Journey Through Time telah bukan sahaja membantu Malaysia dimasukkan dalam kalendar, tetapi juga menjana aliran positif pelancongan dan membawa manfaat ekonomi menerusi inisiatif Tahun Melawat Malaysia,” kata Wee.
Kosmo
Si Pembikin Kulit Album – Nizam ‘Jual’ Artis Ternama
Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA saharudin.musthafa@kosmo.com.my

AD.verse Sdn. Bhd. mendapat kepercayaan penuh daripada sebilangan besar karyawan muzik.
LELAKI ini merupakan antara karyawan seni yang wajar diberi perhatian. Beliau bukan seniman tersohor, jauh sekali penyanyi atau pemuzik popular tanah air.
Namun, cinta dan kasihnya pada seni terlalu mendalam. Semua itu diterjemahkan Nizam Rahmat, 40, menerusi kerja-kerja seninya yang mencakupi penghasilan kulit album yang menjadi fokus utama beliau.
Tidak ketinggalan, beliau juga antara pelukis low profile yang berjiwa besar.
Muncul sebagai usahawan bumiputera yang mengasaskan syarikat pengiklanan AD.verse Sdn. Bhd., yang kini menjalankan operasi di pusat perniagaan serba moden, Metropolitan Square, Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor, nama Nizam sebetulnya sangat penting dan perlu ada dalam direktori hiburan tanah air.
Mengapa? Beliau merupakan antara tulang belakang utama kepada kejayaan sesebuah album.
Sentuhan kreativiti beliau lazimnya menjadi tanda aras terhadap kehebatan sesebuah album.
Nizam banyak memberi sentuhan seninya pada pembikinan kulit album sebilangan besar penyanyi popular tanah air.
Senarai kulit album yang pernah mendapat sentuhannya sudah mencecah angka 100 dan ia sesuatu yang sangat dibanggakan oleh Nizam dan syarikatnya, AD.verse Sdn. Bhd.
Antara artis yang kulit album mereka pernah menggunakan khidmat Nizam ialah Datin Seri Siti Nurhaliza, Sheila Majid, Mawi, Adibah Noor, Ning Baizura, Jamal Abdillah, Misha Omar, M. Nasir dan ramai lagi.
“Seronok dan puas bila melihat kulit album yang saya dan seluruh team produksi saya hasilkan menjadi perhatian ramai,” kata beliau pada awal perbualan dengan KOSMO! di pejabatnya baru-baru ini.
Kerja-kerja seni yang dilakukan khususnya yang melibatkan kerjasama dengan golongan selebriti kata Nizam, mendedahkannya kepada pelbagai pengalaman.
Menurut Nizam, secara peribadi beliau menganggap dirinya sangat bertuah kerana terlibat secara langsung dalam proses penghasilan sesebuah album.
“Perkara pertama yang akan dilihat oleh seseorang ketika membeli album seseorang penyanyi ialah kulitnya. Kalau kulit album tidak menawan, ia sukar menarik perhatian pembeli.
“Sebaliknya, kalau sesebuah album itu memiliki kulit album yang mudah menarik perhatian mereka, sudah tentu peminat akan membelinya.
“Itulah cabaran paling utama yang perlu saya dan team produksi saya lalui. Alhamdulillah, setakat ini kami mendapat kepercayaan sepenuhnya daripada sebilangan besar karyawan muzik yang sering berurusan dengan kami,” ujar Nizam.
Pernah meraih anugerah Kulit Album Terbaik (Album Ning Baizura – Erti Pertemuan) pada majlis Anugerah Industri Muzik 2005, usahawan kelahiran Johor, Darul Takzim ini berpendapat kerjaya seninya ini menuntut komitmen yang bukan sedikit.
Apatah lagi katanya, fokus utama tugas itu memerlukan setiap individu memastikan penghasilan kulit album itu mencapai standard yang ditetapkan oleh pengurusan sesebuah syarikat rakaman selain menepati selera pembeli.
Berbekalkan prinsip jangan pilih kerja, sebelum sesebuah penghasilan kulit album dilakukan, Nizam akan ‘bergelut’ mencari arah tuju sesebuah terlebih dahulu.
Didorong oleh rasa cinta dan minat yang mendalam terhadap muzik, Nizam lazimnya akan terlebih dahulu ‘mendekati’ lagu-lagu yang dimuatkan dalam sesebuah album selain berkenalan dan mengenali penyanyi serta karyawan muzik yang terbabit dalam pembikinan album tersebut.
Mujur Nizam mempunyai ramai kenalan yang terdiri daripada komposer, penulis dan penyanyi yang sekali gus memudahkan kerjanya.
“Kadang-kadang saya sendiri ke studio rakaman tengok artis buat rakaman vokal, berbual dengan komposer dan bertukar-tukar idea mengenai industri hiburan.
“Dari situ banyak idea yang akan saya dapat dan boleh diaplikasikan dalam kerja-kerja penghasilan kulit album,” ujar Nizam yang berpengalaman luas dalam industri pengiklanan dan media tanah air.
Sebelum mengukuhkan nama dengan syarikat AD.verse Sdn. Bhd., Nizam sebelum ini menimba pengalaman kerja sebagai pengarah kreatif dengan pelbagai organisasi pengiklanan tempatan dan antarabangsa termasuk Idris Associates Sdn. Bhd., Meridian Advertising Sdn. Bhd., Grey Worlwide (Malaysia), Earth, Wind & Fire Advertising Sdn. Bhd. dan lain-lain.
Permulaan tapak Nizam dalam gelanggang pengiklanan dan media hiburan bermula sebaik beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda Seni Reka (Pengiklanan) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Berkat bimbingan dan pendedahan majikan pertamanya, Tapa, Nizam memiliki apa yang diperolehnya hari ini.
“Saya bersyukur kerana berpeluang bekerja dengan Tapa yang banyak mendedahkan saya ilmu mengenai kerja-kerja membuat kulit album.
“Saya sangat-sangat berterima kasih kepada beliau,” katanya merakamkan penghargaan buat orang yang membawanya ke industri pengiklanan.
Bermula dengan Tapa, Nizam kemudiannya membuat keputusan merebut pengalaman di syarikat-syarikat pengiklanan lain semata-mata mahu mengenal skop industri tersebut menerusi pengalamannya sendiri.
Selepas memperoleh pengalaman selain mengharungi pelbagai sepak terajang dalam kerjaya, Nizam akhirnya bersedia memikul tanggungjawab mengasaskan syarikatnya, AD.verse Sdn. Bhd.
Menduduki kerusi Pengarah Urusan AD.verse Sdn. Bhd., ini tidak pula bermakna Nizam hanya boleh memberi arahan tanpa perlu berbuat apa-apa.
“Saya masih turun padang dan masih melakukan kerja seperti dulu juga. Oleh kerana syarikat ini ditubuhkan dengan minat dan cita-cita yang besar, maka saya perlu pastikan perjalanan syarikat ini berada di landasan yang betul,” kata suami kepada Hazleen Abdul Aziz yang juga pembaca berita Bisnes Malaysia di RTM. Pasangan ini memiliki tiga cahaya mata iaitu Nureen; 11, Nazeem; 8 dan Naeem; 3.
Skop perniagaan AD.verse menurut Nizam, tidak hanya terbatas pada kerja-kerja pembikinan kulit album semata-mata.
Sebaliknya, AD.verse turut menjana pendapatannya menerusi pelbagai kerja-kerja seni lain seperti pembikinan klip video, penganjuran pelbagai konsert dan pengurusan acara.
Paling penting, Nizam juga pernah diberi kepercayaan mengetuai hal-hal yang berkaitan dengan seni dan pembikinan video ketika penyanyi ternama tanah air, Siti Nurhaliza menjayakan konsert solonya di Royal Albert Hall, London tidak lama dulu.
Syarikat ini juga juga memperluaskan perniagaannya termasuk mengendalikan pelbagai acara anjuran syarikat-syarikat swasta serta kerajaan.
AD.verse juga pernah diberi kepercayaan mengendalikan program bual bicara, Apa Kata terbitan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna dan pelbagai acara penting lain dalam negara.
Sebagai menyahut seruan kerajaan agar mengangkasakan bangsa Melayu, Nizam menyimpan hasrat untuk memperluaskan pengaruh AD.verse ke peringkat global dengan tumpuan awalnya di pasaran serantau.
“Itu hasrat dan misi saya. Saya mahu menakluk pasaran antarabangsa dengan tumpuan saya pada pasaran serantau dulu. Saya mahu membuktikan impian saya menjadi kenyataan suatu hari nanti,” ikrar usahawan muda ini.
Kosmo