Sokongan dihargai…
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pengunjung laman ini. Semoga semuanya berada dalam keadaan sihat dan bahagia hendaknya. Doa Siti agar anda dapat menjalani kehidupan dan kerjaya dengan tenang dan mendapat kejayaan selalu.
Alhamdulillah, RTM sudahpun menyiarkan konsert penghargaan Siti buat Tan Sri Dr.P.Ramlee dan Puan Sri Saloma beberapa hari lalu, namun mungkin gambaran sebenar konsert tersebut tidak secara keseluruhannya. Sebagai konsert yang dirakamkan secara langsung, Siti akur bahawa ada beberapa perkara yang harus disunting dan diperbaikkan jika mahu mengeluarkannya dalam bentuk kaset, cd atau vcd. InsyaAllah, SNP (M) Sdn. Bhd. memang berusaha ke arah itu dan kami masih lagi dalam proses menyiapkannya kerana untuk menerbitkan album yang mengandungi lagu-lagu nyanyian atau hakcipta orang atau pihak lain, banyak perkara dari segi undang-undang yang pihak Siti perlu selesaikan. InsyaAllah jika tidak ada aral melintang Julai nanti album ini akan dipasarkan dan Siti harap agar anda semua dapat mendoakannya.
Siti juga berterima kasih di atas kesungguhan anda memastikan undian Siti dalam carta lagu dan anugerah diteruskan dengan semangat yang Siti dapat lihat melalui mesej-mesej anda, dan tentunya ia membuatkan Siti berasa terharu. Siti tidak menyangka masih memiliki peminat-peminat yang begitu bersemangat dan bersungguh-sungguh menyokong kerjaya Siti meskipun kini sudah 12 tahun Siti dalam industri, ditambah dengan status Siti yang sudah berkahwin. Sokongan ini memang membuatkan Siti berasa amat terharu apatah lagi dalam setiap persembahan Siti, masih terlihat wajah-wajah peminat yang sentiasa meluangkan masa. Inilah yang memberikan Siti semangat untuk lebih bekerja keras walaupun situasi kerja Siti sudah agak berbeza kerana terpaksa membahagikan karier dan rumahtangga, namun InsyaAllah, segalanya akan dapat diatur dengan baik.
Sekarang ini Siti terlibat dengan kempen Gegar U di mana Siti juga menyanyikan lagu temanya. Promo tentang kempen ini juga disiarkan di Astro, semoga apa yang Siti lakukan ini akan memberikan sesuatu yang berguna kepada masyarakat. Apatah lagi di luar sana ramai peminat Siti yang masih belajar di IPT dan tentunya menjadi inspirasi kepada peminat yang masih bersekolah untuk belajar ke peringkat yang lebih tinggi. Bagi Siti, ilmu itu amat penting, tidak kiralah ilmu atau kemahiran apa yang kita miliki, jika digilap InsyaAllah akan membuahkan hasil yang baik.
Mengenai album tradisional Siti pula, bukan Siti sengaja melambat-lambatkan prosesnya tetapi Siti harus memberi laluan kepada album konsert P.Ramlee dan Saloma terlebih dahulu. Sementara Siti juga masih menantikan lagu-lagu bermutu daripada pencipta lagu. Biasanya agak sukar mendapatkan pilihan lagu yang banyak dari genre tradisional tetapi Siti masih lagi sabar menanti kerana mahu memberikan sesuatu yang lebih baik dalam album kali ini. Siti harap anda semua memahami.
InsyaAllah, bertemu peminat Singapura di Anugerah Planet Muzik 8 Jun nanti. Siti juga tidak sabar untuk ke sana memandangkan sudah agak lama tidak bertemu peminat yang menantikan kehadiran Siti. InsyaAllah Siti akan membuat persembahan malam itu bersama Gita dan Taufik, nantikan persembahan kami.
Salam mesra selalu…
Siti Nurhaliza
Rossa, Siti tersenyum diasak soalan peribadi
BERCAKAP tentang perceraian artis kita, Kak Tim teringatkan Rossa. Penyanyi cantik dari Indonesia itu baru-baru ini muncul pada majlis pelancaran jenama kedua Rafflesia yang terkenal dengan aksesori mutiaranya.
Jenama terbaru yang dinamakan Mandalay itu dilancarkan pada majlis gilang gemilang yang begitu eksklusif di Carcosa Sri Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tentu ramai nak tahu Mandalay tu apakan? Ia koleksi aksesori mewah dan eksklusif batu delima dan batu jade dari Mandalay di Myanmar. Maka pada majlis itu, hampir 20 artis terkenal bergaya sakan memperagakan Mandalay yang nilainya berjuta-juta ringgit itu. Paling mahal digayakan oleh Rossa. Mandalaynya berharga RM8.8.juta. Bertambah cantiklah Rossa yang sudah memang cantik itu dek pancaran batu-batu ma
hal itu.
Walau secara terbuka mengakui rumahtangganya berantakan, Kak Tim tengok Rossa mampu mengawal perasaannya. Tidak secalit pun tergambar kegusaran pada wajahnya gara-gara mengalami kekalutan oleh kecurangan suaminya. Malah dia masih mampu tersenyum manis walau diasak dengan soalan peribadi.
Kata sumber, “Rossa memang sayangkan Yoyo (suaminya, anggota kumpulan Padi) itu. Memang dia sukar nak maafkan Yoyo yang menderhakai kesetiaannya. Tetapi buat masa ini dia tidak mampu untuk melepaskan Yoyo daripada hidupnya.
“Sebab itu selama berada di sini minggu lalu, Rossa setiap hari menelefon Yoyo. Cuma bezanya kalau dulu dia panggil Yoyo sayang pada perbualannya tapi kali ini tidak ada lagi perkataan itu. Dan perbualannya cuma biasa-biasa saja macam bercakap dengan kawan-kawan.â€Â
Rossa ditampilkan bergandingan dengan Datuk Siti Nurhaliza pada acara karpet merah majlis itu. Cantiknya dua bintang ternama itu kelihatan macam adik beradik.
Siti menggayakan Mandalay bernilai RM3.8juta. Lucunya pada pertemuan dengan wartawan, Siti tidak dihujani pertanyaan tentang Mandalay yang dipakainya. Tapi tentang cerita peribadinya, apakah dia kini sedang hamil memandangkan badannya yang nampak semakin berisi.
Bagusnya, Siti persis Rossa yang sentiasa memberikan jawapan dengan senyumannya.
“Belum. Belum ada rezeki lagi,†kata Siti.
KAK TIM: Selamat mengerjakan umrah buat Datuk Siti Nurhaliza.
Siti Nurhaliza – Pertama kali rai ibu mertua
Oleh Nor Fadzilah Baharudin

Siti turun ke bawah pentas dan mengucup tangan ibu mertuanya.
Berbeza dengan tahun-tahun terdahulu, tahun ini penyanyi jelita Datuk Siti Nurhaliza menyambut Hari Ibu bersama dengan dua wanita yang cukup dikasihinya, ibu kandungnya Siti Salmah Bachik dan ibu mertuanya Siti Zainab Hanaffi.
Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur baru-baru ini menyaksikan Siti begitu bahagia menyambut Hari Ibu bersama-sama kedua-dua wanita tersebut dengan disaksikan hampir 1000 penonton yang hadir pada acara Ibu Ratu Hatiku – Sepetang Bersama Siti Nurhaliza dan M.Nasir.
Sepotong ucapan Siti kepada ibu mertuanya pada majlis itu, “Terima kasih kerana melayan Siti dengan baik serta dapat menerima Siti seadanya. Insya-Allah Siti akan menjadi isteri yang baik serta menjadi ibu yang baik untuk anak-anak Siti.â€Â
Begitu mendalam kata-kata anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini.
Untuk ibu kandungnya, Siti mempersembahkan lagu kegemaran ibunya, Bunga Melor.
Kata Siti, “Siti pernah menyanyikan lagu ini dengan ibu Siti. Ingat nak nyanyi bersama lagi kali ini tapi ibu Siti ini pemalu. Sifat ibu Siti yang membuatkan Siti sayang padanya ialah dia sporting, penyabar, lemah lembut. Malah untuk pengetahuan semua, suara ibu Siti diperturunkan kepada Siti. Suara ibu Siti lebih sedap daripada Siti. Siti tak habis menuntutnya lagi.â€Â
Untuk peminat-peminat yang hadir menyaksikan persembahannya petang itu, Siti menghadiahkan lagu Umi (pernah dipopularkan oleh Datuk Shake).
“Khas untuk Hari Ibu, Siti belajar menyanyikan lagu ini untuk anda. Tapi kalau ada yang kurang, Siti minta maaf. Maklumlah baru belajar,†ujarnya.
Sememangnya para ibu terpesona dengan kecantikan dan kehebatan Siti pada petang itu. Biarpun sedikit semput ketika menyanyi tetapi persembahan Siti tetap yang terbaik.
Selain Umi dan Bunga Melor, Siti turut menyanyikan lagu Gubahanku, Pastikan, Aku Cinta Padamu dan Joget Pahang.
Lebih memeriahkan suasana apabila Siti menjemput Lan Pet Pet melawak dan menyanyikan lagu Anak versi Filipina.
Berkongsi pentas dengan Siti, sifu M.Nasir menghiburkan khalayak menerusi lagu-lagu popularnya iaitu Raikan Cinta, Sama Cinta, Kepadamu Kekasih, Bonda, Suatu Masa serta Juwita Citra Terindah.
Suasana petang tersebut cukup ceria apabila Adibah Noor selaku pengacara begitu bijak mencuri hati khalayak yang hadir dengan lawak jenakanya. Selain itu, Adibah turut menyanyikan dua buah lagu antaranya Terlalu Istimewa.
Menutup tirai persembahan yang cukup meninggalkan memori indah kepada para ibu yang hadir, ketiga-tiga mereka berduet menerusi lagu Dua Insan Bercinta.
Persembahan petang itu dianjurkan oleh Mahir Entertainment & Production sempena meraikan Hari Ibu yang disambut pada 9 Mei lalu.
Hasil kutipan jualan meja sebanyak 30 peratus akan disumbangkan kepada Yayasan Nurjiwa yang dikemudikan oleh Siti Nurhaliza bersama suaminya, Datuk Khalid Mohamad Jiwa.
Siti ke Makkah bawa anak tiri
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
KASIH ANAK: Siti menghadiahkan sejambak bunga kepada
ibunya, Siti Salmah Bachik.
KETIKA artikel ini ditulis, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin sudah pun berada di Tanah Suci Makkah bersama suami tercinta Datuk Khalid Mohd Jiwa atau lebih terkenal dengan panggilan Datuk K.
Sejak bergelar isteri kepada ahli perniagaan dari Kedah Ogos tahun lalu, sudah tiga kali pasangan yang sedang bahagia menyemai cinta itu menjejakkan kaki ke Tanah Suci untuk beribadat.
Jika dua kali sebelum ini mereka hanya pergi berdua, tetapi kali ini dua anak tiri Siti, Mohd Adeeb, 18, dan Mohd Asyraf, 17, turut mengiringi pemergian mereka selama enam hari. Cerita sebegini juga bagaikan menepis segala khabar angin bahawa hubungan Siti dan anak tirinya hambar.
Malah, sebelum ini pun anak tirinya juga tetap kelihatan hadir dalam beberapa majlis yang membabitkan penyanyi itu seperti majlis sambutan Hari Setiausaha yang diadakan di Palace of the Golden Horses, baru-baru ini.
Mengenai pemergian mereka ke Makkah, tidak tersasar jauh jika doa paling atas pasangan popular ini di depan Kaabah adalah agar Tuhan mengurniakan cahaya mata kepada Siti yang barangkali sudah tidak sabar juga untuk menimang seorang bayi sebagai pelengkap kehidupan.
Sudah hampir sembilan bulan mendirikan mahligai indah, belum ada sebarang tanda, kecuali badan yang semakin berisi, penyanyi jelita itu berbadan dua. Berkali-kali juga dia menafikan bahawa dirinya kini hamil apabila diburu pihak media.
Mungkin Siti sendiri sudah bosan diburu soalan serupa setiap kali bertemu media. Namun, keinginannya untuk menimang cahaya mata memang terserlah kala menjayakan persembahan Ibu Ratu Hatiku – Sepetang Bersama Siti Nurhaliza dan M Nasir anjuran Mahir Entertainment & Production (MEP) di Dean Perdana Felda, baru-baru ini.
“Siti ini entah macam mana agaknya bila menjadi ibu,†katanya yang anggun dengan persalinan warna hijau pucuk pisang rekaan Datuk Tom Abang Saufi yang sedondon dengan suami tercinta.
Dalam majlis itu, Siti juga sempat bertanya kepada seorang peminat yang diundang ke pentas mengenai perasaannya bergelar seorang ibu.
Dalam persembahan hampir tiga jam itu, tiga ibu penyanyi itu iaitu ibu kandungnya Siti Salmah Bachik, ibu mentuanya Siti Zainab Hanafi dan ibu angkatnya turut hadir menyaksikan persembahannya. Malah, dalam majlis itu Siti menghadiahkan mereka sejambak bunga setiap seorang.
Pada petang itu juga, Adibah Noor selaku pengacara majlis memulakan persembahan dengan mendendangkan lagu keroncong daripada filem Mukhsin, Hujan dan lagu hitnya, Terlalu Istimewa.
M Nasir kemudian mengambil alih pentas dengan mendendangkan sebanyak enam lagu daripada album baru dan lamanya. Lagu yang didendangkan M Nasir ialah Raikan Cinta, Sang Pencinta, Kepada Mu Kekasih, Bonda, Suatu Masa dan Juwita Citra Terindah.
Dengan gelaran sifu yang diberikan, tidak ada masalah untuk M Nasir menghiburkan peminatnya yang kebanyakannya perempuan pada hari itu. Malah, Nasir bagaikan terkeluar daripada biasa kerana dia kini lebih ‘ligat’ dan tidak berat mulut dengan peminat.
Begitu juga dengan Siti yang tidak pernah mengecewakan peminatnya. Apa saja lagu yang dibawakan pasti sedap kedengaran, sekalipun ketika peminat mengerumuninya. Walau susah untuk bergerak kerana peminat yang tidak mahu terlepas peluang mengabdikan gambar penyanyi kesayangan mereka, Siti tetap memberikan persembahan memukau.
Pada petang itu, Siti juga mendendangkan sebanyak enam buah lagu. Memulakan persembahannya, Siti memilih lagu joget iaitu Joget Pahang dan lagu Bunga Melor yang menjadi kegemaran ibunya. Siti turut mendendangkan lagu Gubahanku, Umi, Pastikan dan Aku Cinta Padamu.
Mengakhiri persembahan pada petang itu, tiga penyanyi hebat pada petang itu mendendangkan lagu duet milik M Nasir iaitu Dua Insan. Kehadiran pelawak dan pelakon Mazlan Pet Pet ke majlis itu turut menyerikan majlis apabila Siti mengundangnya ke pentas.
M Nasir ubah sikap, Siti bangga
Oleh Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my
KOMPOSER dan penyanyi M Nasir pernah mengejutkan penonton apabila menari gemalai mengikut penari ketika majlis Anugerah Industri Muzik ke-13 (AIM13), bulan lalu. Baru-baru ini, ketika menjayakan persembahan Hari Ibu, sekali lagi M Nasir kelihatan begitu mesra dengan penonton apabila turun pentas bersalam dan menyanyi bersama mereka.
Ia agak berbeza dengan personaliti M Nasir yang dikenali dengan perwatakan serius sebelum ini. Mungkin itulah penangan daripada album terbarunya, Juwita…Citra Terindah yang memuatkan lagu popular, Sang Pencinta dan Juwita…Citra Terindah. Album ini disifatkan mudah menangkap telinga kerana memuatkan lagu-lagu segar dan ceria.
Kehadiran isteri, Marlia Musa yang menjadi ibu kepada enam anaknya, mungkin satu lagi faktor memberi semangat kepada M Nasir sepanjang menjayakan persembahan sempena Hari Ibu dengan tema Ibu Ratu Hatiku di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak anjuran Mahir Entertainment & Production (MEP).
“Terima kasih kerana membawa saya ke pentas ini meraikan ibu-ibu sempena Hari Ibu. Bagi saya, Hari Ibu satu tanda bahawa kepentingan ibu tidak dapat dinafikan oleh kita semua. Sama ada ia dipanggil ibu, bonda, mama atau apa saja, sememangnya tumpuan anak-anak lebih kepada ibu,†katanya.
M Nasir yang muncul di pentas kira-kira jam 3.40 petang memilih lagu romantis, Raikan Cinta, Sang Pencinta, Kepadamu Kekasih dan khusus buat ibu-ibu yang diraikan, M Nasir persembahkan lagu Bonda.
Selepas menyanyikan lagu Bonda, M Nasir turun pentas bersalaman dengan peminat, kemudian menyanyikan lagu Suatu Masa dan masih berlegar dari meja ke meja bertemu penonton sambil menyanyikan lagu Juwita…Citra Terindah.
Persembahan Hari Ibu itu turut dijayakan Datuk Siti Nurhaliza yang mengambil tempat kira-kira jam 4.15 petang dengan lagu-lagu tradisional, Joget Pahang, Bunga Melur dan Gubahanku.
Katanya, dia rasa sungguh bertuah kerana sekali lagi berpeluang menyanyi di dewan itu menghiburkan ibu sempena Hari Ibu.
“Sudah beberapa kali saya menyanyi di sini. Saya pernah berganding dengan Jamal Abdillah dan pernah juga digandingkan dengan Mawi meraikan Hari Ibu.
“Di pentas ini juga saya pernah berduet dengan ibu, Siti Salmah Bachik. Hari ini saya bangga kerana ibu turut hadir meraikan hari istimewa ini bersama ibu mentua, Siti Zainab Hanafi dan suami, Datuk Khalid Mohd Jiwa.
“Malah, persembahan kali ini lebih bermakna kerana hasil kutipan akan disalurkan ke Tabung Yayasan Nurjiwa untuk membantu mereka yang memerlukan. Terima kasih juga atas kehadiran tetamu istimewa, isteri Menteri Besar Selangor, Datin Seri Zaharah Kechik,†katanya.
Kehadiran ibu dan ibu mentua Siti pastinya menjadikan hari itu cukup bermakna bagi Siti. Apabila anak perempuan berkahwin, ada kalanya hubungan dengan ibu agak jauh kerana tumpuan diberikan kepada suami dan keluarga baru, tetapi bagi Siti, kesibukannya tanggungjawab sebagai isteri bukan halangan untuk bersama ibu setiap kali ada majlis istimewa. Ibunya juga hadir ketika sambutan ulang tahun Siti yang ke-28 pada 11 Januari lalu.
Siti berkata, dia tidak sempat meraikan Hari Ibu pada 13 Mei lalu kerana ibunya berada di Kuala Lipis, Pahang tetapi dia dan suami meraikan hari istimewa itu bersama mentuanya di rumah.
“Saya bangga dan rasa bertuah pada hari ini dapat berkumpul bukan saja bersama ibu dan ibu mentua, tetapi juga dengan semua yang bergelar ibu, sama ada mereka dipanggil ibu, mak, mama, mami atau umi.
“Bagi saya, ibu seorang yang penyabar, lemah lembut dan saya juga bangga diperturunkan suara ibu tetapi suaranya lebih merdu dari saya. Saya tidak habis lagi menuntut dengannya. Istimewa buat ibu, terima kasih kerana melahirkan, mendidik dan menyayangi saya serta mengajar saya erti kewanitaan, keayuan dan kesopanan.
“Untuk ibu mentua, terima kasih kerana menerima saya dengan baik. Insya-Allah kalau dikurniakan anak dan bergelar ibu, saya akan cuba menjadi ibu yang baik,†katanya.
Khusus untuk ibu, Siti yang anggun dengan baju Tom Abang Saufi memilih lagu Ummi yang pernah dipopularkan Datuk Shake. Lagu lain, Pastikan dan Aku Cinta Padamu. Sebelum kemunculan M Nasir dan Siti, Adibah Noor tampil sebagai pengacara.
Adibah juga tidak mengecewakan penonton apabila turut menyampaikan dua lagu, Hujan dari filem Mukhsin dan Terlalu Istimewa. Kemuncaknya ialah persembahan mereka bertiga dengan lagu Dua Insan yang pernah dipopularkan M Nasir bersama Yunizar Hussein.
Turut hadir sebagai penonton ialah anggota Senario, Mazlan Pet Pet dan penyanyi Ziana Zain. Siti yang melihat kehadiran Lan Pet Pet menjemputnya ke pentas untuk beramah mesra dan memberi ucapan khas buat ibunya. Lan menyampaikan lagu Ibu dengan tiupan trampet tangannya serta menyanyikan sedikit lagu Anak.
Sebaik saja selesai persembahan, Siti bergegas pulang kerana ada undangan lain untuk majlis makan malam. Siti juga difahamkan berangkat ke Makkah keesokan hari (Isnin) untuk menunaikan umrah bersama suami dan dua anak mereka, Muhammad Adib, 16, dan Mohd Asyraf, 14. Mereka dijangka berada di sana selama seminggu.
Selepas ini Siti akan memberi tumpuan kepada rakaman album tradisional yang dijangka untuk pasaran pada November nanti.
Katanya, album kali ini tidak terlalu tertumpu kepada lagu tradisional, sebaliknya lebih kepada tradisional kontemporari yang memuatkan lagu ciptaan Pak Ngah, S Atan, Yassin, Ayob Ibrahim dan juga komposer Indonesia, Katon.
“Buat masa ini masih dalam proses memilih lagu, tetapi saya ada minta lagu daripada ramai komposer. Album ini juga diterbitkan Siti Nurhaliza Production (SNP) dan akan dipasarkan di Malaysia dan Indonesia. Saya dijangka memulakan rakaman Julai ini dan album ini disasarkan untuk pasaran November,†katanya.
Pengarah Urusan MEP, Nor Mahiran Yusoff, berkata dia puas hati dengan sambutan penonton kerana masih menerima tempahan sehingga saat akhir hingga terpaksa ditolak bimbang terlalu padat.
“Alhamdulillah, persembahan hari ini dihadiri kira-kira 900 penonton. Apa yang membanggakan saya, ramai membuat tempahan untuk Meja VIP.
“Saya juga cuba memastikan harga persembahan mampu dibayar semua golongan walaupun menggabungkan tiga nama besar kerana apa yang saya pentingkan ialah penonton puas dan dapat menyaksikan persembahan hebat penyanyi terkenal. Harga yang ditawarkan tidak terlalu tinggi dari RM2,300 untuk Meja Emas, Meja Platinum (RM2,800) dan Meja VIP (RM3,500).
“Terima kasih juga kepada mereka bertiga kerana tidak meletakkan harga tinggi kerana faham ia persembahan amal. Hari ini turut dihadiri ibu-ibu tunggal dari Persatuan Ibu Tunggal Kampung Baru, Kuala Lumpur dan anak yatim dari Sungai Buaya, Banting, Selangor,†katanya.
Artis, fesyen tak boleh dipisah!
Oleh Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my
MENGHIMPUNKAN 26 selebriti terkenal dan popular, pastinya bukan sesuatu yang mudah memandangkan mereka sentiasa sibuk dengan jadual kerja. Namun, ia mampu dilakukan penganjur untuk majlis pelancaran produk terbaru Rafflesia The Pearl Centre, Mandalay, di Carcosa Seri Negara, baru-baru ini.
BAGAI KEMBAR…Siti dan Rossa berduet menerusi laguAku Bukan Milikmu.
Dari penyanyi terkenal Anita Sarawak, Datuk Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Syafinaz, Fauziah Latiff atau Jee dan Ezlynn hingga pelakon popular seperti Eja, Nora Danish, Pushpa Narayanan, Lis Dawati, Natasha Hudson dan Aleeza Kassim semuanya bergaya hebat dengan rekaan istimewa tiga pereka fesyen muda iaitu Khoon Hooi, Jovian Mandagie dan Amir Luqman.
Mereka tidak kalah dengan kehadiran model terkenal dan ratu cantik seperti Ratu Malaysia/Universe 2004, Andrea Fonseka, Ratu Malaysia/Dunia 2005, Emmeline Ng dan Ratu Astro Cina Antarabangsa 2004, Jolene Chin serta model tinggi lampai Amber Chia, Fadzlun dan Tengku Azura.
Tidak ketinggalan pengacara Nona, Nurul Syuhada, pengacara Breakfast Show, Daphne Iking, penyampai radio Era, Linda Onn serta penyanyi dari Indonesia, Rossa dan juga Hong Kong, Maria Cordero dan Elisa Chan. Maria dan Elisa sama-sama menjayakan Konsert Empat Diva bersama Anita dan Francis Yip di beberapa negara Asia.
Kehadiran Siti dan Rossa paling mencuri tumpuan jurugambar apabila mereka digandingkan kerana kedua penyanyi ini dikatakan mempunyai wajah seiras, hingga peminat di Indonesia mengatakan Siti kembar Rossa kerana persamaan pada mata mereka.
Siti dan Rossa juga menggayakan dua pasang baju rekaan Jovian dan Khoon Hooi berbanding selebriti lainnya hanya sepasang. Rossa pula diberi penghargaan menggayakan set nilam paling mahal dari koleksi Mandalay bernilai RM8.8 juta manakala Siti set nilam bernilai RM3 juta.
Eksekutif Publisiti Rafflesia, Bill Bora, berkata Mandalay adalah produk kedua dipasarkan Jewelery Circle Sdn Bhd selepas melancarkan jenama Rafflesia.
Katanya, jika Rafflesia khusus menampilkan mutiara, Mandalay pula menyaksikan jed dan nilam dari Mandalay di Burma yang digubah indah untuk menjadi perhiasan dan kebanggaan wanita.
“Untuk pelancaran koleksi Mandalay, saya mengatur satu majlis meriah dihadiri selebriti terkenal sebagaimana pelancaran Rafflesia dulu. Biasanya, majlis pelancaran produk dijayakan model jelita tetapi saya yakin kehadiran penyanyi dan pelakon terkenal akan menjadikan majlis itu lebih bermakna.
“Mereka akan menggayakan rekaan istimewa daripada tiga pereka muda bersama aksesori dari koleksi Mandalay. Bagi saya fesyen dan artis tidak boleh dipisahkan. Untuk itu, saya cuba mendapatkan seramai mungkin penyanyi, pelakon, pengacara dan model popular untuk hari bersejarah ini.
“Hasilnya, 26 selebriti berjaya dikumpulkan. Tidak ketinggalan pemuda tampan seperti Ashraf Sinclear dan Fahrin Ahmad,†katanya.
Dari jam 6 petang, seorang demi seorang selebriti tampil bergaya untuk diabadikan gambar mereka oleh jurugambar. Mereka yang menggayakan rekaan Jovian ialah Anita, Andrea, Emmeline, Fadzlun, Amber, Daphne, Rossa dan Linda manakala rekaan Khoon Hooi Ziana, Maria, Elisa, Siti, Eja, Jee, Syafinaz, Nurul dan Rossa.
Sementara itu Nora Danish, Tengku Azura, Jolene, Pushpa, Natasha, Aleeza, Lis dan Ezlynn menggayakan rekaan Amir Luqman. Untuk melengkapkan gaya, mereka melangkah hebat dengan kasut rekaan Lew Fong Voon dari Lewre membabitkan 16 selebriti. Kemuncaknya ialah penampilan Siti dan Rossa bermula dengan rekaan Jovian diikuti rekaan Khoon Hooi.
Jovian berkata, majlis seperti itu cukup bermakna bagi dirinya kerana memberi peluang kepadanya menghasilkan baju untuk selebriti terkenal.
“Saya bangga apabila diberi tanggungjawab menghasilkan baju untuk selebriti terkenal seperti Anita, Andrea, Emmeline, Fadzlun, Amber, Daphne, Rossa dan Linda. Saya hasilkan baju berdasarkan personaliti mereka serta aksesori yang akan digayakan.
“Untuk Siti, saya pilih warna hitam kerana penyanyi itu akan menggayakan set barang kemas nilam kerana hitam mampu menaikkan warna merah nilam itu.
“Potongan baju pula saya tampilkan mengikut bentuk badan untuk menyerlahkan penampilan Siti yang anggun dan mempunyai bentuk badan menarik.
“Anita adalah diva terkenal yang menceburi industri ini lebih 30 tahun. Jadi, saya pilih warna emas supaya nampak mewah. Untuk lebih hebat, saya paparkan hiasan di dada dari batu swarovski warna emas. Baju Anita juga paling mahal berharga RM35,000.
“Untuk model, saya mencuba satu rekaan yang seksi seperti gaun merah Amber dan juga gaun hijau Emmeline yang mendedahkan dada,†katanya.
Majlis dua dalam satu yang dihoskan Anita, turut menjadi detik bersejarah bagi pemilik Rafflesia yang juga pasangan suami isteri, Sin Cheang Loong dan Winnie Sin, apabila meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-16.
Anita turut menceritakan detik-detik pertemuan pasangan itu kira-kira 21 tahun lalu kemudian memeterai percintaan mereka dengan ikatan suci sebagai suami isteri pada 21 Mei 1990.
Sebenarnya pasangan yang dikurniakan empat anak, Sin Hui Cin, Sin Hui Wen, Sin Zhao Hong dan Sin Zhao Yan itu tidak pernah diraikan dalam satu majlis perkahwinan khas hingga mendorong Bill Bora meraikan mereka pada hari itu.
Ia diraikan bersama tetamu undangan khas dari kalangan rakan-rakan, 26 selebriti berkenaan dan juga pengarang hiburan akhbar serta beberapa wartawan.
Winnie yang anggun dengan gaun rekaan Khoon Hooi dan kasut rekaan Datuk Jimmy Choo berharga RM300,000, menerima hadiah cincin bernilai hampir RM1 juta dari koleksi Mandalay daripada suaminya.
Siti Nurhaliza dan Rossa menjadi pilihan Winnie untuk menghiburkan tetamu. Siti menyanyikan enam lagu bermula dengan Can’t Take My Eyes Of You, Asmara, I Will Always Love You, Biarlah Rahsia dan lagu Mandarin.
Ketika menyanyikan lagu Mandarin, Maria yang begitu peramah memberikan kerjasama menyanyi bersama ketika Siti menghulurkan mikrofon kepadanya. Lagu I Will Always Love You pula Siti tujukan khas buat pasangan yang diraikan semoga kekal bahagia hingga ke akhir hayat.
Siti juga memukau hadirin dengan lagu popular Whitney Houston itu. Kata Siti, lagu itu menjadi kegemarannya ketika menyanyi di majlis kenduri kahwin. Siti turut berduet dengan Rossa menerusi lagu popular Rossa, Aku Bukan Milikmu manakala Rossa secara solo memilih lagu Pudar.
Konsert lepas rindu P Ramlee, Saloma di RTM1
BAGI peminat seni hiburan tanah air yang tidak berkesempatan menyaksikan Konsert Istana Cinta Nostalgia Tan Sri P Ramlee & Puan Sri Saloma oleh Datuk Siti Nurhaliza di Istana Budaya (IB) baru-baru ini, usah lepaskan peluang untuk menyaksikan konsert itu yang akan bersiaran di RTM1, jam 3 petang, Ahad ini.
Umum mengetahui pemergian P Ramlee, dan Saloma, meninggalkan banyak lagu merdu yang tidak jemu didengar walaupun berulang kali dimainkan dan dinyanyikan oleh penyanyi lain.
Konsert itu satu penghargaan khas kepada P Ramlee dan Saloma ini, menampilkan Siti Nurhaliza, selaku pelapis generasi muzik era 90-an dan alaf baru. Siti Nurhaliza sebagai artis utama mengalunkan lebih 20 lagu termasuk secara duet dan medley. Lagu yang dialunkan bersesuaian dengan tema segmen diketengahkan.
Sementara persembahan artis pada konsert ini diiringi Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) di bawah pimpinan Eddie Marzuki. Turut diundang menyumbangkan suara mereka ialah Musly Ramly, Fazli Zainal dan Kumpulan Isketambola.
Antara lagu didendangkan dalam konsert ini ialah Cik Keboom, Kwek Mambo, Manusia, Tiru Macam Saya, Malam Pesta Muda-Mudi, Merak Kayangan, Engkau Laksana Bulan, Dengar Ini Cerita, Malamku Bermimpi, Saat Yang Bahagia, Dalam Air Ku Terbayang Wajah, Berkorban Apa Saja dan Di Mana Kan Ku Cari Ganti.
Kemerduan suara P Ramlee dan Saloma mendendangkan lagu mereka seolah-olah masih terngiang-ngiang di telinga kita. Justeru, dengan adanya konsert ini, kerinduan kita terhadap suara dan lagu dendangan mereka terubat sekalipun artis generasi muda tidak mengenali kedua-dua seniman dan seniwati legenda itu.
Rossa doakan Siti cepat hamil
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
“MEMANG jawapan kepada soalan ini yang anda semua tunggu-tunggu, bukan?†soal Datuk Siti Nurhaliza Taruddin kembali kepada wartawan apabila ditanya sama ada dia sudah berbadan dua atau belum.
Sambil tersenyum mesra, penyanyi wanita paling popular tanah air ini sekali lagi menyatakan, dia belum lagi diberikan rezeki untuk hamil anak pertama hasil perkongsian hidup bersama Datuk Khalid Mohd Jiwa, yang menjadi suaminya sejak Ogos tahun lalu.
RAKAN KARIB: Siti Nurhaliza
dan Rossa pada majlis
pelancaran jenama Mandalay
di Carcosa Seri Negara.
Soalnya lagi, apakah dia sudah kelihatan seperti ibu mengandung, apabila wartawan mengajukan soalan berkenaan kepadanya. Penyanyi terkemuka Indonesia, Rossa, yang berada di sebelahnya segera memegang perut sendiri, lalu diletakkan kemudian di perut Siti seperti memberikan restu untuk wanita jelita itu hamil cahaya mata pertama.
Tentu saja soalan begitu akan diterima Siti setiap kali dia berdepan wartawan. Maklum saja, sekian ramai peminat yang tidak sabar untuk mendengar khabar gembira daripada pasangan popular ini. Hampir setahun bernikah, peminat tentunya ingin melihat pula kehadiran anggota ketiga dalam keluarga bahagia Siti bersama Datuk K.
Namun, pada majlis pelancaran jenama baru Rafflesia, Mandalay, di Carcosa Seri Negara, baru-baru ini, tidak banyak topik mengenai kehamilan dibicarakan Siti. Mungkin kerana waktu yang tidak mengizinkan. Bagaimanapun, sebelum itu Siti rancak bercerita mengenai perkembangan terbaru dunia muziknya.
“Sekarang Siti dalam proses mengumpulkan lagu untuk dimuatkan dalam album terbaru, berkonsepkan irama tradisional serta world music. Album ini sekali lagi diterbitkan syarikat Siti sendiri, Siti Nurhaliza Productions,†kata Siti yang turut berduet dengan Rossa menerusi lagu Aku Bukan Untukmu, pada majlis yang turut meraikan ulang tahun ke-16 perkahwinan pemilik Mandalay, Winnie Sin dan Sin Chean Long.
Antara komposer yang terbabit menjayakan album itu nanti ialah Pak Ngah Suhaimi dan Katon. Siti juga ada meminta lagu daripada komposer terkenal, S Atan, Yasin dan Ayob Ibrahim, pencipta yang pernah menjuarai kategori Irama Malaysia dan Etnik Kreatif pada Anugerah Juara Lagu ke-21, menerusi lagu Warkah Buat Laila.
“Jika diizinkan Tuhan Siti akan mula masuk studio untuk proses rakaman pada bulan Julai. Pasarannya pula mungkin pada November depan,†kata Siti mengenai album yang sekali lagi akan turut dipasarkan di Indonesia.
Sebelum ini, Siti pernah menghasilkan album berkonsep irama tradisional, sama ada secara sendirian mahupun bersama penyanyi lain. Album berkenaan ialah Seri Balas (bersama Noraniza Idris), Cindai, Sahmura dan Sanggar Mustika. Namun, album baru nanti bukannya memuatkan irama tradisional sepenuhnya, kata Siti.
Selain itu, penyanyi jelita ini juga baru saja menyambung kontrak bersama jenama syampu Pantene buat tahun kedua.
Jarum Emas: Tiada klon Sharifah Aini
Oleh Adam Salleh
adam@hmetro.com.my
TIADA dua, apatah lagi tiga atau empat. Kelainan ini membuatkan Datuk Sharifah Aini mempunyai imej, identiti serta tarikan tersendiri sebagai penyanyi.
Kita boleh mencari penyanyi bersuara ala Datuk Siti Nurhaliza, tetapi seingat saya selama menjadi orang akhbar, belum pernah saya bertemu klon Sharifah Aini.
Kelmarin (Jumaat), saya tonton show Sharifah Aini sempena Hari Ibu di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur. Dalam usia menjangkau setengah abad, Sharifah Aini masih lagi keletah, bijak memikat penonton serta bertenaga.
Persembahan beliau bermula jam 9.30 malam selepas aksi artis undangan, Dharma Harun Al Rashid, berakhir jam 11.45 malam. Sekalipun menjelang tengah malam, saya lihat rata-rata penonton tidak berganjak.
Tidak seperti konsert artis muda yang sinonim dengan penonton anak muda, persembahan Sharifah Aini tempoh hari dihadiri majoriti berusia 50 tahun ke atas, terutama kalangan ibu, sesuai dengan konsep majlis.
Bagi saya, yang membuatkan mereka tidak berganjak ialah kesegaran suara Sharifah Aini. Suara itu tiada pada artis lain. Dalam mana-mana pertandingan nyanyian pun, tiada siapa berani meniru suara itu.
Jika diamati sejak era 1960-an hinggalah ke era alaf baru, suara lemak merdu Sharifah Aini tidak berubah. Mendengar suaranya membuatkan kita berasa segar seperti era lampau yang pernah kita tempuhi.
Bukan mudah untuk mempertahankan populariti di persada seni yang penuh pahit dan getir ini. Namun dalam seribu penyanyi, Sharifah Aini dapat membuktikan dia mampu menongkah arus untuk dia bertahan sebagai biduanita negara.
ADAM: Salam buat kalangan ibu.
Soseh-Soseh: 2 diva berentap
DUA diva bergelar Datuk berentap di tempat sama sempena Hari Ibu. Itulah cerita menarik yang akan berlaku dalam waktu terdekat ini. SS yakin tentu ramai yang tidak sabar menantikan detik itu.
Datuk Sharifah Aini ditemani Dharma Harun Al-Rashid dan Fauziah Datuk Ahmad Daud menghiburkan penonton di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak jam 8 malam ini manakala Datuk Siti Nurhaliza bersama M Nasir dan Adibah Noor pada Ahad, jam 2.30 petang.
Satu lagi kebetulan antara kedua-dua persembahan ini, selain meraikan ibu ia juga untuk tujuan amal. Persembahan Siti untuk Yayasan Nurjiwa bagi membantu mereka yang memerlukan dan turut mengundang ibu tunggal serta anak yatim manakala sebahagian daripada tiket persembahan Sharifah Aini akan disalurkan kepada tabung Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia.
Persembahan Siti dianjurkan Mahir Entertainment & Production (MEP) manakala Sharifah Aini oleh Mufira Entertainment. Kalau tidak silap SS, ini bukan kali pertama Siti menjadi pilihan MEP untuk menjayakan Hari Ibu. Sebelum ini Siti digandingkan dengan Jamal Abdillah tetapi kali ini dengan M Nasir pula..
Nampaknya cita rasa MEP yang diterajui bekas Pengurus Promosi syarikat rakaman EMI (M) Sdn Bhd, Nor Mahiran Yusoff memang penyanyi tahap diva saja.
Apa yang pasti, Dewan Perdana Felda yang terkenal sebagai tempat meraikan pengantin ini bakal bergema dengan alunan suara merdu Sharifah Aini dan Siti


