Skip to content

Archive for August 2006

31
Aug

Lipis demam Siti sanding



Oleh Nor Hairulnizam Wahid

KUALA LIPIS: Dua set generator Tenaga Nasional Berhad (TNB) disediakan bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang persandingan Datin Siti Nurhaliza Tarudin dan Datuk Khalid Mohd Jiwa atau Datuk K di Padang Majlis Daerah Lipis (MLD), Ahad ini.

Persediaan TNB itu dianggap luar biasa berbanding daerah yang kecil tetapi ia cukup memberikan gambaran bahawa persandingan Siti dan Datuk K bakal bagaikan karnival.

Pengurus Cawangan TNB Kuala Lipis, Mohd Fadzir Abd Jabar menjelaskan, pihaknya akan memastikan bekalan elektrik sepanjang majlis itu berada dalam keadaan terbaik.

?Sekiranya berlaku sebarang gangguan elektrik ketika majlis itu, TNB sudah pun menyediakan dua set generator bagi memastikan majlis berkenaan berjalan lancar.

?Penggunaan tenaga elektrik juga dijangka lebih daripada biasa berikutan majlis dibuat pada waktu malam,? katanya yang bakal menggunakan 10 kakitangannya sepanjang majlis itu.

Tinjauan Harian Metro semalam mendapati suasana kini bagaikan ?pilihan raya? berikutan gambar Siti yang dicetak pada banting dan kain rentang memenuhi bandar ini.

Ia umpama masyarakat di bandar dan desa di sini menyambut kegembiraan berganda sepanjang minggu ini (Hari Kebangsaan ke-49 dan persandingan Siti dan Datuk K.)

31
Aug

Bak merai anak raja

Oleh Haswari Ali dan Fairuz Zaidan

Majlis dalam suasana penuh gilang gemilang dianggap paling gah pernah diadakan

MALAM Isnin lalu, terciptalah satu lagi sejarah dalam industri hiburan tanah air apabila berlangsungnya perkahwinan besar-besaran antara penyanyi tersohor Siti Nurhaliza Tarudin dan ahli perniagaan Datuk Khalid Mohd Jiwa.

Selain mendapat jolokan Wedding Of The Year, resepsi persandingan Siti Nurhaliza dan pasangannya Datuk K juga diklasifikasikan sebagai paling ?gah? pernah diadakan dalam sejarah perkahwinan tempatan.

Malah tidak keterlaluan, ramai menyifatkan majlis di dewan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu, bagaikan meraikan persandingan anak raja, dek kerana kawalan keselamatan yang begitu ketat serta hiasan pelamin nan indah.

Kehadiran lebih 2,000 tetamu jemputan yang memenuhi isi dewan, nyata begitu tertib mengikut atur cara majlis yang diatur stesen TV rasmi majlis perkahwinan itu, TV3.

Bermula daripada kemunculan singkat Siti di hadapan 1,000 peminat, disusuli pula ketibaan tetamu yang disulami adat budaya, sehinggalah debaran Siti muncul secara bertentangan bersama pasangannya untuk bersemayam di atas pelamin berwarna putih.

Hari bahagia itu tentunya dapat dirasai kebanyakan tetamu, terutama selebriti tempatan yang tumpang bahagia dengan persandingan penyanyi kesayangan ramai itu. Ikuti ucapan dan perasaan mereka.

Datuk Yusoff Haslam, penerbit & pengarah

“Belum ada lagi artis kita yang pernah mengadakan sambutan besar-besaran seperti ini, mengalah anak raja.

Nora, penyanyi

“Peluang saya mengadakan persembahan di malam persandingan Siti adalah hadiah tidak ternilai untuk Siti”

Taufik Batisha, Singapore Idol

“Tentunya saya gembira dengan perkahwinan Siti dan pasangannya Datuk K. Sebaik saja tiba di sini, saya terkejut dengan sambutan semeriah dan majlis perkahwinan paling besar pernah saya hadiri”

Saerah, adik Siti

?Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar, hampir semua yang dirancangkan kami seisi keluarga diisi sebaiknya. Terima kasih dengan kehadiran tetamu jemputan yang memeriahkan majlis malam ini. Sudah tentu, sebagai adik dan kakak yang paling rapat, saya tumpang bahagia dengan perkahwinan Kak Siti. Yalah adat perkahwinan, apabila sudah berumah tangga semuanya akan berbeza, saya tidak boleh lagi rapat dengan Siti seperti dulu. Doa saya, asalkan mereka berdua bahagia.?

Salamiah Hassan, penyanyi

?Sebaik saja masuk dewan, saya sudah rasakan kemeriahannya dan berlainan sungguh daripada majlis perkahwinan yang lain. Betullah kalau orang kata ?It?s a wedding of the year?. Setiap orang mahukan kebahagiaan dan jika inilah menjadi pilihan Siti, saya ucapkan yang terbaik buatnya. Apa yang saya harapkan, agar dia tetap meneruskan kerjaya nyanyiannya selepas ini.?

Umie Aida, pelakon

?Satu majlis yang grand dan berjalan dengan lancar. Mungkin inilah hadiah istimewa buat Siti sempena perkahwinannya kepada peminat serta rakan artis yang rapat dengannya. Saya tumpang gembira dengan perkahwinan Siti dan Datuk K dan bagi saya semua orang patutnya merasai perasaan serupa. Doakan kebahagiaan mereka berdua hingga ke akhir hayat.?

Anita Sarawak, penyanyi

?Sepanjang Kak Nita mengenali Siti, dia memang seorang yang sangat peramah dan menghormati kita. Kak Nita dan Abang Mahathir sangat gembira kerana diundang untuk ke majlis persandingan Datuk Khalid dan Siti Nurhaliza. Apa yang ingin Kak Nita pesan ialah sentiasa menyayangi pasangan kita dan saling memahami untuk mengeratkan lagi ikatan perkahwinan yang diimpikan hingga ke akhir hayat.?

30
Aug

Mazlin bagai mimpi ngeri

MENONTON program realiti kehidupan Bersamamu, pasti menitiskan air mata. Paparan setiap minggu begitu menyentuh kalbu. Di sebalik kejayaan program itu ialah kegigihan penerbitnya, Mazlin Nordin sentiasa menjanjikan yang terbaik buat tatapan penonton TV3.

Detik bahagia penyanyi nombor satu negara, Datin Siti Nurhaliza Taruddin, 27, bersama Datuk Khalid Mohamad Jiwa, 47, pada 21 dan 28 Ogos serta 3 September ini, Mazlin sekali lagi ditugas menerbitkan majlis siaran langsung perkahwinan yang digelar Perkahwinan Abad Ini.

Penerbit Eksekutif yang berasal dari Klang, Selangor itu mengakui terharu dengan kepercayaan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Farid Redzuan.

Ternyata pengalaman selama 16 tahun sebagai wartawan penyiaran dan penerbit, memberi kelebihan kepada Mazlin yang pernah dianugerahkan Tokoh Pekerja Wanita Kebangsaan 2003, Pekerja Terbaik TV3 (2004) dan pelbagai anugerah kewartawanan penyiaran.

Untuk mengetahui lebih lanjut kerja di sebalik tabir siaran langsung perkahwinan Siti, Wartawan Harian Metro, NOR AKMAR SAMUDIN menemubual Mazlin.

SOALAN (S): Adakah persiapan untuk siaran langsung persandingan Siti tergugat gara-gara Astro dan RTM menyiarkan program Ina dan Mawi serentak pada hari dan masa sama?

JAWAPAN (J): Ia tidak tergugat langsung. Bagi saya dan tenaga kerja yang menjayakan program siaran langsung persandingan Siti, sebaik saja diamanahkan tanggungjawab itu kami berusaha melakukan yang terbaik.

Siti adalah penyanyi nombor satu negara. Justeru, kami yakin penonton mahu menyaksikan persandingannya. Sekalipun tahu perancangan Astro dan RTM, tiada sebarang pindaan pada saat akhir. Kerja penerbitan diteruskan seperti biasa.

S: Kesan rating program Ina dan Mawi kepada siaran langsung persandingan Siti?

J: Jumlah penonton pada malam persandingan gilang-gemilang itu 4.3 juta orang. Oleh kerana acara persandingan itu dipancarkan pada waktu perdana, rating itu dianggap satu kejayaan buat TV3. Tidak dinafikan ada penonton ?lari? ke saluran lain tetapi mereka kembali menonton TV3 pada acara kemuncak persandingan Siti sewaktu acara memotong kek.

Jangka masa siaran langsung itu 2 jam setengah mengikut rancangan yang diatur perunding perkahwinan dari Nusantara Gems Sdn Bhd, Datuk Raja Rezza Shah. Sebenarnya, program khas itu bermula jam 5 petang sewaktu Siti melambai kepada peminat di balkoni aras 3, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Kepada mereka yang belum puas menyaksikan persandingan Siti, boleh menontonnya lagi menerusi program Nona, Majalah 3 dan Wanita Hari Ini.

S: Bagaimana dengan persiapan pasukan teknikal TV3 bagi menyempurnakan siaran langsung itu dan mengambil masa berapa lama?

J: Selepas diberi tugasan itu sebulan sebelum perkahwinan Siti, setiap Rabu kami bermesyuarat dan kerap berbincang dengan Shah Rezza. Julung kali juga, Jabatan Majalah, Dokumentari dan Famili bekerjasama dengan Jabatan Hiburan, Sukan dan Rekreasi bagi melancarkan perjalanan majlis. Semua sekali kakitangan terbabit lebih 100 orang.

Pada peringkat akhir persiapan, pengacara juga dipanggil bermesyuarat. Kami juga menggunakan tiga kamera untuk acara karpet merah, lapan kamera dalam Dewan Pameran 1 & 11 (majlis persandingan diadakan) dan tiga kamera bergerak.

Sepanjang tiga minggu TV3 menyiarkan rancangan Tiada Rahsia setiap Sabtu sejak 3 Ogos lalu, ia tidak mengganggu program dalaman TV3. Asalnya, slot itu milik Majalah 3 yang ketika ini direhatkan sebentar kemudian diganti program Bersamamu.

Walaupun Bersamamu tidak bersiaran sepanjang tiga minggu, kerja penerbitan diteruskan seperti biasa. Ia akan kembali disiarkan Sabtu ini.

S: Ada masalah ketika acara pertunangan dan pernikahan Siti di Masjid Wilayah Persekutuan dan juga persandingan di KLCC?

J: Ada penonton komplen tak puas tengok gambar Siti bertunang dan bernikah. Memandangkan acara itu dibuat di masjid, kami perlu patuhi garis panduan tertentu. Antaranya kamera tak boleh banyak. Kita mesti ingat yang masjid tempat ibadah dan dilarang berbuat sebarangan.

Ketika acara persandingan pun ramai komplen kenapa kamera tidak fokus banyak kepada Siti. Ini kerana selepas makan beradat, Siti hanya sempat tengok persembahan Kris Dayanti sebelum dia menukar baju untuk acara memotong kek. Sebab itu wajahnya ?hilang? seketika dari skrin televisyen.

Selain itu, penonton di rumah tidak dapat mendengar penuh sesetengah lagu yang dipersembahkan kerana memberi laluan kepada iklan. Namun berbeza dengan persembahan Kris Dayanti dan Hetty Koes Endang yang disiarkan penuh.

Sebagai penerbit, saya perlu bijak mencongak (masa) supaya tidak terlebih masa. Penonton juga harus faham yang program itu berbentuk majalah, bukannya Juara Lagu. Untuk program majalah, pengisiannya termasuk temubual dengan tetamu dan memberikan ucapan.

Mereka juga harus faham peranan pengacara pada malam itu. Ishak Nengah dan Zakiah Anas adalah pengacara majlis persandingan manakala Ahmad Fedtri Yahya dan Azizah Ariffin bekerja pada malam itu. Farah Fauzana dan Aidil Abdul Ghaffar pula mengacarakan segmen persembahan artis.

Syafinas Hussein menemu bual tetamu yang hadir serta menjadi penghubung kepada semua atur cara pada malam itu. Setiap seorang ada peranan masing-masing bagi melengkapkan siaran langsung itu.

S: Daripada penerbit ?air mata? kemudian mengendalikan pula rancangan siaran langsung perkahwinan Siti. Apakah cabaran yang dihadapi?

J: Saya berpegang kepada prinsip setiap tanggungjawab perlu dilaksanakan sepenuh hati. Saya boleh menyesuaikan diri mengikut program yang dikendalikan. Seperti pelakon, untuk watak sedih dia menangis, diberi watak ceria dia ketawa.

Saya tidak terfikir langsung untuk menerbitkan program ini. Apabila Datuk Farid mengarahkan saya menerbitkan majlis perkahwinan Siti, saya rasa bagaikan satu mimpi ngeri. Saya bimbang perjalanan majlis ini terganggu kerana dengar macam-macam cerita termasuk niat jahat ingin mensabotaj acara itu.

Malam sebelum pernikahan Siti, saya tidak boleh melelapkan mata kerana bimbang. Sambil itu saya berdoa semoga Allah permudahkan pekerjaan kami. Syukur, segalanya berjalan lancar. Kejayaan ini adalah hasil kerjasama semua krew.

Untuk majlis di KLCC, dua minggu kami berulang-alik ke sana. Hari Sabtu kami mula membuat persiapan dan segalanya siap pada pagi Isnin.

S: Apa yang menariknya mengendalikan program perkahwinan Siti?

J: Semua tahu Siti bukan calang-calang penyanyi. Sudah tentu ia satu pengalaman paling menarik. Kawan-kawan pun sudi menawarkan diri untuk membantu kerana sama-sama mahu meraikan majlis perkahwinan penyanyi terkenal itu.

S: Adakah anda setuju kegemilangan perkahwinan Siti dan Datuk K mencetuskan sejarah tersendiri dalam industri hiburan negara dan ia tidak berulang lagi?

J: Buat sementara waktu ini, pernyataan itu betul. Siti tiada pengganti. Perkahwinan ini memang selayaknya digelar ?Perkahwinan abad ini?. Setakat ini saya tidak nampak lagi artis lain yang mampu mengatasi kehebatan Siti.

S: Ada wartawan dari Indonesia bersungut mengenai layanan yang tidak memuaskan?

J: Itu adalah di bawah pengurusan Datuk Shah Rezza dan Jabatan Komunikasi Korporat TV3. Secara peribadi saya tetap memberikan kerjasama kepada mereka, cuma saya tidak dapat memenuhi permintaan mereka untuk ditemu bual kerana sibuk. Apapun saya mengajak mereka ke Kuala Lipis pada 3 September ini.

S: Peminat komen jemu dengan cerita Siti yang dikatakan mendapat pendedahan keterlaluan?

J: Ada kala pelik. Mereka yang berkata jemu tetapi mereka juga yang menonton program Siti. Saya percaya bukan semua peminat Siti bersikap begitu hanya segelintir saja.

Suka atau tidak, Siti penyanyi nombor satu. Semua akhbar utama negara ini menyiarkan beritanya. Sesuai statusnya itu, Siti berhak mendapat layanan istimewa.

Kita dapat lihat Siti menitiskan air mata kerana tidak dapat mendekati peminat pada hari berbahagianya itu. Kita tidak benarkan Siti turun menemui peminat kerana bimbang mereka berebut mahu bersalaman dengannya. Kita tak boleh menjangkakan apa yang akan berlaku.

Mengenali Siti, dia akan buat apa saja demi peminat. Namun demi keselamatannya, hasratnya untuk mendekati peminat terpaksa dibatalkan.

S: Perlukah Siti menyanyi di majlis persandingannya sendiri dan ia idea siapa?

J: Siti sendiri mahu menyanyi sebagai kejutan untuk peminat. Itulah kali pertama Siti menyanyi selepas bergelar isteri. Lirik lagu Cahaya Cinta itu ciptaan Siti sendiri. Ilham datang selepas majlis pernikahannya.

S: Apa lagi kerjasama TV3 dengan Siti selepas ini?

J: Tugas kami yang terakhir majlis persandingan Siti di Kuala Lipis. Kami akan pergi Jumaaini untuk membuat persiapan. Atur cara malam itu bermula 8.30 hingga 10.30 malam. Siaran tertunda di TV3 mulai 11 malam hingga 12 tengah malam.

Saya dapat rasakan suasana di sana lagi meriah kerana dijangka dihadiri kira-kira 10,000 peminatnya. Upacara persandingan diadakan di Dataran Lipis dengan kerjasama Majlis Perbandaran Lipis, pasukan polis dan Rela. Seramai 50 krew akan berada di sana dengan lima kamera tetap dan dua kamera bergerak.

30
Aug

Cahaya cinta

Oleh Zul Husni Abdul Hamid, Farihad Shalla Mahmud dan Serimah Mohd Sallehuddin

Siti Nurhaliza curah rasa dalam lagu dicipta khas untuk suami, Datuk K

Dia telah menentukannya
Kita bertemu dan cinta
Inilah oh takdirnya
Bukan kerana harta
Inilah citra cahaya cinta

Pintu hatiku telah kau buka
Tak mampu ku menafikannya
Kejujuran diberi kasih takkan berganti
Ini bahagia yang ku cari

Sayangi daku
Peluklah daku
Janji denganku
Semai cinta nan satu

Tuhan menguji
Takkan berhenti
Hanya ku pinta
Sama setia menjaga hingga ke alam syurga

Dia telah menentukannya
Kita bertemu dan bercinta
Inilah oh takdirnya
Bukan kerana harta
Inilah citra cahaya cinta
Ooh…..

Sayangi daku
Peluklah daku
Janji denganku
Semai cinta nan satu

TERMETERAI kini ikatan suci antara dua jiwa, menyimpul cinta tatkala gelora hebat menghempas namun di penghujungnya, sinar bahagia mula menyimbah di hati pasangan popular, Datin Siti Nurhaliza dan Datuk Khalid Mohd Jiwa.

Bermula sudah perjalanan baru dalam hidup mereka, bukan lagi fantasi sebaliknya adalah sebuah realiti kehidupan yang akan menguji keutuhan cinta mereka apabila dilambung waktu. Betapa kuatnya kuasa cinta mereka, segala ujian sanggup direnangi dan di pelamin, Mahligai Asmara termaktub kini, Siti menjadi milik Khalid.

Bukan harta yang dipandang, juga bukan gelaran atau kekayaan yang dikejar namun kejujuran yang ada pada duda empat cahaya mata itu mengikat hati penyanyi tersohor kelahiran Kuala Lipis, Pahang untuk tidak lagi berundur.

Bait lirik lagu Cahaya Cinta yang menjadi luahan rasa Siti terhadap suaminya adalah terjemahan suara hatinya terhadap insan kesayangan yang berjaya bertakhta di kalbu, selepas puas mengharung ombak dugaan.

Betapa kuasa Tuhan itu terlalu besar, tiada siapa yang mampu menghalang dan di hati Khalid, Siti menemui bahagia yang dicarinya selama ini. Moga sinar bahagia itu akan terus mewarnai hidup mereka berdua, diiringi doa restu keluarga serta peminat.

Berakhir sudah episod yang menguji dan kelmarin, di Dewan Pameran 1 & 2, Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC), kedua mempelai yang diijabkabulkan pada 21 Ogos lalu di Dewan Solat Utama, Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur diraikan dalam majlis gilang gemilang.

Jika seminggu lalu, air mata Siti gugur tatkala mendakap erat dua insan kesayangan yang menjaganya selama 27 tahun, sekali lagi air jernih yang mahal harganya itu menitis di wajah jelitanya.

Bukan tangisan duka, bukan juga mengenang episod lalu yang mencalar perasaan namun air mata Siti tumpah melihat kesetiaan peminat yang tidak jemu menyatakan sokongan mereka. Bermula 11 tahun lalu, menapak sebagai anak seni dan berkat sokongan mereka hari ini, melihat Siti berlari laju, hati seakan terpanggil untuk meraikan hari bahagianya.

Lalu pada petang yang hening itu, lebih 1,000 peminat membanjiri Taman KLCC untuk melihat dari dekat wajah penyanyi kesayangan mereka itu menaiki pelamin, berkongsi detik bahagia yang baru seminggu dikecapi.

Tiada kereta kuda impian, tiada juga perarakan menggunakan kereta antik seperti yang direncanakan namun Siti masih berbesar hati untuk meraikan peminat pada hari bahagianya dalam satu sesi khas bersama mereka.

Sekadar lambaian serta ucapan terima kasih dari kejauhan kerana Siti berada di balkoni tingkat tiga bangunan itu, peminat tetap setia menanti dengan harapan penyanyi kesayangan mendekati mereka yang datang penuh harapan.

Namun harapan hanya menjadi satu igauan, Siti tidak mampu berlama-lama dan selepas tujuh minit, dia beransur ke dewan untuk sesi fotografi khas bersama media, sebelum menukar pakaian untuk upacara persandingan.

Di hati tersimpan riak kecewa, namun apa daya hanya itu masa yang ada kerana Siti juga mengejar waktu. Tepat jam 9 malam, TV3 menyiarkan secara langsung majlis persandingan dari dewan yang dihias indah menjadi sebuah taman.

Siti yang anggun menggayakan persalinan kebaya moden putih, Badarsila dipetik daripada judul lagu popularnya rekaan Radzuan Radziwill tenang melangkah ke pelamin indah ilham Datuk Shah Rezza dari Nusantara Gems Sdn Bhd.

Khalid pula seakan tidak dapat menyembunyikan debaran kencang yang berperang di dalam dirinya, lalu terzahir gambaran gementar di raut wajah. Tersilau dek limpahan kerdipan cahaya kamera barangkali kerana ia adalah sesuatu yang baru dalam dunia usahawan berjaya itu.

Lebih bermakna apabila majlis persandingan yang melakar sejarahnya yang tersendiri sebagai satu daripada detik gemilang dalam kalendar industri hiburan untuk 2006 itu diserikan dengan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah; Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan isteri, Tengku Puan Pahang, Tunku Hajah Azizah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar; Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan isteri, Sultanah Nur Zahirah yang berkenan mencemar duli.

Turut hadir Tuan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Sallahuddin Abang Barieng dan isteri, Toh Puan Hajah Norkiah; Yang Dipertua Negeri Melaka, Tan Sri Khalil Yaakob dan isteri, Toh Puan Zurina Kassim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali juga tidak ketinggalan meraikan hari bersejarah pasangan pengantin itu.

Ketika acara makan beradab, sebagai halwa telinga tetamu persembahan hiburan daripada dijayakan artis terkenal tempatan dan Indonesia antaranya Hetty Koes Endang, Azlina Aziz, Kris Dayanti, Ning Baizura, Ziana Zain, Datuk M Daud Kilau, Uji Rashid, Ezlynn, Too Phat, Nora dan Nash dipersembahkan.

Rangkaian lagu popular bertemakan cinta antaranya Syurga Di Hati Kita, Permata, Semakin Hari Semakin Sayang, Bukan Cinta Biasa, Mencintaimu, Percayalah, When You Tell Me That You Love Me dan Can’t Help Fallin’ Love berkumandang, menjadi doa supaya cinta suci yang dijalin akan berkekalan hingga ke akhir hayat.

Pengantin perempuan turut mengalunkan lagu terbarunya, Cahaya Cinta yang ditulis khas buat suami tercinta.

Terlakar sudah sebuah lagi memori indah perjalanan hidup insan seni, barangkali menjadi catatan cinta teragung dalam diari hiburan dekad ini. Siti hanya satu, hadirnya membawa bahagia kepada setiap insan yang mengagumi bakat besarnya.

Seperti kata Siti dalam bait Cahaya Cinta, “Pintu hatiku telah kau buka, tak mampu ku menafikannya, kejujuran diberi kasih takkan berganti, ini bahagia yang ku cari”.

Semoga Siti menemui bahagia di sisi Khalid, insan yang tulus menyayanginya. Daripada warga Hip, Selamat Pengantin Baru!

30
Aug

‘Siti sering tanya cara layan suami’

Oleh Zul Husni Abdul Hamid, Farihad Shalla Mahmud dan Serimah Mohd Sallehuddin

Pengantin baru kongsi suka duka dengan sahabat dari seberang, Kris Dayanti

ANDAINYA sebelum ini media tempatan bertungkus lumus mengejar Datin Siti Nurhaliza Tarudin untuk mendapatkan kepastian mengenai perkahwinannya, penyanyi itu lebih senang membiarkan persoalan berkenaan terus bersarang di jiwa media hingga tiba tarikh keramat 17 Julai lalu.

Percintaan Siti dan Datuk Khalid Mohamad Jiwa sebenarnya bukanlah rahsia di kalangan media tempatan. Kisah cinta Siti Nurhaliza dengan duda beranak empat itu sudah dihidu media sejak akhir tahun lalu. Namun, Siti sering menafikan.

Andai kita masih berteka-teki dan mencari tarikh sebenar perkahwinan Siti, tarikh itu bukanlah rahsia di kalangan teman rapatnya dari seberang.

Siti sudah terlebih dulu berkongsi berita gembira itu kepada mereka. Malah sudah mengundang mereka untuk memeriahkan majlis perkahwinan yang boleh diibaratkan seperti perkahwinan anak raja.

Siapa yang tidak tahu keakraban Siti Nurhaliza dengan penyanyi popular Indonesia, Kris Dayanti atau KD. Hubungan baik yang terjalin sekian lama menyebabkan Siti menaruh kepercayaan malah membuatnya berasa selesa untuk berkongsi perasaan suka dukanya kepada penyanyi dari seberang itu.

Menurut penyanyi itu, Siti sering berbincang soal pernikahan dan bertanya tips-tips melayari bahtera rumah tangga kepada penyanyi itu memandangkan mereka berada dalam bidang yang sama.

Namun, pemilik lagu Mencintaimu itu merahsiakan apakah butir bicara serta nasihat yang diberikan kepada penyanyi berkenaan.

“Dia sering bertanya kepada saya bagaimana hidup berkeluarga dan cara melayan serta menyenangkan hati suami. Saya sudah cerita semua kepadanya, tapi itu rahsia kami,” katanya yang ditemui sebaik selesai majlis persandingan itu.

Siti Nurhaliza mengundang KD menerusi telefon kira-kira dua minggu lalu ke majlisnya malah menjemput KD membuat persembahan pada majlis persandingannya dengan Khalid di Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC). Siti juga membuat permintaan supaya KD mendendangkan lagu kegemarannya Mencintaimu.

Kelmarin, sebuah akhbar Indonesia melaporkan KD sudah mengetahui kisah cinta Siti dan Khalid sejak beberapa tahun lalu apabila Siti menjadikan KD sebagai tempatnya meluahkan perasaan.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai isu berkenaan KD tidak memberikan sebarang komen dan berlalu meninggalkan media tanpa sepatah kata.

Seorang lagi penyanyi dari seberang yang turut kelihatan pada majlis persandingan Siti ialah penyanyi evergreen Hetty Koes Endang.

Hetty yang mendendangkan lagu When You Tell Me That You Love Me pada majlis persandingan kedua-dua mempelai itu hanya mendoakan yang terbaik buat Siti dan Khalid. Baginya siapa saja pilihan Siti terpulang kepada penyanyi itu dan menganggap ia sebagai takdir.

Ditanya bilakah dia menerima undangan perkahwinan Siti, Hetty berkata, penyanyi itu menjemputnya Februari lalu ketika sama-sama menjayakan Majlis Amal Kasih yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Majlis berkenaan turut dihadiri Khalid yang mengenakan pakaian sedondon berwarna ungu sama dengan Siti.

Bagaimanapun, Hetty berkata dia tidak mengambil tahu kisah peribadi Siti Nurhaliza serta kontroversi yang membabitkan Siti. Namun, Hetty menasihatkan Siti supaya memberikan keutamaan kepada keluarga setelah bergelar seorang isteri.

“Sepopular mana pun seorang isteri itu, dia harus menghormati suaminya. Apabila sudah berkahwin, Siti harus memilih yang mana paling utama dan seharusnya dia mengutamakan keluarganya,” katanya yang turut mengharapkan perkahwinan penyanyi itu berkekalan hingga akhir hayat.

Corat-Coret
Majlis persandingan Siti Nurhaliza dan Datuk Khalid Mohamad Jiwa

PENGHIBUR Indonesia, Kris Dayanti (KD) menjadi tumpuan tetamu. Tidak berhenti cahaya kamera berkelip sebaik penyanyi Mencintaimu itu melabuhkan punggungnya. KD semeja dengan penyanyi tempatan seperti Dayang Nurfaizah, Ning Baizura, Nora dan suami.

ADA persamaan antara tiga artis wanita iaitu KD, Nora dan Ning Baizura. Ketiga-tiga mereka memilih gaya potongan rambut pendek. Duduk semeja, malah ketiga-tiga penyanyi bersuara hebat itu turut membuat persembahan pada majlis persandingan bersejarah itu.

ANAK ketiga Datuk K, Mohd Asyraf menjadi tumpuan ramai apabila hadir dengan baju Melayu cekak musang berwarna merah jambu lengkap bersamping. Paling kelakar apabila pihak media berebut-rebut untuk merakamkan gambar kenangan dengannya.

KETULUSAN cinta Siti terhadap suaminya diabadikan menerusi sebuah lagu berjudul Cahaya Cinta hasil nukilan Siti sendiri. Siti juga mendendangkan buat pertama kalinya lagu itu pada majlis persandingannya.

ACARA hiburan yang berlangsung malam itu agak meleret sehingga membosankan tetamu yang hadir. Namun, persembahan spontan Hetty Koes Endang yang menyanyikan lagu When You Tell Me That You Love Me memang meletup walaupun tanpa sebarang latihan.

JANGAN tak tau, Datuk K juga ada peminat tersendiri. Sewaktu kedua mempelai itu sedang mengucapkan terima kasih kepada tetamu yang hadir, seorang kanak-kanak kelihatan menghulurkan buku untuk ditandatanganinya.

GURAUAN Hetty Koes Endang yang menyebut dirinya dan Siti mempunyai cita rasa yang sama apabila memilih lelaki bermisai sebagai suami mengundang gelak ketawa tetamu yang hadir.

PASANGAN Hattan dan Faradhiya hadir bersama dengan pakaian sedondon iaitu biru firus. Malah pasangan ‘hanya kawan biasa’ itu kelihatan cukup mesra sepanjang berada di majlis itu.

SETIAP tetamu yang hadir dibekalkan cenderahati sebuah beg kertas berwarna kelabu tertera huruf S dan K berisi cakera padat serta coklat sebagai tanda kenangan daripada pihak tuan rumah. Bagaimanapun, tak semua tetamu dapat gara-gara bekalan tidak mencukupi.

IBU dan bapa pengantin perempuan turut menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang ke 38 tahun. Siti Salmah Bachik, ibu kepada Siti sempat menyuapkan pulut kuning ke mulut suaminya.

DEWAN Pameran 1 & 2 di mana persandingan itu berlangsung menyediakan empat layar besar untuk kemudahan tetamu. Bagaimanapun apa yang ditayangkan di layar itu tidak sama dengan apa yang berlaku di atas pentas menyebabkan tetamu terpinga-pinga dan keliru apa sebenarnya berlaku.

KETIKA tetamu di dalam dewan sedang enak menjamu selera, di bahagian dapur lain pula ceritanya. Keadaan sungguh kelam kabut dan hiruk pikuk mengalahkan kapal karam.

DALAM sibuk mengawal ketat si pengantin sehingga menyukarkan pihak media bertugas, tup-tup ada pula seorang makcik ni terlepas naik ke pelamin dan merenjis kedua-dua mempelai. Hmmm, kata ketat sangat kawalan tetapi ‘yang ado’ tajuk albumnya.

SEBELUM acara memotong kek berlangsung, tetamu juga dihidangkan dengan tayangan klip video perkembangan kerjaya seni Siti di TV3 dari awal sehingga kini.

KEKURANGAN kemudahan asas menjadi masalah utama pihak media untuk menghantar bahan berita. Apa salahnya disediakan sebuah pusat media untuk menyenangkan mereka yang bertugas terutama media Indonesia dan Singapura menghantar bahan.

30
Aug

GILANG-GEMILANG

Oleh
Saodah Ismail

MAJLIS persandingan Datin Siti Nurhaliza dan Datuk Khalid Mohamad Jiwa yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) kelmarin merupakan acara hebat yang paling gemilang dalam industri hiburan Malaysia.

Ia mencatatkan sejarah sebagai event of the year yang penuh glamor dan sukar dilupakan oleh sebilangan besar peminat muzik serta artis tanah air apabila penyanyi terkenal itu mengakhiri majlis persandingannya dengan mendedikasikan sebuah lagu untuk suaminya yang berjudul Cahaya Cinta.

Keadaan di luar dewan utama KLCC di mana majlis persandingan berlangsung pada mulanya kucar-kacir sedikit apabila ramai tetamu yang masih belum dapat memasuki dewan dan terpaksa berbaris panjang sehingga 9 malam.

Ini berikutan terlalu ramai yang datang mulai 8 malam, menyebabkan pihak KLCC terpaksa akhirnya membenarkan tetamu seramai 2,500 orang itu masuk dan duduk di mana-mana saja, apabila pintu dewan semakin sesak menjelang 9 malam.

Tetamu yang hadir bukan saja daripada kalangan keluarga kedua-dua pihak, bahkan media dan para kenamaan termasuk tetamu diraja antaranya Sultan Ahmad Shah, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Permaisuri Nur Zahirah, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Yang diPertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakob, dan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Turut hadir ialah rakan-rakan artis termasuk seniman dan seniwati veteran antaranya Datuk Jins Shamsudin; Datuk Jamil Sulong dan isteri Datin Rosnani Jamil; Datuk Yusuf Haslam dan isteri; Anita Sarawak dan suami; Aishah; Cef Wan; serta Linda Rafar.

Majlis diserikan dengan persembahan daripada senarai artis pilihan kedua-dua mempelai iaitu Azlina Aziz, Kris Dayanti, M. Daud Kilau, Ziana Zain, Ezlynn, Ning Baizura, Nash, Too Phat, dan Uji Rashid.

Turut ditampilkan juga alunan tradisional gamelan berserta 30 penari daripada kumpulan Tepak Sirih yang diterbangkan khas dari Singapura.

Selain artis, kesemua lagu dipilih oleh Siti dan suaminya yang merupakan lagu-lagu kegemaran mereka.

Namun, persembahan yang terbaik bukan saja dari Kris Dayanti yang menyampaikan lagu popularnya, Mencintaimu, bahkan dari penyanyi mapan, Hetty Koes Endang, yang sekalipun hadir sebagai tetamu, sempat tampil secara spontan untuk meraikan ‘anakanda Siti’ dengan persembahannya yang memukau apabila mendendangkan lagu cinta, When You Tell Me That You Love Me.

Majlis persandingan itu merupakan kemuncak acara perkahwinan penyanyi nombor satu Malaysia ini yang dimulakan dengan lagu instrumental, Percayalah, yang turut menyaksikan kedua-dua pengantin tampil di pentas melalui arah berasingan – Siti dari kiri pentas dan suaminya dari bahagian kanan pentas.

Sebaik sahaja mempelai duduk atas pelamin, selawat ke atas Nabi dibacakan oleh Ustaz Mohd Nor dan diikuti dengan majlis menepung tawar didahului oleh Sultan Pahang dan diikuti oleh Sultan Terengganu dan isteri serta ahli keluarga Siti dan Datuk K.

Pasangan pengantin mengenakan pakaian songket sutera klasik berwarna krim hasil rekaan Razwan Radwil.

Majlis diakhiri dengan acara memotong kek tujuh tingkat yang dinamakan Indah Percintaan dengan Siti mengenakan gaun ciptaan Michael Ong.

Kek seberat 100 kilogram itu diselaputi emas 22 karat serta dihiasai 1,200 bunga ros.

Selepas memotong kek, Siti menyampaikan lagu khas yang ditujukan kepada suaminya yang berjudul Cahaya Cinta dan dinyanyikan buat pertama kali pada malam itu.

Terdahulu, pada satu acara berasingan di sebelah petang, sebagai memenuhi janjinya untuk menemui peminat, Siti muncul di serambi tingkat tiga KLCC.

Acara ini diatur sekitar 5 petang apabila Siti tampil untuk melambai kepada ratusan peminatnya yang berada di kawasan KLCC menghadap hotel Mandarin Oriental.

Acara itu khas untuk peminat yang pada mulanya dirancangkan dengan Siti menaiki kereta kuda di sekitar kawasan itu. Bagaimanapun atas sebab-sebab keselamatan dan cuaca akhirnya diputuskan Siti muncul sendirian di serambi dengan memakai pakaian ciptaan Hoon Hooi yang dinamakan Dewi Mustika.

Ia merupakan gaun berwarna putih krim, warna tema perkahwinan Siti yang dihiasi sebanyak 8,888 mutiara Rafflesia.

Ketika muncul di serambi yang terletak di bahagian atas dewan utama, Siti menitiskan air mata kerana sedih tidak dapat dekat dengan peminat-peminatnya sebagaimana yang dirancangkan.

Ketika ditemui wartawan sejurus selepas acara itu yang dibuat selama setengah jam, Siti berkata beliau menangis kerana sedih peminatnya hanya melihat beliau dari jauh.

‘Siti sedih tidak dapat dekat dengan mereka (peminat) pada hari bahagia Siti. Siti harap peminat dapat datang ke majlis di Kuala Lipis pada 3 September kerana Siti akan melayan mereka,’ katanya.

Bagi memenuhi keperluan orang ramai, majlis kenduri di Kuala Lipis pada 3 September ini nanti menyediakan 16 ekor lembu untuk disembelih dengan enam kumpulan tukang masak menyediakan lauk pauknya.

30
Aug

Cahaya Cinta

Verse 1:

Dia teleh menentukannya

Kita bertemu dan bercinta

Inilah oh takdirnya

Bukan kerana harta

Inilah citra cahaya cinta

Pintu hatiku telah kau buka

Tak mampu ku menafikannya

Kejujuran diberi kasih takkan terhenti

Ini bahagia yang ku cari

Sayangi daku peluklah daku

Janji denganku semai cinta nan satu

Tuhan menguji takkan berhenti

Hanya ku pinta sama setia menjaga

Hingga ke alam syurga…

Repeat verse 1

Sayangi daku peluklah daku

Janji denganku semai cinta nan satu

Tuhan menguji takkan berhenti

Hanya ku pinta sama serta menjaga

Hingga ke alam syurga…

Hingga ke alam syurga…

Sayangi daku….

Lyrics & Song:

Siti Nurhaliza

source from http://badgerl11.multiply.com/

30
Aug

Jurugambar sasaran pengawal

RATA-RATA tetamu di persandingan Siti Nurhaliza dengan Datuk K semalam, pastinya teruja dengan majlis gilang-gemilang itu. Yang hadir pula bukan setakat rakan media, artis, malah ahli politik serta pembesar negeri turut memeriahkan majlis penyanyi nombor satu itu.

Biasanya, apabila majlis ramai VIP, VVIP serta VVVIP, yang perlu kita titik beratkan adalah keselamatan. Apa yang SS perhatikan kawalan keselamatan nampaknya difokuskan pada jurugambar saja. Boleh dikatakan jurugambar tidak senang kerjalah di majlis persandingan itu.

Sampai juga ke telinga SS, ada dua, tiga jurugambar bukan saja dihalang tetapi dicekak kolar belakangnya daripada mengambil gambar ketika sesi artis undangan menyanyi.

Barangkali kerana bosan diperlakukan begitu, patut pun SS perhatikan ramai jurugambar mencangkung di luar dewan. Yang SS hairan pula jika jurugambar akhbar dan majalah tidak dibenarkan mengambil gambar, bagaimana dengan tetamu yang hadir membawa kamera?

Bukan seorang dua tetamu mengambil gambar artis jemputan ketika menyanyi. Keadaan seperti tidak terkawal bila tiba Kris Dayanti dan Hetty Koes Endang mengalunkan lagu.

Satu bab lagi yang buat SS tertanya-tanya bagaimana seorang wanita tidak dikenali boleh ‘terlepas’ menaiki pentas untuk menepung tawar pengantin. Ramai juga yang bingung bila wanita itu menaiki pentas, sedangkan tak dengar pula namanya diumumkan pengacara.

Barangkali juga ketika itu mata pengawal keselamatan asyik melilau memerhatikan lensa jurugambar daripada bercahaya, lalu terlepas pandang pada seorang wanita tak dikenali ini.

Nasib baik juga wanita itu menaiki pentas sekadar memenuhi hasratnya. Katakanlah sekiranya wanita itu melakukan sesuatu ‘yang kalut’ tidak ke haru kita semua dibuatnya.

30
Aug

Kemuncak cinta Siti Nurhaliza – Datuk K

Oleh WANDA IDRIS dan AZIZ ITTAR

hi_02_big1.jpg

Siti Nurhaliza dan Datuk K bersanding di atas pelamin di KLCC.
——————————————————————————–

TIADA yang lebih menggembirakan bagi Siti Nurhaliza dan Datuk Khalid Mohamad Jiwa apabila akhirnya cinta yang disemai termetri ke jenjang pelamin.

Tarikh 21 Ogos menyaksikan penyatuan cinta mereka, dan malam kelmarin, kemuncak cinta itu terungkap pada majlis persandingan yang dilangsungkan penuh gilang-gemilang di Dewan Pameran 1 & 2, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Dianggap Wedding of the Year, keluhuran sebuah cinta tergambar melalui bait-bait lagu Cahaya Cinta, hasil nukilan Siti sendiri yang dipersembahkan khas buat suami tercinta pada malam bersejarah itu.

…Dia telah menentukannya

kita bertemu dan bercinta

inilah oh takdirnya bukan kerana harta

inilah citra cahaya cinta

pintu hatiku telah kau buka

tak mampu ku menafikannya

kejujuran diberi

kasih takkan terhenti

ini bahagia yang ku cari…

“Sesuatu (lagu) yang cukup bermakna yang merupakan suara hati saya,” begitulah kata Siti kepada para tetamunya sebelum buat julung kalinya mendendangkan lagu tersebut yang ditujukan khas buat Datuk Khalid yang lebih popular dengan panggilan Datuk K.

Dan penyanyi yang kini bergelar Datin itu sewaktu ditemui kira-kira tiga jam sebelum majlis resepsinya berlangsung mengakui dirinya begitu bahagia menempuh fasa baru dalam kehidupannya.

Bergelar seorang isteri, kata Siti, membuatkan dirinya kini berasa semakin tenang apalagi buah hati tercinta menyintainya sepenuh jiwa.

“Datuk seorang yang memahami, tidak begitu cerewet dan amat bertolak ansur. Dia menjaga Siti dengan baik sekali,” katanya sambil tersenyum manja.

Namun, tegasnya, masih terlalu banyak perkara yang perlu dipelajarinya untuk menjadi seorang isteri.

“Siti baru dengan alam berumah tangga dan Siti menjalaninya dengan baik sekali. Harap ia (perkahwinan) akan berkekalan hingga ke akhir hayat. Doakan kebahagiaan Siti,” pintanya.

Selain orang kenamaan, tetamu jemputan khas dan para artis tempatan dan Indonesia yang hadir menyaksikan perkahwinan penuh bersejarah itu ialah anak ketiga Datuk Khalid iaitu Muhamad Asyraf, 14.

Disaksikan bukan sahaja tetamu di dewan gah berkonsepkan perkahwinan di dalam taman yang dihiasi ribuan bunga segar putih-hijau seperti mawar, orkid, kekwa dan lili itu, hampir seluruh rakyat Malaysia berkesempatan menyaksikan kegemilangan perkahwinan tersebut yang turut disiarkan secara langsung oleh TV3.

Sebak dan kecewa

Terdahulu, Siti mengalirkan air matanya apabila menyaksikan kehadiran kira-kira 1,000 peminat pada acara Lambaian Cinta yang berlangsung di balkoni Sayap Barat, KLCC pada sebelah petang.

“Siti hanya mahu dekat dengan peminat dan menyaksikan mereka membuatkan Siti sebak,” katanya yang hanya muncul selama tujuh minit pada pukul 5.40 petang tanggal 28 Ogos itu.

Mengikut perancangan awal, Siti sepatutnya melangsungkan acara itu selama 30 minit bagi menggantikan acara berkereta kuda mengelilingi taman KLCC. Ini telah menyebabkan ramai peminat yang terkilan.

Ditanya apakah dia tidak kecewa dengan pembatalan acara berkereta kuda itu, kata Siti, ia adalah sesuatu yang perlu dilakukan atas sebab keselamatan.

“Namun Siti mengalu-alukan para peminat hadir ke majlis di kampung Siti yang akan diadakan di Dataran lipis, Kuala Lipis, Pahang pada Ahad depan (3 September),” tambahnya sebelum beredar untuk menukar persalinan.

Petikan catatan Datuk K dan Siti Nurhaliza dalam CD khas Destinasi Cinta yang dijadikan cenderamata kepada tetamu.

USAHKAN mahu menyentuh hati, mengintai cintanya juga tidak ku berani. Membiarkan masa menjadi saksi, biar mencintainya tidakkan ku berhenti namun sebagai lelaki aku menyedari, di hadapanku bukan sekadar bidadari, tetapi seseorang yang mahu kujadikan isteri. Aku mahu menyintaimu sepenuh hati dan membawa cinta ini hingga ke mati. – Khalid

SEWAKTU hati mahu di cinta, yang kucari adalah bahagia. Bila cahaya tersuluh di wajahnya, aku merasa getarnya di seluruh jiwa. Tak terbayang kelainan rasa, mungkinkah ini destinasinya. Aku tidak pernah mencari namun yang telah kutemui ini adalah kasih sejati. Seorang lelaki dan suami yang kucintai, memberiku dunia yang tidak pernah sepi. – Siti Nurhaliza

29
Aug

Majlis persandingan yang indah dan penuh ‘glamour’

29-08-2006 02:29:13 AM
KUALA LUMPUR: Majlis persandingan Datin Siti Nurhaliza Tarudin dan Datuk Khalid Mohamad Jiwa yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) malam ini merupakan majlis cukup luar biasa.

Ia bagaikan membuka era “glamour” baru dalam industri hiburan, dan tidak janggal sekiranya dikatakan bahawa majlis tersebut akan sukar ditandingi di masa akan datang.

tarudin.jpg
Bapa Siti di atas pelamin, memegang tangan anak kesayangannya, sambil diperhatikan oleh Datuk K. (foto The Star)

Acara bermula dengan sesi bertemu peminat selama setengah jam di lobi KLCC, yang terletak di atas dewan utama di mana majlis persandingan tersebut diadakan.

Siti, yang memakai gaun ala Cinderella dengan gelaran “Dewi Mustika” hasil ciptaan pereka fesyen terkenal Khoon Hooi, kelihatan berseri sambil melambai dan melemparkan senyuman kepada lebih kurang seribu peminat yang berkumpul.

Gaun sutera berwarna krim bertatahkan ribuan mutiara ihsan koleksi Rafflesia itu pada asalnya dijadualkan untuk sesi berkereta kuda.

Walaupun sesi tersebut terpaksa dibatalkan, suasana “fairytale wedding” tetap dirasakan.

Datuk Raja Rezza Shah telah berjaya memberikan majlis sentuhan romantis. Dewan utama bak taman yang indah, disempurnakan dengan alunan muzik merdu serta dihiasi bunga ros putih dan merah muda, dan orkid putih dan hijau muda.

sultanpahang.jpg
Sultan Pahang mencemar duli memulakan upacara menepung tawar pengantin. (foto The Star)

Untuk istiadat persandingan, Siti bagaikan puteri dengan tiara yang indah serta aksesori selengkapnya.

Penyanyi popular berumur 27 tahun itu mengenakan songket sutera klasik ciptaan Radzuan Radziwill, sepasang dengan suami tercinta Datuk K.

Tetamu dihiburkan dengan alunan tradisional gamelan beserta 30 penari dari kumpulan Tepak Sirih yang diterbangkan dari Singapura.

Di antara tetamu diraja yang hadir di majlis tersebut termasuk Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Kalsom, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Permaisuri Nur Zahirah, dan Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman dan Cik Puan Muda Julita Aishah.

Turut hadir Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Khalil Yaakob, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Artis Malaysia dan Indonesia yang dipilih Siti untuk menghiburkan majlis gilang-gemilang ini termasuk Kris Dayanti, Nora, Nash dan Too Phat.

Jemputan turut dihiburkan persembahan “kejutan” oleh Hetty Koes Endang.

crowd.jpg

Sebahagian jemputan di majlis persandingan Siti-Datuk K. (foto The Star)

Siti mengenakan gaun ciptaan Michael Ong untuk acara memotong kek tujuh tingkat diberi nama “Indah Percintaan”, yang dipercayai berharga RM12,000.

Kek seberat 100kg tersebut diselaput emas 22 karat serta dihiasi 1,200 bunga ros.

Di akhir majlis, Siti sendiri naik ke pentas untuk menyampaikan lagu Cahaya Cinta, khas buat yang hadir dan sudah tentunya untuk suami tersayang.