Skip to content

Archive for June 2006

29
Jun

TARIKH ISRAK MIKRAJ DIJANGKA HARI NIKAH SITI DAN DATUK K



TARIKH peristiwa Nabi Muhammad saw berjalan ke Baitulmakdis dan kemudian naik ke langit, atau Israk Mikraj, dijangka menjadi hari paling bersejarah bagi penyanyi Siti Nurhaliza Taruddin – beliau dikatakan akan bernikah dengan Datuk K pada tarikh 27 Rejab itu, iaitu 21 Ogos ini.

Majlis persandingan besar-besaran penyanyi nombor satu Malaysia itu dengan Datuk K pula dikatakan akan berlangsung pada 27 Ogos di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Mengikut sumber terdekat dengan Siti, 27 tahun, rombongan Datuk K, yang nama penuhnya Datuk Khalid Mohamad Jiwa, 47 tahun, dan keluarganya ke rumah Siti di Kampung Sungai Kerpan, Kuala Lipis, Pahang, baru-baru ini sebenarnya adalah untuk tujuan merisik.

Walaupun Datuk K dan ibu Siti menafikan kunjungan itu mempunyai kaitan dengan sebarang usaha merisik atau meminang, sebenarnya itulah yang berlaku.

Rombongan Datuk K, yang dilaporkan berada di rumah Siti dari 11 pagi hingga 4 petang, datang bukan saja bagi adat merisik bahkan membincang dan menetapkan hari pernikahan dan persandingan.

‘Apa yang dilaporkan adalah betul kerana Datuk K dan keluarganya bukan datang kosong. Ia kunjungan yang bermakna. Mungkin hari itu beliau belum bersedia untuk mengumumkan kerana tidak menyangka pihak media juga akan berada di Kuala Lipis ketika itu,’ kata sumber itu.

Kisah percintaan pasangan ini mula menjadi bahan bualan umum mula tahun lalu. Meskipun kedua-duanya tidak pernah menyatakan secara terus terang, ia menjadi rahsia yang terbuka sejak awal tahun ini apabila bibit percintaan mereka mula terbongkar sedikit demi sedikit.

Sejak awal bulan ini pula, timbul khabar mengenai perkahwinan mereka dan tarikh 8 Ogos sebagai hari pernikahan. Ini dikuatkan lagi dengan gambar kereta Mercedes Benz hitam Datuk K bersama beberapa kereta lain di hadapan rumah keluarga Siti, yang disiarkan media baru-baru ini.

Sementara itu, laman web rasmi Siti, sitizone.com, terpaksa ditutup apabila berlaku ‘perang’ antara peminat berhubung rancangan penyanyi itu mahu menikahi Datuk K.

Laman itu dikatakan ditutup tengah hari semalam kerana sehingga 11 pagi masih ada peminat yang sempat menghantar ulasan mereka. Dimiliki Siti Nurhaliza Production (SNP), laman itu menyediakan pelbagai maklumat mengenai Siti, seperti album terbaru, poster dan kegiatan beliau.

Tindakan menutup ruangan sembang itu menimbulkan kemarahan para peminat Siti sehingga ada mendakwa beliau seolah-olah mahu menyembunyikan hal sebenar berhubung rancangan perkahwinannya.

29
Jun

Jerat percintaan Siti Nurhaliza, Datuk Khalid

Oleh Akmal Abdullah

TANPA sutradara dan tiada penulis skrip, namun sebuah kisah cinta Siti Nurhaliza dan Datuk Khalid Mohd Jiwa tiba-tiba bakal menjadi sebuah drama menarik dalam kalendar industri hiburan tahun ini walaupun ia masih dalam ‘penggambaran’ secara senyap.

Drama tanpa skrip seperti ini hampir dua tahun tidak berjudul tetapi masih meneruskan penggambaran. Dua watak utamanya itu masih belum mengeluarkan dialog terbuka yang boleh diketahui peminat dan media hingga mencetuskan naratif suspen. Ia mendesak klimaks sebuah drama percintaan berkonsepkan melodrama yang sewajarnya mencipta happy ending.

Namun, babak long shot ketika props sebuah kereta Mercedes Brabus milik watak si hero kelihatan berada di depan rumah keluarga watak si heroin membayangkan plot yang mula mencipta dramatik. Ia membawa tanda imej kepada naratif itu sendiri dalam penantian petanda besar akan berlaku pada babak seterusnya. Pada posisi ini, ia memerlukan adegan spontan reaksi heroin untuk memastikan tanda imej tadi menjadi penggerak kepada aksi dan situasi serta menjadikan ceritanya tidak keliru.

Namun, ia mula menjadi konflik apabila si heroin pula tidak tahu apa-apa dan langsung tidak bertanyakan ibu bapanya apa tujuan si hero bertandang ke rumah mereka. Dialog daripada watak Siti tidak berada dalam rujukan sama kerana dia tidak berada dalam ruang sama dengan watak hero, maka elemen dramatik semakin menjadi. Namun, barangkali itu dialog ‘perhubungan awam’ untuk mengelak cerita sebenar diketahui ramai sebelum drama ini ‘ditayangkan’.

Dalam konsep sebuah drama, jika watak seorang rakan perniagaan lelaki berkunjung ke rumah keluarga seorang wanita sesudah berlaku hebahan meluas orang di sekeliling dua watak berkenaan mengenai hubungan niaga beralih menjadi agenda cinta, ia adalah naratif dijangkakan yang harus diselesaikan secara konsisten. Cuma, cara dan pendekatan babak itu dibawa yang kini menjadi ‘the suspense of the meaningful images’.

Tidak ada sinopsis disediakan. Tidak ada klu bagi membayangkan sub-genre cinta yang diangkat menjadi drama realiti ini. Tidak ada pratonton dijanjikan untuk peminat atau wakil media, melainkan cuma ia terpaksa menunggu tarikh sebenar untuk ditayangkan saja. Kesudahan ceritanya sukar digambarkan sama ada ia menjadi sebuah melodrama happy ending, tragis atau komedi.

Realitinya begitulah. Tiba-tiba hubungan seorang penyanyi wanita paling popular dengan usahawan itu menjadi bahan bualan masyarakat dan menjadi ‘perang’ di kalangan peminat Siti menerusi laman web. Cinta Siti yang selama ini dalam pencarian akhirnya terjerat – bak lirik lagu popular zaman awalnya menjadi penyanyi, Jerat Percintaan.

Penafian, dolak-dalik, teka-teki dan acuh tak acuh tidak lagi boleh dijadikan dialog selamba Siti untuk mengelak daripada hubungan cintanya dengan Khalid diketahui media dan peminat. Beberapa siri pendedahan menerusi media mengenai hubungan dua watak itu menjadi semakin nyata dan bukan lagi desas-desus. Ia bukan lagi soal benarkah mereka sedang dilamun cinta tetapi soalnya lebih besar dan bermakna ialah bilakah mereka akan bernikah? Tarikh keramat yang bakal mencetus berita besar itu kini menjadi pertaruhan.

Daripada awal, sejak desas-desus hubungan Siti dan Khalid menjadi bahan media, ia melingkari spekulasi ramai dan ketika itu Siti pernah mengaku dia tidak kenal siapa Datuk K, kemudian Siti terpaksa mengakui Datuk K hanyalah rakan perniagaan, begitu juga Khalid yang mengaku Siti adalah kenalan dan disifatkannya seorang artis dan insan ‘istimewa’. Akhirnya, gosip yang semakin menjadi panas itu bagaikan memerangkap Siti dan dia tidak boleh mengelak lagi untuk hanya memberi alasan Khalid rakan niaga. Tanda penting babak kereta Mercedes di depan rumah dan Khalid jumpa ibu bapa Siti adalah bayangan meyakinkan Wedding of The Year bakal menjelma dalam masa terdekat.

Benda baik tidak boleh disorok, kalau sudah ada perancangan Khalid menikahi Siti, elok dihebahkan awal-awal, kalau tidak betul, nafikan saja. Bimbang kalau ada pihak lain pula, siapa tahu kerabat raja atau putera istana pula hendak masuk meminang Siti, nanti dikatakan menjadi perampas tunangan orang. Sebab itu, mengikut Islam, soal merisik, tunang dan nikah harus diisytiharkan supaya diketahui masyarakat, apatah lagi Siti artis wanita paling popular di Malaysia ketika ini.

Kata orang, kalau sauh sudah berlabuh, sudah terang lagi bersuluh, tak perlu lagi nak kecoh-kecoh, segala-galanya dah pun heboh! – akmel@bharian.com.my

28
Jun

Mesej dari Sitizone.com

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pengunjung yang singgah di sini.

“TUMPANG BERLINDUNG WAKTU SUSAH DAN SENANG, DATANG BERLINDUNG WAKTU SUSAH DAN SENANG”. Kata-kata ini cukup sinonim dengan Rumah yang Siti bina ini. Bak payung yang melindungi, bak pohon rendang yang meneduhi. Begitu harmoni bunyinya. Kita bina makna saudara, biar jauh atau dekat. Kita bersatu tanpa memandang rupa dan pangkat. Kita bersama walau terpisah jarak dan tempat. Kita lalui satu zaman yang sungguh hebat, penuh tawa, ceria dan saling memberi hormat.

Namun apa yang terjadi kini sebaliknya. Kata-kata di atas mungkin sudah tidak revelan lagi kerana maknanya sudah terlalu jauh dari hati kita. Siti memohon maaf kerana terpaksa menutup ruangan catatan atau mesej di Rumah ini untuk mengawal keadaan yang sudah menjurus kepada rasa tidak hormat, umpat, kata-kata kesat dan juga debat. Harmoni yang kita cipta dahulu sudah tidak ada lagi dan Siti akan jelaskan mengapa ia harus ditutup sementara.

Siti sudah lama memohon agar semua pihak bersabar dan memahami. Sudah berkali-kali Siti mohon namun usaha itu ibarat mencurah air ke daun keladi. Selama ini Siti telah banyak cuba memahami kalian, memberikan yang terbaik, namun jika semua ini tidak lagi diberi erti, sukar untuk Siti mohon anda memahami. Walaupun Siti akur ianya sukar, namun Siti hanya mampu memohon. Tidak ada kejadian tanpa sebab, juga bukan sengaja mahu mendiamkan diri dan membuatkan anda tertanya-tanya tentang `hal’ yang sedang berlaku sekarang, jauh sekali untuk mempermainkan perasaan anda, malah ada juga yang menganggap Siti cuba menipu.

Siti hanya mohon agar anda bersabar kerana ianya akan diumumkan daripada mulut Siti sendiri, namun berilah ruang kepada Siti. Bagaimana Siti mahu menolak publisiti yang Siti sendiri memang tidak mahu hal ini terus digembar gemburkan. Ia bagaikan tekak yang dijolok-jolok dengan banyak jari dan akhirnya akan termuntah juga. Itulah umpamanya hal yang Siti tanggung sekarang. Siti tidak pinta semua ini malah jika tidak diperbesarkan lebih melegakan hati, tapi apa daya Siti.

Jika paparan di media yang membuatkan suasana terus-terusan bertambah panas, walaupun Siti sendiri tidak mahu, namun Siti sudah memohon berkali-kali. Adakala Siti sendiri akur, bagaimana rasa hati kalian membaca semua ini kerana kalian juga tidak memahami. Justeru pelbagai anggapan akan berlaku dan mangsanya adalah Siti. Mungkin pada kali ini kita harus menjaga kita sendiri, anda menjaga hati anda juga, begitu juga Siti,kerana bagaikan tiada ruang lagi untuk anda memahami.

Tidak mudah untuk menutup Rumah ini, ia ibarat pintu terbuka kepada sesiapa sahaja. Siti membukanya dengan memberikan anda selesa, catatlah apa sahaja, berkongsilah segala rasa, dan selama ini juga Rumah ini begitu terjaga.

Jika sudah ada yang tidak selesa, berbalah di dalam rumah ini dan ada pihak yang cuba menangguk di air keruh, Siti fikir biarlah Rumah ini ditutup sementara. Biar keadaan reda dan Siti sekali lagi memohon agar anda semua bersabar, dan cuba memahami.

Siti juga ingin memohon maaf kepada pengunjung setia Rumah ini kerana terpaksa melakukan ini walaupun pelbagai spekulasi akan datang dan pergi, namun jauh di sudut hati Siti, Siti berharap agar penutupan sementara ini akan membuatkan keadaan boleh diperbaiki.

Sekali lagi Siti mohon maaf jika ada kata-kata Siti yang kurang menyenangkan dan juga kesalahan-kesalahan Siti, namun sebagai seorang manusia biasa, Siti juga mempunyai hati dan perasaan, malah tidak ada yang luar biasa berbanding anda semua. Kekuatan Siti selama ini kerana mempunyai anda semua, dan besar harapan Siti kekuatan itu masih terus mahu memberi dan mahu memahami.

Salam Hormat Selalu…
Datang Berlindung, Waktu Susah Dan Senang,
Tumpang Berlindung, Waktu Susah Dan Senang.

Siti Nurhaliza
28 hb Jun 2006 : 6.30pm

28
Jun

Kami Tak Bodoh!

Disember 2005

- Siti Nurhaliza berkata dia sudah bersedia menerima mana-mana lelaki yang benar-benar menyintainya dan memenuhi kriteria seorang suami misali yang diinginkan.

Febuari 2006

- Siti Nurhaliza dan Datuk Khalid Muhd Jiwa memakai pakaian warna sedondon semasa Malam Amal Kasih di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

- Pada malam Anugerah Bintang Popular, Siti Nurhaliza menujukan kemenangnnya kepada “Orang Yang Tersayang”.

March 2006

- Siti Nurhaliza mengakui hatinya sudah dimiliki ketika majlis Breakfast With Stars di Hotel Ritz Carlton.

April 2006

- Semasa Minggu Setiausaha di Pusat Konvensyen Sime Darby, Siti Nurhaliza berkata “Ramai bertanya lagu Biarlah Rahsia adakah kisah cinta saya. Saya kata tidak mengapalah tidak lama lagi pecahlah rahsia”.

Jun 2006

- Datuk Khalid Mohamad Jiwa, kakaknya dan ibunya bertandang ke rumah Siti Nurhaliza di Taman Permata, Sungai Kerpan, Kuala Lipis.

 Apa dah jadi di Sitizone.Com? Peminat Siti Nurhaliza berperang pasal Dato’ K? Berperang dengan sapa? Sesama sendiri atau dengan Siti? Hmmm.. No comment sebab guestbook sitizone dah ditutup.

28
Jun

Peminat perang di laman Siti

Oleh Zainuri Misfar

KUALA LUMPUR: Forum dalam laman web rasmi Siti Nurhaliza, sitizone.com ditutup selepas berlaku ‘perang’ di antara peminat berhubung rancangan penyanyi itu berumahtangga dengan Datuk Khalid Mohd Jiwa yang lebih dikenali sebagai Datuk K.

Ruangan itu dikatakan ditutup tengah hari semalam, kerana Berita Harian mengesan masih ada peminat yang sempat menghantar ulasan mereka di laman web itu sehingga jam 11 pagi.

Laman web sitizone.com dimiliki Siti Nurhaliza Production (SNP) dan menyediakan pelbagai maklumat mengenai Siti Nurhaliza seperti album terbarunya, poster dan kegiatan beliau.

Tindakan Siti Nurhaliza menutup ruangan sembang itu menimbulkan kemarahan peminatnya sendiri sehingga ada yang mendakwa dia seolah-olah mahu menyembunyikan hal sebenar berhubung ura-ura perkahwinannya.

Seorang pembaca yang dikenali sebagai One Haz dalam emel kepada Berita Harian semalam berkata, tindakan Siti menutup ruangan ‘mesej untuk CT’ menggambarkan sikap penyanyi itu yang seolah-olah cuba lari daripada bayangannya sendiri.

“Kenapa tidak tampil membetulkan huru-hara di web rasmi itu. Kenapa mesti tutup ruangan yang menjadi satu-satunya tempat peminat Siti untuk bersuara. Saya cukup kecewa dengan Siti.

“Saya sayang Siti Nurhaliza tetapi kalau inilah yang dilakukannya, saya cukup kecewa,” kata One Haz.

Dalam pada itu, laman web lain Siti Nurhaliza seperti ctnurhalizaonline.net pula tidak membuka forum berhubung peminat bahkan pengendali laman web itu seperti menghalang mana-mana pihak yang mahu bersuara mengenai hubungan penyanyi itu dengan Khalid.

Beberapa laman web tidak rasmi penyanyi itu juga tidak membincangkan perkara itu.

Bagaimanapun, satu lagi laman web mengenai Siti Nurhaliza, sitinurhaliza-svoa.com pula membuka topik yang memperkatakan kisah peribadi penyanyi itu.

Tidak seperti ctzone.com, perbincangan dalam laman ini tidak keras sehingga berlaku ‘perang’ peminat penyanyi itu.

Namun, ada peminat seperti terpinga-pinga dengan penjelasan sebenar daripada Siti Nurhaliza mengenai hubungannya dengan Khalid. Biarpun masih bernada lembut, kebanyakan peminat Siti Nurhaliza tetap kecewa.

Seorang peminat yang dikenali sebagai Lini23 berkata, apa salahnya Siti Nurhaliza berterus terang saja bahawa Khalid itu adalah kekasihnya dan mereka memang merancang untuk berkahwin daripada terus mendiamkan diri.

“Semua orang nak Siti bahagia. Cuma satu saja pinta kita semua, jangan dolak-dalih pasal hal ini. Kalau tak nak, beritahu awal, tak payah cakap hati dah dimiliki.

“Sejak dia canang hatinya sudah dimiliki, dia juga sudah tentu faham mesti ramai nak tahu siapa (lelaki itu). Cara Siti buat sekarang memperbodohkan media dan peminat,” katanya.

28
Jun

Siti, tamatkanlah teka-teki

NAK tergelak ada, simpati pun ada. Begitulah perasaan SS apabila dimaklumkan mengenai penerimaan peminat terhadap berita percintaan Siti Nurhaliza (gambar) dengan Datuk K.

Nampaknya masih ada peminat tidak mahu menerima kenyataan itu, apatah lagi berita mengatakan mereka bakal berkahwin sekitar Ogos ini. Ada yang cuba menyedapkan hati sendiri.

Antaranya, mengatakan sebab kehadiran Datuk K ke rumah keluarga Siti di Kuala Lipis, Pahang, Jumaat lalu kononnya kerana mahu meminang Siti untuk orang lain dan bukan untuk dirinya.

Orang yang bakal dipinang untuk Siti itu pula dikatakan anak teruna Datuk K walaupun hakikatnya anak sulung tokoh korporat ini masih lagi belasan tahun.

Tidak kurang juga mengatakan pinangan itu adalah untuk Dr Fazley. Kononnya Datuk K bapa saudara penyanyi itu. Alasan mereka ialah Datuk K dan bapa Fazley, Datuk Yaacob berasal dari Kedah dan wajah mereka yang bermisai juga dikatakan mempunyai sedikit persamaan.

Setahu SS, antara Fazley dan Datuk K tidak ada pertalian persaudaraan, apatah lagi bau-bau bacang.

SS rasa, untuk mengelakkan lebih banyak lagi perasaan peminat yang terluka dan terhiris dengan sikap Siti yang sering mengelak atau berdalih ketika ditanya mengenai persoalan cintanya, mungkin ada baiknya Siti sendiri menamatkan semua spekulasi ini dengan mengambil sikap berterus-terang.

Kasihanilah peminat yang sekian lama meminati Siti. Kepada peminat Siti pula, tidak perlulah membabitkan Fazley dalam persoalan ini.Setahu SS, Fazley sudah ada buah hati yang sedang mengikuti pengajian perundangan di London.

Buah hati Fazley yang juga anak VVIP itu, bukan saja bijak tetapi cantik, manis dan amat tinggi budi bahasanya. Pendek kata, memang sepadan dengan Fazley.

http://www.emedia.com.my/

27
Jun

‘Perang’ di laman web Siti

Oleh Zainuri Misfar

Ada peminat minta penyanyi kesayangan mereka beri pertimbangan jika mahu dirikan rumah tangga dengan pilihan hati

HUBUNGAN cinta antara Siti Nurhaliza dengan ahli perniagaan, Datuk Khalid Mohd Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K bukan rahsia lagi. Selagi kedua-duanya tidak membuat sebarang kenyataan terbuka dan rasmi, penyanyi itu akan terus dikejar media, manakala peminat Siti Nurhaliza pula ternanti-nanti, resah dan berdebar apa kesudahannya hubungan mereka nanti kerana ia bukan lagi satu gosip atau desas-desus.

Laman web rasmi Siti Nurhaliza, sitizone.com dihujani pelbagai pertanyaan daripada peminatnya. Ada peminat yang tidak peduli mengenai hubungannya dengan Khalid apabila mereka mengharapkan ia boleh memberi kebahagiaan dan kegembiraan kepada penyanyi itu.

Bagaimanapun, ramai juga tidak menyenangi hubungan itu. Malah, sikap dan penjelasan Siti Nurhaliza kepada media apabila mengulas hubungannya dengan Khalid juga tidak disenangi peminat.

Seorang peminat Siti Nurhaliza dari Singapura yang dikenali sebagai Zu berkata, dia bimbang imej bersih Siti tercalar gara-gara hubungannya dengan Khalid. Pada masa sama, dia juga dengan kedudukan dan penjelasan penyanyi itu dengan Khalid.

“Saya akui saya peminat Siti. Apa saja mereka memperkatakan berkenaan Siti, saya akan mempertahankan. Tapi itu hanya dulu, sebelum keluar akhbar menyiarkan Datuk K berkunjung ke rumah CT. (Saya) kurang faham dengan sikap Siti. Dulu Siti katakan Datuk K hanyalah business partner. Tapi sekarang tak akan sampai berkunjung ke rumah! Pelik juga. Tak perlu penjelasan.

“Kita bukan kanak-kanak yang masih berhingus. Kita dah dewasa memikirkan masa depan kita. Sanggupkah kita membina kebahagiaan di atas kesengsaraan orang lain. Sekarang kami melihat apa sebenarnya pada Siti,” jelas Zu lagi.

Seorang lagi peminat Siti yang dikenali sebagai Lukman dari Kuala Lumpur pula menasihati Siti Nurhaliza supaya membuat pertimbangan sewajarnya kerana ia membabitkan masa depan penyanyi itu sendiri.

“Kajilah sedalam-dalamnya sebelum membuat keputusan, dan yang terakhir sekali mintalah petunjuk dan pedoman daripada Yang Maha Esa. Saya tak mahu apa yang terjadi kepada bekas isteri beliau terjadi kepada Siti.

“Mungkin peminat menyokong Siti pada ketika ini, tetapi apabila berlaku sesuatu nanti, masihkah mereka akan menyokong Siti? Setiap makhluk Allah perlukan pasangan, tetapi tepatkah tindakan Siti ini? Fikirlah sewarasnya Siti,” kata Lukman lagi.

Sikap Siti yang terus mendiamkan diri juga menyebabkan peminat tertanya-tanya sejauh mana hubungannya dengan ahli perniagaan itu. Sebagai peminat setia yang memberi sokongan tidak berbelah bagi, mereka juga berasakan berhak untuk mendapatkan penjelasan sebenar daripada Siti.

27
Jun

Gosip percintaan Siti, Datuk K macam Gunung Merapi…

Oleh Roslen

SESEKALI dikenang, gosip percintaan Siti Nurhaliza dan Datuk K boleh diibaratkan se perti Gunung Merapi di Pulau Jawa. Kenapa saya mengandaikan begitu? Ketika ini gunung itu sudah me muntahkan laharnya, melepaskan debu serta kepulan asap ke udara malah menunjukkan segala tanda akhir yang ia akan meletup, namun soalnya … bila?

Menghitung hari adalah satu keadaan yang penuh resah gelisah. Wartawan hiburan hanya menunggu lampu hijau untuk Siti melafazkan satu ayat yang paling ditunggutunggu atau dalam bahasa Inggerisnya, the most anticipated confession of the year.

Ayat itu mungkin berbunyi: “Ya, dialah kekasih Siti” atau “Ya, dialah calon suami Siti.” Menerusi cover story minggu ini, dapat dihidu hari bahagia Siti sudah hampir tiba. Saya difahamkan, pihak lelaki sudah pergi merisik dengan mak dan abah Siti untuk menetapkan tarikh. Bukan itu saja, baju pengantin Siti pun khabarnya sudah ditempah di butik haute couture milik pereka fesyen terkenal tempatan.

Disebabkan banyak lagi perkara mengikut adat ketimuran Melayu belum lagi disempurnakan, sebab itulah kedua-dua pihak empunya badan enggan memberikan pengesahan.

Betullah itu, macam mana moden dan glamor hidup ini tetapi sebagai Orang Melayu, kita tentu faham soal nikah kahwin ini bukan perkara remeh.

Lagipun takkanlah Siti yang hendak membuat pengumuman. Tentulah pihak lelaki yang seeloknya bersuara apabila hendak memperisterikan sesiapa pun.

Saya sendiri sudah penat (tetapi belum surrender) apabila rakan sepejabat, adik beradik dan kawan-kawan sekampung asyik bertanya bila Siti jarijemari hendak berinai atau bersarung cincin.

Maklumlah yang hendak berkahwin ini bukannya Siti Sifar atau Siti Sanggul tetapi Siti Nurhaliza, jadi orang di sekeliling semua hendak tahu.

Sampaikan tiga rakan keturunan Cina yang saya temui ketika kami melepak di Bangsar, pertengahan minggu ini pun sempat mencelah, “Is it true they (Siti and Datuk K) will get married this August?”

Apa yang hendak saya dijawab, namun yang pasti, moral di sebalik cerita itu ialah peminat bukan Melayu pun berselera hendak ambil tahu mengenai gosip Siti Nurhaliza.

Bagi saya, situasi yang dilalui Siti sekarang pernah ditempuhi selebriti lain seperti Fauziah Latiff, Ziana Zain, Erra Fazira dan Datin Seri Normala Samsudin sewaktu mereka melayari gerbang percintaan.

Masing-masing, tidak dapat tidak, kena bersedia dengan pelbagai jawapan apabila digasak dan diburu dengan soalan berbaur perkahwinan.

Sampai masa, akhirnya semuanya diketahui juga. Seperkara yang jelas pula, pokok dan angin di Malaysia selalunya benar.

Baiklah, selain perkembangan terbaru mengenai Siti, Bintang Popular minggu ini juga berjaya mendapatkan luahan hati seorang anak seni yang suatu masa begitu terkenal di bidang lakonan.

Suatu ketika dia menghilangkan diri tetapi apabila kembali, saya melihat perubahan yang mengejutkan pada wajahnya itu.

Namun seperkara yang tidak pernah berubah adalah kualiti lakonan yang ada dalam dirinya. Itulah pelakon yang bernama Sidek Hussin.

Bukan saja hebat di pentas teater, beliau juga cukup bersahaja kalau beraksi di depan kamera TV dan filem. Tentu peminat filem era 80-an masih ingat lakonan Sidek dalam Toyol dan drama TV seperti Menara Condong.

Anda boleh ikuti luahan hati Sidek mengenai ketumbuhan yang membesar di pipinya itu tetapi bagi Sidek, ia bukanlah satu penghalang untuk terus mencari rezeki dan membesarkan anak-anak. Bukan itu saja, Sidek juga memberi komennya mengenai segelintir sikap pelakon hari ini yang lebih mencari glamour berbanding menonjolkan lakonan yang benar-benar mantap dan berilmu.

Malah katanya, zaman dulu-dulu, duit adalah perkara kedua apabila berlakon tetapi sekarang, kalau tidak ada duit ribu-ribu, jangan harap hendak melamar, bak kata orang, “no money, talk to my hand!” walaupun lakonan sebenarnya macam batang kayu! Kita gebang lagi minggu depan.

25
Jun

Siti tempah bunga telor

Selagi tidak ada pengesahan daripada tuan empunya badan, selagi itulah orang dok merisik dan mencari. Joyah sendiri tak sabar menanti apakah memang benar Siti Nurhaliza akan mengakhiri zaman solonya menjelang Ogos depan?

Khabar terbaru sampai tarikh 8 Ogos bukan lagi menjadi pilihan Siti dan kekasih hatinya sebaliknya sudah ada tarikh baru.

Tetapi Ogos masih menjadi pilihan sebagai bulan perkahwinan Siti dan pasangannya.

Dalam pada itu khabarnya Siti masih lagi dalam usaha memujuk ahli keluarganya mengenai calon suami pilihannya. Meskipun ada halangan daripada seorang dua ahli keluarga, khabarnya Siti bersedia menghadapi cabaran dan rintangan dan tetap setia pada cintanya yang satu. Hebat!

Begitulah kalau cinta datang bertandang. Dan ada yang maklumkan kepada Joyah pasangan ini sudah pun menempah bunga telur untuk dihadiahkan kepada tetamu yang hadir di hari pernikahannya tak lama lagi.

Bunga telur itu ditempah dalam negara saja, di sebuah pusat alatan perkahwinan cukup popular di Kuala Lumpur.

Joyah ingatkan orang berduit macam Siti akan cari semua barang persiapan perkahwinan di luar negara, tetapi Siti lebih suka memilih produk tempatan saja. Baguslah macam tu. Buat apa membazir kan?

Tapi itu yang Joyah dengar dari sumber-sumberlah. Tak tahulah kalau kut-kut ada yang tersasar, orang boleh buat cerita apa saja.

Tapi dalam hal ini tak boleh salahkan sesiapa. Maklum sajalah bila yang empunya diri sendiri belum memberi sebarang jawapan, maka timbullah lagi banyak teka-teki yang tak berkesudahan.

Apa pun Joyah sentiasa memburu cerita terbaru tentang Siti dan bakal suaminya. Siapakah lelaki itu? Kita tunggu, tak lama lagi akan terbongkar segala misteri.

24
Jun

Whipping the media into a frenzy

24 Jun 2006
Suraya Al- Attas

——————————————————————————–
IT can’t be much fun being Siti Nurhaliza these days. Actually, come to think of it, it’s not much fun being an entertainment journalist either at the moment.

Until she ties the knot — or at least officially announces her wedding date — neither Siti nor the entertainment Press corps will have any peace of mind.

Since word got out that the multiple award-winning singer has been seeing a certain “Datuk K” (businessman Datuk Khalid Muhammad Jiwa) and rumoured to be tying the knot this year, her every move and every word have been closely scrutinised.

And now that the fairy-tale marriage of singers/actors Erra Fazira-Yusry KRU has sadly ended in divorce, Siti’s love life has inevitably become the focus of the entertainment media’s attention.

I’m sorry to say we’re hungry. Very hungry. For news that is.

While we’d like nothing better than to leave Siti alone, we just can’t. We’re in this frenzy simply because Siti’s wedding is BIG news.

Because, aside from the fact that she’s the most popular artiste in the country, Siti has always had a squeaky clean image throughout her 10 years in showbiz.

That the 27-year-old should “choose” a man 19 years her senior makes her just a tad “naughty”. And that makes for juicy news.

To date, neither Siti nor “Datuk K” has confirmed or denied the rumour about their romance. But both have hinted at some truth to the speculation. The good Datuk has even indicated that he’d make an announcement next month.

These days, whenever Siti makes an appearance — be it at a charity dinner or the launch of a new product she’s endorsing — the entertainment media would turn up in full force hoping against hope she’d put us out of our “misery” and announce her wedding date.

No such luck, though. Every time she’s posed with yet another question about her “impending” marriage, all Siti would do is smile and assure the journalists that she’ll make the announcement when the time is right.

Well, seeing as the supposed big day is Aug 8, we reckon now’s as good a time as any to share with us the good news, eh?