Skip to content

Archive for July 2002

30
Jul

EON taja Siti ke Kazakhstan.



EDARAN Otomobil Nasional Bhd (EON) menaja wang tunai RM20,000 bagi membiayai rombongan penyanyi, Siti Nurhaliza Tarudin ke pertandingan International Song & Music Festival di Almaty, Kazakhstan dari 2 hingga 5 Ogos ini.

Selepas lebih 10 tahun penganjurannya, ini adalah kali kedua wakil Malaysia memperoleh tajaan dari syarikat korporat. Sebelum ini penyanyi Maizurah Hamzah mendapat tajaan berupa tiket penerbangan dari ntv7.

International Song & Music Festival anjuran bersama Voice of Asia dan Fidov, sebuah organisasi pengurusan acara yang beribu pejabat di Los Angeles Amerika Syarikat.

Seramai 13 anggota rombongan termasuk pihak media akan menyertai Siti di Kazakhstan dan London untuk menjayakan pertandingan itu, selain pertunjukan amal.

Siti menerima replika cek dan jaket kulit EON daripada Pengarah Eksekutif, Kumpulan Motor EON, Donald Choo pada majlis ringkas di ibu pejabat EON di Glenmarie, Shah Alam, hari ini.

Hadir sama Pengurus Kanan Perkhidmatan Pemasaran EON, Datuk Abdul Razak Dawood; Presiden Persatuan Penulis Hiburan Malaysia (Wham), Fauziah Rauf dan Pengarah Urusan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn Bhd (SNP), Saiful Bahri Tarudin.

Donald berkata, penyertaan Siti mewakili Malaysia pada pertandingan itu adalah pilihan yang tepat.

“Walaupun pada pertandingan itu Siti berdepan dengan penyanyi berbakat dari seluruh dunia, kita yakin Siti mampu memberi saingan hebat kepada peserta yang mungkin lebih berpengalaman daripadanya.

“Sebagai sokongan EON terhadap usaha mengharumkan nama negara, selain mengambil kira kejayaan Siti dalam seni suara selama lebih lima tahun, kami bersetuju membiayainya bersama rombongan ke Kazakhstan.

“Tajaan itu termasuk pembiayaan rombongan Siti ke London bagi mengadakan pertunjukan amal untuk penuntut dan masyarakat Malaysia di sana,” katanya.

Setakat ini International Song & Music Festival menerima penyertaan dari lebih 26 negara dari seluruh pelusuk dunia. Antaranya ialah Amerika Syarikat, Perancis, United Kingdom, Indonesia, Filipina, Russia, China dan Romania.

Sementara itu Siti berkata, beliau menerima dengan hati terbuka sama ada menang atau kalah dalam pertandingan itu.

”Saya berharap rakyat Malaysia mendoakan kejayaan saya di sana. Selain itu, saya berharap dapat bertemu pelajar dan rakyat Malaysia di London ketika membuat persembahan amal di kota itu,” katanya yang berlepas ke Kazakhstan jam 7 malam esok.

Pada pertandingan itu Siti akan mendendangkan tiga lagu iaitu Nirmala, Purnama Merindu dan Jalinan Cinta. Hadiah utama berupa piala emas berserta wang tunai AS$10,000 (RM38,000) dan tempat pertama akan menerima piala emas (saiz kecil) selain wang tunai AS$5,000 (RM19,000).

http://www.emedia.com.my/

29
Jul

Penyanyi terkenal serikan pengantin diraja.

Oleh Izza Safinaz Ibrahim

Majlis yang berlangsung di Dewan Mulia, Istana Abu Bakar, Pekan itu dihadiri 2,000 jemputan termasuk Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

Persembahan dimulakan lagu Dendang Pengantin oleh Nor Fazrah dan Oshin diiringi tarian Kumpulan Sri Indera Putri Pahang, seterusnya diserikan persembahan Yusni Hamid sebaik saja acara santapan bermula. Penyanyi veteran itu menyampaikan lagu Hati Ke Hati dan lagu Inggeris, Fallen.

Majlis bertambah ceria dengan kehadiran penyanyi Indonesia, Bob Tutopoli yang mengalunkan lagu popularnya, Widuri diikuti lagu Erti Kehidupan. Kekuatan vokalnya masih hebat dan mendapat tepukan gemuruh hadirin.

Khas buat perkahwinan diraja, Kumpulan Sri Indera Putri Pahang sekali lagi mempersembah tarian iringan, Seri Nilam Permata nyanyian Nor Fazrah. Penyanyi undangan dari Filipina, Lani Misalucha, tampil bersemangat mendendangkan lagu pilihannya. Suaranya yang lunak bertenaga membuat jemputan terpegun ketika mendengar lagu You Don’t Have To Say You Love Me, She, Say A Little Prayer, Il Mio Cuore Va (My Heart Will Go On) dan I Have Nothing.

Lani kemudiannya menjemput Siti Nurhaliza ke pentas untuk bersama mendendangkan lagu When You Believe yang dipopularkan Whitney Houston dan Mariah Carey. Siti yang anggun menggayakan kurung moden kuning air meneruskan persembahan dengan lagu Sulam Sembilan, My All dan lagu popularnya, Percayalah.

Persembahan malam itu terus hangat apabila Siti berganding dengan Bob Tutopoli untuk lagu Kau Selalu Di Hatiku.

Malam gemilang yang diacarakan Mahadzir Lokman dan Norjuma itu kemudiannya diakhiri upacara memotong kek perkahwinan pengantin diraja. Selain kerabat diraja dan orang kenamaan, beberapa artis dan personaliti terkenal turut hadir termasuk M Nasir, Marlia Musa, Hattan, Fauziah Latiff, Ning Baizura, Zalina Azman, Camelia, Rahimah Rahim, Yasmin Hani, Anis Suraya, Azzarima, Elly Mazlein, Dang Suria, Abu Bakar Atan, Katon Bagaskara, Azura Aziz, Habsah Hassan dan Aziz Sattar.

http://www.emedia.com.my/

10
Jul

Apa kata Siti Nurhaliza mengenai laman http://siti.nurhaliza.com?

Sumber dari akbar Malaysia

Menurut Siti, kewujudan laman web rasmi http://siti.nurhaliza.com yang dikendalikan oleh Shifa Elite Network itu akan menjadi saluran maklumat dan tempat rujukan para peminat mengenai diri dan kegiatan seninya.

Kata Siti, laman web itu akan dikemaskinikan dari semasa ke semasa untuk memastikan peminat mendapat maklumat yang terbaru mengenai dirinya.

Ujar penyanyi itu lagi, dengan adanya laman web secara rasmi ini, peminat-peminat tidak mudah tertipu dengan berita-berita tidak benar tentang dirinya.

Menurut Siti lagi, laman web rasminya itu merupakan sumbangannya secara tidak langsung kepada negara yang mahu mewujudkan saluran maklumat tempatan di internet.

Selain itu ia juga menjadi pemangkin bagi golongan muda mudi menceburi Internet secara positif.

8
Jul

Artis tarik peminat cintai budaya membaca.

Oleh Zul Husni Abdul Hamid dan Suzan Ahmad

PEMILIHAN selebriti hiburan tanah air dalam menjayakan Kempen Membaca Kebangsaan 2002 yang berlangsung mulai semalam membuktikan artis juga berperanan dalam pembentukan budaya positif kepada peminat mereka.

Malah, inisiatif Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) yang menggunakan pendekatan young achievers seperti penyanyi, pelakon, personaliti televisyen serta atlit dalam menjayakan kempen itu sekali gus diharap mampu menggunakan pengaruh mereka untuk menggalak rakyat Malaysia mengamalkan budaya membaca dan mencintai ilmu pengetahuan.

Antara selebriti yang dipilih termasuk Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Syafinaz, Fazley, Maya Karin, Jeslina Hashim, Amy Mastura, Sarimah Ibrahim, Afdlin Shauki, Wardina Saffiyah, Norjuma Habib dan pemain skuasy muda, Nicole David.

Kata Maya Karin, sebagai artis, selebriti juga perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan kerana ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan ketika mengadakan persembahan.

“Membaca adalah jambatan untuk meningkatkan pengetahuan. Saya menjadikannya sebagai amalan terutama ketika menunggu giliran sebelum mengadakan persembahan. Pembabitan dalam kempen ini secara tidak langsung membolehkan saya berkongsi minat dengan peminat semua.

“Walaupun terbabit dalam seni, namun itu tidak bermakna artis tidak perlu tahu apa yang berlaku di sekeliling. Untuk menjadi artis yang berwibawa, banyakkan membaca kerana kita akan berhadapan dengan peminat dari pelbagai bangsa dan tahap pendidikan.

“Jadikan ia sebagai amalan kerana kita tidak akan rugi jika banyak membaca,” katanya yang baru pulang dari Indonesia untuk promosi album sulungnya, Erti Cinta, di sana.

Bagi penyanyi Asmara Ini, Fazley, pemilihan artis diharap dapat membantu memupuk budaya membaca yang semakin kurang. Katanya, pembabitan artis dalam kempen ini bukan perkara baru kerana ia pernah dijalankan di Amerika Syarikat dan mencatat reaksi membanggakan.

“Sekalipun membaca, saya dapati masyarakat lebih menggemari bahan bacaan ringan. Namun, ia satu perkembangan yang sihat. Saya berharap dengan adanya kempen seperti ini, peminat akan memperluaskan lagi skop bacaan dengan memilih bahan berteraskan ilmiah.

“Pemilihan kami sebagai cermin kerana walaupun sibuk dengan pelbagai tugasan, kami tidak pernah lupa melengkapkan diri dengan ilmu. Malah, menerusi gaya persembahan dan cara komunikasi, peminat dapat menilai sejauh mana persediaan atau tahap pemikiran seseorang selebriti itu.

“Disebabkan itu, pemilihan kami diharap dapat melenyapkan tanggapan bahawa artis tempatan tidak minat membaca,” katanya.

Bertepatan dengan tema, baca@gayahidup serta sasaran kempen, PNM mengambil inisiatif menerbitkan klip video istimewa, Membaca Gaya Wawasan hasil sentuhan Kusham dan lirik oleh SMDee.

Lebih istimewa, rakaman klip video yang diadakan di Auditorium PNM itu turut menampilkan bacaan pantun khas isteri Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Dr Siti Hasmah Mohd Ali diiringi Koir PNM. Ia mula disiarkan sejak 1 Julai lalu.

Sementara itu, bintang Idola, Jeslina Hashim pula berkata, penghormatan yang diberikan kepada selebriti hiburan dalam menjayakan kempen itu, membuktikan artis ada pengaruh besar untuk menarik peminat mencintai budaya membaca.

“Pemilihan artis bertepatan kerana mereka sering dijadikan idola khususnya peminat remaja. Contoh positif yang ditunjukkan mereka diharap menjadi ikutan. Bagi saya, artis juga perlu menyemai minat membaca kerana kita perlu berkongsi idea dan pengetahuan setiap kali berkomunikasi.

“Kesibukan bukan alasan untuk tidak membaca kerana kita masih ada waktu terluang. Manfaatkan waktu itu sebaik mungkin. Peruntukkan masa untuk membaca sekalipun hanya seketika.

“Walaupun sedikit, pulangan yang kita terima akan berganda. Malah, membaca juga memberi ruang kepada kita memperbaiki kelemahan serta memajukan diri dengan mengambil iktibar daripada peristiwa lalu,” katanya yang menggemari autobiografi.

Sementara itu, penyanyi yang popular dengan lagu Seandainya Masih Ada Cinta, Dayang Nurfaizah menyifatkan dirinya bertuah kerana dapat menjadi contoh teladan kepada generasi muda dalam menerapkan nilai suka membaca.

“Saya menggemari novel serius, namun atas sebab kekangan tugas, saya terpaksa mencari masa yang sesuai. Biarpun komitmen terhadap kerjaya ketat, namun seboleh mungkin saya cuba mencari ruang untuk memenuhi minat ini.

“Pun begitu, saya juga minat bahan bacaan yang ringkas dan penuh maklumat seperti majalah berbahasa Inggeris. Selain maklumat, ia juga memberikan banyak idea baru untuk membantu mempertingkatkan kerjaya seni,” katanya.

Selain terbabit menyanyikan lagu tema, Dayang juga turut dijemput untuk mengendalikan sesi perbincangan dengan pelajar sekolah yang akan diaturkan PNM. Katanya, dalam perbincangan itu beliau diminta untuk memilih sebuah buku dan membincangkan isi kandungannya dengan peserta lain.

“Tarikh sesi itu belum lagi ditetapkan kerana saya kini sibuk dengan pelbagai undangan persembahan. Mungkin sebelum kempen berakhir 31 Julai nanti, saya mampu mencuri masa untuk bersama pembaca muda,” katanya.

http://www.emedia.com.my/

3
Jul

Siti Nurhaliza Hidap Penyakit Resdung.

“Kepada peminat Siti Nurhaliza jangan terkejut apabila membaca tajuk di atas. Walaupun Siti bergelar bintang, namun dia juga tidak dapat lari daripada masalah kesihatan. Tetapi bukanlah penyakit angkara perbuatan sihir tetapi penyakit normal yang menyerang orang biasa. Siti tidak terkecuali. Malah ianya diakui oleh Siti sendiri. Penyakit resdung yang dihidapinya tidaklah terlalu kritikal tetapi ianya di peringkat awal.

Siti alergik apabila suasana terlalu sejuk membuatkan hidung sering tersumbat. Malah Siti juga mengakui dia kerap selsema dan berada dalam keadaan tidak selesa.†Siti sakit resdung sejak setahun lalu. Hidung dan mata Siti rasa gatal-gatal.

“”Siti rasa macam ada satu benda gerak-gerak dalam mata. Pernah satu ketika Siti hembuskan nafas, ada terkeluar macam seketul daging, macam darah beku. Bila jadi macam tu Siti tak boleh biarkan, nanti melarat pula. Siti cuba buat rawatan dengan ubat tradisional sebab Siti tak ada masa nak buat rawatan moden.

“Siti amalkan sejenis ramuan ubatan dibalut dengan sejenis kain putih seperti kain kapan. Siti tak tahu apa namanya. Siti tahu nama ubat itu ‘Ubat Resdung’. Cara menggunakannya, Siti kena bakar terlebih dahulu dan hidu asapnya. Alhamdulillah, bila Siti amalkan, resdung dah kurang sikit. Sepanjang Siti berubat, Siti kena pantang makan,” ujar Siti sewaktu menceritakan keadaannya.

Petikan daripada Bacaria Edisi Rabu, 3 Julai 2002 (Bil. 1824)

http://www.karangkraf.com/Saluran/Hiburan/default.asp?categories=Dunia%20Artis”

1
Jul

Siti Nurhaliza Semakin Matang Di Pentas.

“BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad – Dewan Amphitheatre Taman Permainan Jerudong yang boleh menempatkan kira-kira 5,000 orang penonton malam semalam hampir penuh semuanya oleh peminat Siti Nurhaliza dalam persembahan Konsert Siti Nurhaliza Live in Brunei.

Gambaran itu sekali gus menjadi petanda jelas yang belum ada penyanyi Malaysia lain yang dapat menandingi populariti penyanyi nombor satu Malaysia ini.

Persembahan Siti Nurhaliza nyata jauh berbeza daripada persembahan terdahulu – dia kini semakin matang dan semakin pandai memikat penonton dengan perbualan spontan dan bersahajanya.

Malah dia semakin pandai berjenaka dengan penonton di atas pentas.

Persembahan Siti Nurhaliza juga mantap dengan iringan pemuzik profesional.

Peminat setia Siti Nurhaliza mulanya dihiburkan dengan dendangan medley Kitakan Bersama, Kini Kau Di sisi dan Engkau Bagaikan Permata.

Peminat terus hanyut dibuai dengan “”suara emas”" Siti Nurhaliza menerusi lagu Percayalah, Jerat Percintaan, Purnama Merindu dan Nian Di Hati.

Siti turut mendendangkan lagu Inggeris berjudul Over Protected yang dipopularkan oleh Britney Spears.

Segmen Siti Nurhaliza bersama peminat begitu mencuit hati penonton apabila peminat-peminatnya yang bertuah naik ke pentas menunjukkan bakat menyanyi dan menari bersamanya.

Salah seorang peminat yang bernama Kamil ketika ditanya oleh Siti Nurhaliza apakah yang dia akan dibuat di atas pentas dengan spontan berkata: “”Ingin meminang Siti”" hingga menggemuruhkan panggung.

Apa pun gelagat, Siti Nurhaliza yang sudah lebih lima tahun berpengalaman dalam bidang seni bijak mengawal suasana.

Siti menerusikan persembahan dengan membawakan lagu lagu Sucinya Cinta Mu, Kurik Kundi, Bisikan Hati dan Nirmala.

Tidak ketinggalan dia mendendangkan sebuah lagu Arab bertajuk Nour El Chams.

Persembahan Siti Nurhaliza live in Brunei yang turut menarik peminat yang datang dari Malaysia dan Singapura itu ditamatkan dengan lagu evergreen, Cindai.

Sehari sebelum itu Siti “”diserbu”" 450 peminat yang memegang tiket bernilai $100 pada majlis minum petang bersama peminat di Hotel Empire and Country Club, (selepas “”dikepung”" lebih 500 peminat yang menanti ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei di Berakas, tengah malam kelmarin). Majlis tersebut antara lain diisi dengan sesi dialog dengan peminat dan sesi menandatangani autograf.

Kedatangan Siti dibawa oleh Pepsi dan Kristal KRU, tajaan Empire Hotel & Country Club, Royal Brunei Airlines, Kingston Beverage & Creamery Sdn Bhd, Kristal TV and Kristal FM.

Brunei-Online”