12 Rebut Anugerah Seri

Nasional

12 rebut Anugerah Seri
Oleh Hanisah Selamat, Rozdan Mazalan dan Mohamad Fairoz Azizan
bhnews@bharian.com.my
2011/11/24
gambar sebelum  gambar berikut
Foto

ANTARA artis bergambar pada majlis sidang media meraikan 25 tahun puncak kegemilangan Anugerah Bintang Popular Berita Harian di Subang, semalam.

Foto

HANIZAM (dua dari kiri), Mior Kamarul (tiga dari kiri), Azhar dan Pengurus Besar Ederan Tan Chong Motor Aven Yong (tiga dari kanan) memotong kek sempena ulang tahun yang ke 25 ABPBH.

Trofi istimewa sempena ABPBH 25 tahun disertai semula artis paling popular

SUBANG JAYA: Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 pada 8 April tahun depan memperkenalkan Anugerah Seri Perak sempena sambutan ke-25 tahun acara berprestij itu dengan membariskan 12 Bintang Paling Popular sepanjang 1990 hingga 2010 untuk bertanding semula merebut gelaran itu.
Anugerah khas sempena ulang tahun jubli perak majlis pengiktirafan tahunan anjuran Berita Harian Sdn Bhd (BHSB) itu bakal ditentukan peminat menerusi undian.
“Trofi istimewa ini ialah antara penghargaan kepada bintang paling unggul sepanjang zaman, sekali gus menyemarakkan sambutan ABPBH yang ke-25. Seperti biasa, ABPBH terus memberi pengiktirafan kepada semua penggiat seni, sekali gus meletakkan martabat artis dan personaliti tanah air pada tahap sepatutnya,” kata Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola, Zainuri Misfar yang juga Editor Hiburan Berita Harian, pada sidang media di Hotel Holiday Villa & Suites Subang, di sini semalam.

Hadir sama Pengarang Kumpulan BHSB, Datuk Mior Kamarul Shahid dan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola ABPBH 2011 yang juga Pengarang Bersekutu Edisi Mingguan, Hanizam Abdullah.

Sementara itu, daripada 560 nama, hanya 320 calon membabitkan pelakon, penyanyi, pengacara TV dan penyampai radio dipilih untuk berada dalam senarai awal 15 kategori yang dipertandingkan, seterusnya berpeluang mara ke peringkat lima terakhir menerusi undian peminat.

“Jika dulu kami menerima pencalonan asalkan mereka mempunyai produk sepanjang tempoh disyaratkan, kini kita melakukan saringan awal berdasarkan syarat lebih ketat, iaitu album, drama, filem, rancangan radio, program TV atau nama mereka yang benar-benar dikenali dalam industri ini,” katanya.

Senarai calon berserta borang pencalonan awal kempen undian ABPBH 2011 disiarkan Berita Harian/Berita Minggu bermula esok hingga 29 Disember untuk membolehkan peminat serta pembaca memilih lima finalis bagi setiap kategori.
Pembaca perlu mengumpul tujuh borang undian sebelum mengirimkannya.

Kali ini, penganjur turut melebarkan cabang pertandingan dengan mengadakan undian lima kategori sampingan secara online bermula Januari, iaitu Anugerah Muat Turun Mobile, Artis Wanita Paling Popular Online, Artis Lelaki Paling Popular Online, Pakaian Selebriti Terbaik Sepanjang 25 Tahun ABPBH dan Artis/Selebriti Asia Popular Online.

Kempen pusingan awal majlis bertemakan Big, Bolder & Silver membabitkan saingan perfileman, muzik dan penyiaran itu dijangka mendapat sokongan padu pembaca hingga malam kemuncak di Genting Highlands. Bagaimanapun, tahun ini kategori Artis Nasyid Popular yang diperkenalkan pada 1998/1999 digugurkan.

Penerima gelaran Bintang Paling Popular akan menerima ganjaran lumayan termasuk kereta Nissan Teana 2.5, manakala pemenang kategori pembaca menerima Nissan X Gear tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCMSB).

Turut menjadi penaja ABPBH2011 ialah Hotel Holiday Villa & Suites Subang, Genting Resort World, Rafflesia Mandalay serta Euro Moda daripada Gulatis, manakala TV3 dan HotFM sebagai penyiar rasmi.

INFO

Artis Kategori Anugerah Seri Perak:

Aishah, Zainal Abidin, Eman Manan, Datin Sofia Jane, Datuk M Nasir, Ziana Zain, Datuk Siti Nurhaliza, Rosyam Nor, Saiful Apek, Mawi, Nabil, Shaheizy Sam

Kategori ABPBH2011

Penyanyi Lelaki Popular, Penyanyi Wanita Popular, Artis Duo/Berkumpulan Popular, Pelakon Filem Lelaki Popular, Pelakon Filem Wanita Popular, Pelakon TV Lelaki Popular, Pelakon TV Wanita Popular, Artis Komedi Lelaki Popular, Artis Komedi Wanita Popular, Pengacara TV Lelaki Popular, Pengacara TV Wanita Popular, Penyampai Radio Lelaki Popular, Penyampai Radio Wanita Popular, Artis Baru Lelaki Popular serta Artis Baru Wanita Popular.

Berita Harian