1,001 Malam Tema Acara ASK 2009

PRESTIJ...Farid (kanan) melancarkan Anugerah Skrin 2009, <br>semalam.
PRESTIJ…Farid (kanan) melancarkan Anugerah Skrin 2009,
semalam.

PETALING JAYA: Bertemakan Hikayat 1001 Malam (Arabian Nights), acara hiburan berprestij, Anugerah Skrin (ASK) meneruskan lagi kegemilangannya tahun ini dengan penganjuran ASK 2009 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) jam 9 malam pada 4 Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima, Datuk Seri Farid Ridzuan, berkata seperti penganjuran sebelumnya, pihaknya juga menampilkan kelainan pada acara berprestij itu tahun ini.

‘Jika tahun lalu pihak kami tampilkan tema Diamonds, tahun ini pihak kami putuskan untuk memilih tema 1001 Malam kerana ia klasik dan berkonsep penceritaan sepanjang zaman.

‘Pihak kami juga memperkenalkan dua kategori baru tahun ini iaitu Anugerah Videografi Terbaik (projek drama/telefilem) dan Anugerah Allahyarham Yasmin Ahmad.

 

 

‘Anugerah Videografi bagi memberi pengiktirafan kepada penggiat seni videografi (drama dan telefilem) di samping memberi galakan kepada mereka untuk menghasilkan mutu kerja lebih baik dalam sesuatu produksi. Manakala, Anugerah Yasmin pula bagi mengiktiraf pendatang baru berbakat besar di persada seni tanah air yang juga tajaan Silky Girl,’ katanya.

Mengenai konsep persembahan pada malam itu pula, Farid berkata, pihaknya menjanjikan ia adalah persembahan terbaik yang pernah dianjurkan setakat ini.

‘Pihak kami juga menampilkan barisan artis popular tanah air seperti Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, Misha Omar, Jamal Abdillah, Awie, Aizat, One Nation Emcee, Black Mentor dan Tia jinbara yang bakal menjayakan persembahan pada malam itu.

‘Buat julung kalinya, pihak kami menggandingkan pelakon dan pengarah berkaliber Afdlin Shauki dan penyampai Hot Fm serta pengacara Melodi, Fara Fauzana sebagai hos ASK 2009,’ katanya.

Farid berkata demikian di sidang media ASK 2009 yang berlangsung di Hotel Sunway Resort, Bandar Sunway, Petaling Jaya, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Nurul Aini Abu Bakar dan Pengurus Produksi Hiburan, Primeworks Studios, Fadzliniza Zakaria.

Farid berkata, ASK 2009 yang memberi pengiktirafan kepada penggiat seni tanah air ini menyaksikan persaingan 23 kategori yang bertanding membabitkan 22 filem, 17 drama, 14 drama rantaian, dan 5 drama komedi.

‘Proses penjurian juga membabitkan barisan juri profesional dan ia berlangsung pada Oktober sehinggalah pada petang sebelum majlis anugerah berlangsung,’ katanya.

Harian Metro