100,000 penduduk Sabah saksi pelancaran Rumah Terbuka Malaysia.

Oleh: MOHD. RADZI MOHD. ZIN

KOTA KINABALU 18 Mei – Kira-kira 100,000 penduduk menyaksikan upacara pelancaran Rumah Terbuka Malaysia, Tadau Kaamatan 2003 oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail di Padang Merdeka di sini, malam ini.

Upacara itu bermula kira-kira pukul 8.30 malam dengan sambutan penuh istiadat kebudayaan negara dengan didahului oleh 14 Unduk Ngadau atau ratu-ratu cantik Kaamatan.

Mengiringi Yang di-Pertuan Agung dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid ialah Tun Ahmadshah Abdullah.

Turut hadir ialah Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Paduka Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman.

Abdul Kadir dalam ucapannya berkata, kehadiran sebegitu ramai penduduk untuk sama-sama memeriahkan Rumah Terbuka itu menjadi wadah mewujudkan masyarakat yang lebih bertoleransi dan bersatu-padu.

Katanya, walaupun bilangan penduduk Kadazandusun dan Murut tidak sampai tiga peratus daripada jumlah penduduk Malaysia tetapi ia tetap diterima dan dihormati.

“Majlis ini yang dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong adalah suatu bukti paling jelas bahawa tidak ada sebab mereka patut berasa kecil hati dan lebih-lebih lagi rasa tersisih,” katanya.

Tadau Kaamatan dirayakan oleh masyarakat Kadazandusun dan Murut sebagai tanda kesyukuran di atas kejayaan memperolehi hasil tuaian padi yang lumayan.

Majlis itu turut disaksikan oleh 120 jemputan khas terdiri daripada media asing, agensi pelancongan dari negara seperti Brunei Darul Salam, Itali, Singapura, Jepun, Thailand, Perancis dan Sepanyol.

Abdul Kadir berkata, majlis itu juga sesuai dijadikan landasan bagi memeriahkan lagi kehebatan budaya kunjung mengunjung yang telah menjadi kemestian pada setiap kali perayaan.

Pada majlis itu, Yang di-Pertuan Agong turut dibawa melawat rumah tradisi kaum Rungus, Murut dan Sulap Tambunan serta persembahan tarian perpaduan etnik Sabah.

Acara malam itu turut diserikan dengan persembahan artis popular seperti Siti Nurhaliza dan artis serba boleh dari Sabah, Abu Bakar Ellah.

Siti Nurhaliza ternyata bijak memikat para pengunjung apabila menyampaikan sebuah lagu Kadazan bertajuk `Nokoikot Noh Monombuhui’ (tetamu sudah datang) selain Kurik Kundi, Ku Milik Mu dan Bukan Cinta Biasa.

Sebelum keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agung pada kira-kira pukul 10.50 malam, pertunjukan bunga api turut diadakan sebagai melengkapkan sambutan warna-warni itu.

http://www.utusan.com.my/