10,000 sahut cabaran Malay Mail Big Walk

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

KUALA LUMPUR: Perlumbaan jalan kaki terbesar di Malaysia, Malay Mail Big Walk 2007 (MMBW07) yang berlangsung semalam menerima penyertaan lebih 10,000 peserta terdiri pelbagai lapisan masyarakat.

Acara ke 47 dianjurkan akhbar The Malay Mail itu bermula di Dataran Merdeka seawal jam 7 pagi dengan pelepasannya disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Zulhasnan Rafique yang juga penaung acara.

Beliau melepaskan kategori pertama daripada 13 kategori dipertandingkan iaitu Lelaki dan Wanita Kebangsaan membabitkan jarak 20 kilometer, diikuti kategori Lelaki Senior, Lelaki Junior Veteran, Senior Wanita (10km), Lelaki Senior Veteran serta Veteran Wanita (7km).

Ia diikuti kategori Lelaki dan Wanita bawah 18 tahun (7km), Warga Emas Lelaki dan Warga Emas Wanita (5km), Lelaki dan Wanita bawah 15 tahun (5km) dan Fun Walk Lelaki dan Wanita serta VIP (3km).

Selepas satu jam 42 minit perlumbaan itu bermula, peserta daripada kumpulan Lelaki dan Wanita Kebangsaan tiba di lokasi penamat iaitu di Padang Merbok.

Hadir sama memeriahkan acara itu ialah isteri Zulhasnan, Datin Siti Nooriah Ana Razak, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Salleh Yusop, Ketua Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd, Datuk Syed Faisal Albar dan isteri Datin Norashikin Khalid, Presiden Persatuan Olahraga Amatur Wilayah Persekutuan (FTAAA), Tan Sri Mohd Amin Osman.

Turut hadir Timbalan Pengarang Malay Mail, Yushaimi Maulud Yahaya dan Saiful Azhar Abdullah dan Ketua Pengarang Berita, Yusri Azmin Abd Aziz serta penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Khalid Mohd Jiwa.

Lima pemenang teratas setiap kategori membawa pulang hadiah wang tunai antara RM3,000 dan RM100.

Siti Nurhaliza turut menerima cek sumbangan bernilai RM10,000 untuk Yayasan Nurjiwa yang disampaikan Zulhasnan selepas selesai perlumbaan Fun Walk semalam.

Sementara itu, lima pemenang teratas setiap kategori membawa pulang hadiah wang tunai antara RM3,000 dan RM100.

MMBW07 yang dianjurkan dengan kerjasama DBKL menerima tajaan daripada pelbagai pihak termasuk Coleman, Naza, Yeos, Panasonic, Milo, Power, Celcom, dan Sports Toto. Radio rasmi untuk acara itu Fly FM turut membariskan penampilan istimewa personalitinya, Jules dan Prem.